Saturday, November 24, 2007

The Belo'ons

Pagi-pagi lagi Si Kancil dan Si Tulai sudah bangun. Siap mandi, berus gigi dan sarapan lempeng berlaukkan ikan selayang goreng dan milo secawan seorang mereka terus turun ke tanah. Berdentum-dentum lantai papan rumah dengan bunyi kaki mereka.

Mereka berlari ke rumah sebelah sambil menjerit, “Chil! Chil!”

“Ada apa?” Si Achil menjengukkan kepalanya di tingkap bilik tidur sambil menggosok-gosok matanya. Baru bangun rupanya, pikir Si Kancil. Bukankah semalam kita sudah buat rancangan best hari ini? Dia lupalah ni!

“Cepatlah! Nanti Si Judin dan yang lain dapat di atas-atas!”

“Tunggu sekejap! Saya mandi dulu!”

Lima minit kemudian Si Achil sudah muncul di muka pintu rumahnya.

“Eh, cepatnya! Kamu mandi kerbaukah?” Si Kancil menuduh sambil terkekek-kekek ketawa. Si Tulai yang selalu jadi juruikut tersenyum saja hingga nampak giginya yang berlapis itu.

“Ini lagi bagus daripada mandi kerbau! Ini dipanggil mandi P Ramlee!”

Berderai ketawa budak-budak bertiga itu. Tiba-tiba muncul emak Si Achil di depan pintu. “Kamu hendak ke mana itu?”

“Dekat saja Mak Ngah! Ke rumah Si Sudin.”

“Ha, jangan main jauh-jauh ya.” Belum selesai pesanan Makcik Saniah budak-budak itu sudah berlari menuju ke rumah berdekatan.

Mereka bertiga adalah bersaudara. Si Kancil dan Si Tulai adik beradik manakala Si Achil ialah sepupu mereka. Rumah mereka di Kampong Petagas hanya bersebelahan sahaja. Tidak ada pagar yang memisahkan antara rumah-rumah di kampong ini.

Tiba di perkarangan rumah Si Sudin sudah ada beberapa orang budak lelaki di situ; Si Judin, adiknya si Nan, sepupu mereka si Sudin dan Si Imi. Budak-budak perempuan itu pun terus memulakan aktiviti.

“Tuan punya dapat yang merah dahulu!” Si Judin mengeluarkan arahan.

Di situlah mereka sampai matahari naik tegak di atas kepala. Masing-masing sudah mahir macam monyet. Riuh-rendah kedengaran jeritan dan gelak ketawa mereka. Alangkah seronoknya musim cuti sekolah di kampung. Setiap hari ada saja aktiviti yang hendak dilakukan.

Apabila kedengaran azan zohor dari masjid, masing-masing bergegas turun dan berlari pulang ke rumah masing-masing. Petang nanti aktiviti ini disambung semula.

“Banyak kamu dapat, Chil?”

“Banyak juga tapi dua tiga sahaja yang merah-merah. Mata Si Judin itu tajam sangat. Petang ini mandi di mana?” tanya Si Achil sambil mengesat peluh yang menitis turun di pipinya. Belum selesai satu aktiviti sudah memikirkan aktiviti seterusnya.

“Semalam sudah mandi di rumah kami. Hari ini di rumah kamulah” jawab Si Tulai yang dari tadi tidak banyak kedengaran suaranya. Dia suka mandi di rumah Si Achil kerana bilik mandinya istimewa sedikit. Bilik mandinya berada dibawah rumah dan pintu masuknya melalui tangga di dalam dapur. Pintunya ala-ala pintu rahsia berbentuk empat segi di atas lantai dapur.

“Ok, petang nanti jumpa lagi.” Si Kancil secara otomatik menjadi ketua sebab dialah yang paling tua.

Petang nanti selepas Asar budak-budak ini akan turun semula menyambung aktiviti yang paling mereka gemari iaitu memanjat pokok ceri Si Sudin.

No comments: