Sunday, November 18, 2007

Philately

Saya paling gemar koleksi ini. Setem Putera Wales dan Duchess of Cornwall. Sahabat baik saya, Shel, yang menetap di London telah menghantarnya kepada saya melalui sekeping poskad. Semasa dia melancong di luar UK dalam tahun 2005 yang lalu, dia telah menghantar poskad kepada saya dari setiap bandar yang dia singgah, seperti Maccu Piccu, New York (setem Eid, percaya tak?), Budapest, dan Alhambra. Dia tahu saya suka mengumpul setem. Sangat, sangat suka. Baik hati kan sahabat saya ini! Saya juga ada setem Putera William. Sekarang saya perlukan setem Puteri Diana dan Ratu Elizabeth bagi melengkapkan koleksi keluarga Diraja ini.

Saya juga ada menyimpan setem-setem lama yang saya kumpul sejak di sekolah rendah lagi. Setem-setem yang dikumpul merupakan setem yang sudah digunakan, yang mempunyai tanda postmark. Lagi lama postmark itu lebih berharga setem tersebut. Saya ada setem Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 10 sen yang ada wajah Tunku Abdul Rahman dan postmarknya ialah 29 Oktober 1957!

Arwah bapa saya dulu bekerja di pejabat telegraf. Di masa itu pejabat telegraf dan pos berada di bawah satu jabatan. Jadi bekalan setem mudah diperolehi. Bapa saya juga mengumpul sampul surat hari pertama yang juga menjadi hobi saya sekarang. Koleksinya sekarang ada dalam simpanan kakak sulong saya.

Di tempat kerja saya ada seorang Profesor Undang-undang berasal dari New Zealand yang menjadi pembekal setem saya. Arwah ayahnya juga filatelis jadi dia faham kegilaan saya ini. Dialah yang telah memberikan saya setem Putera William itu.

Dulu pembekal saya ialah Sharmila. Dia bekerja di perpustakaan dan selalu menerima surat-surat dari luar negara. Dia kumpul banyak-banyak dahulu, masukkan ke dalam sampul surat dan hantar kepada saya melalui internal mail. Tapi apabila rakan-rakan sekerjanya tahu apa yang dia buat, mereka pula mula mengumpul setem-setem yang datang ke perpustakaan. Maka putuslah bekalan saya dari Sharmila.

Sekarang saya perlu menyusun setem-setem yang sudah bertimbun-timbun ini! Terima kasih buat bapa (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya), Shel, Profesor LP dan Sharmila.

No comments: