Wednesday, December 12, 2007

Kucing

“Bang, kita main apa hari ini. Bosanlah!” rungut Si Tulai. Hari sudah petang tapi mereka masih berada di dalam rumah. Undang-undang Makcik Munah, siapkan kerja rumah dahulu baru boleh turun ke tanah.

“Mari ikut saya,” Si Kancil memberi arahan. Dia dan adiknya lantas berlari menuruni tangga kayu rumah mereka. Memang di antara mereka berdua Si Kancillah yang menjadi ketua. Si Tulai yang lurus bendul itu selalu menjadi pengikut setia sahaja.

Tidak lama kemudian…

“Jangan menangis! Jaga kamu! Kalau kamu menangis saya beri kucing ini! Kamu hendak?” Si Kancil memberi amaran sambil menyuakan anak kucing ke muka Si Imi.

“Hmm….hmmm!” Si Imi tidak berani bersuara. Air mata meleleh di pipinya kerana ketakutan. Dia juga tidak dapat bergerak kerana dia telah diikat pada tiang rumahnya menggunakan tali kerbau. Abangnya Si Sudin hanya melihat sahaja kerana takut kepada Si Kancil yang berbadan tegap seperti lelaki itu. Malah dia memang berpakaian seperti budak lelaki. Oleh sebab itu Si Tulai dari dulu lagi memanggilnya ‘Abang’ gara-gara silap identiti.

“Ingat! Jangan beritahu emak kamu! Kalau tidak saya buat lagi kepada kamu!”

Si Tulai pengikut setia terkebil-kebil sambil mengintai-intai emak Si Imi dan Si Sudin.

***
Kini masing-masing sudah berkeluarga dan berpindah ke bandar lain untuk mencari rezeki masing-masing. Hanya tinggal Rin sahaja di kampong bersama ibunya. Suatu hari dia singgah menghantar kuih ke rumah Makcik Juma.

“Apa khabar Si Kancil dan Si Tulai?” tanya Makcik Juma. “Sudah lama makcik tidak berjumpa dengan mereka. Dulu masa mereka kecil-kecil makcik masih ingat lagi mereka ikat Si Imi pada tiang rumah. Nakal juga budak-budak perempuan itu, ya?” Makcik Juma tersenyum mengingatkan kisah 30 tahun lalu yang disangka menjadi rahsia kanak-kanak berdua itu.

No comments: