Tiga orang kanak-kanak, dua perempuan dan seorang lelaki kelihatan berdiri di tengah-tengah padang yang memisahkan kedua-dua buah rumah mereka. Lalang di padang rumput itu sama tinggi dengan mereka.
Kedua-dua budak perempuan itu memakai baju baru. Yang kakak memakai kemeja lengan pendek dan seluar pendek paras lutut. Manakala yang adik memakai gaun ropol dan kasut hitam berkilat. Kedua-duanya memakai stokin panjang sampai ke lutut. Hujung stokin pula digulung bulat. Ah Soon hanya memakai seluar pendek dan selipar jepun. Hari ini tidak seperti hari-hari biasa kerana tiada gelak ketawa yang mengiringi mereka.
“Ah Soon! Kami sudah mahu berangkat,” kata budak perempuan yang lebih tua sedikit itu.
“Kamu pindah balik ke sini lagi?”
“Entahlah. Saya pun tidak tahu. Bapa sudah lama bekerja di bandar. Sekarang kami boleh tinggal bersama-samanya.”
“Tapi nanti kami akan datang ke sini juga. Datuk dan Nenek masih ada di sini. Begitu juga dengan Makcik kami.” Budak perempuan yang lebih muda itu cuba berjanji bagi menyedapkan hati sahabatnya itu.
“Kamu jangan lupa saya tau,” Ah Soon beria-ia berpesan. Tiba-tiba dia menghulurkan tangan kanannya ke hadapan lalu menggenggam tapak tangannya. “Cubit di sini,” dia mengarah kedua-dua budak perempuan itu sambil menunjuk kearah lipatan di bawah jari kelingkingnya.
“Buat apa ini?”
“Kalau kamu cubit di sini kamu tidak akan lupakan saya sampai bila-bila.”
“Betulkah?”
“Betullah.”
Tanpa banyak soal lagi tentang teori Si Ah Soon itu, kedua-dua budak perempuan itu terus sahaja membuat seperti yang diarahkan.
“Sekarang kamu pula genggam.” Mereka pun berbalas-balas mencubit tangan satu sama lain.
Perjanjian yang dimeterai di antara tiga sahabat kecil ini akan terbukti 35 tahun kemudian apabila seorang wanita mendapat panggilan telefon yang tidak disangka-sangka.
(Bersambung…)
No comments:
Post a Comment