Anak pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam Makcik Munah dan Pak Leman kesemuanya perempuan. Semasa anak keempat lahir Makcik Munah sudah tidak tahan lagi. Oleh kerana kepingin sangat kepada anak lelaki diberi pakainya Si Kanchil dengan baju lelaki. Kemana-mana sahaja Si Kanchil memakai seluar pendek dan kemeja lengan pendek. Sehinggakan adiknya Si Tulai, anak Makcik Munah yang keenam menyangka kakaknya itu lelaki. Dia memanggil kakaknya dengan panggilan Abang.
Memang padan dengan panggilan itu. Si Kanchil mempunyai perwatakan seperti lelaki. Kasar dan kuat. Dia pernah bergaduh dengan Si Budi, yang tempang sebelah kakinya sejak lahir, kerana dia mengejek Si Kanchil dengan Si Judin.
Keluarga Si Judin tinggal bersebelahan dengan keluarga Si Kanchil. Si Judin tinggal bersama-sama ayah, datuk, nenek, kakak dan seorang adik lelakinya. Ibunya meninggal dunia semasa melahirkan adik lelakinya. Setiap hari Si Judin akan menunggu Si Kanchil untuk pergi ke sekolah. Mereka berjalan kaki sahaja ke sekolah yang terletak di hujung kampung. Kadang-kadang mereka akan berpimpinan tangan. Sebab itu Si Budi suka mengejek mereka berpacaran.
Hari itu Si Kanchil naik angin lalu menumbuk dan menolak Si Budi ke tanah. Penuh mulut Si Budi dengan pasir. Habis kotor baju kemeja putih dan seluarnya.
“Awas kamu! Lain kali kalau kamu buat lagi saya akan kerjakan kamu cukup-cukup!”
Sejak dari hari itu Si Budi dan juga budak-budak lain tidak berani mengejek mereka lagi.
Tetapi tidak lama kemudian semasa Si Kanchil di dalam darjah enam, satu perubahan telah berlaku. Dia mula memakai pakaian perempuan. Bermula dari situ Si Kanchil membesar menjadi salah seorang anak gadis yang tercantik di kampung. Kulitnya putih melepak, dan rambutnya ikal mayang. Ramai jejaka kampung jatuh hati kepadanya. Tetapi bukan mudah hendak memikat anak Makcik Munah dan Pak Leman ini. Kemana-mana sentiasa ada pengiring. Anak-anak Makcik Munah tidak dibawa bertandang ke majlis khenduri kahwin. Semasa menonton wayang ‘free’ di padang sekolahpun mereka pergi beramai-ramai dengan seisi keluarga. Sangat ketat kawalan mereka adik beradik.
“Siapa tak kenal Kak Hajah ni! Simpan anak di dalam rumah sahaja!” Begitulah kata-kata Imam Hurairah, imam bersara masjid Kampung Petagas yang berasal dari Kedah. Dia kenal sangat dengan keluarga ini. Keluarga imam ini sahaja di antara jiran sekampung yang sering diziarahi oleh Pak Leman dan Makcik Munah.
Yang semakin bingung ialah Si Tulai, adik kepada Si Kanchil. Dia hairan kepada perubahan yang berlaku ke atas ‘abang’nya itu. Dia tidak berani bertanya kepada ibunya takut dimarahi. Dia mengambil jalan mudah dan sehingga kini dia masih memanggil kakaknya dengan panggilan Abang.
No comments:
Post a Comment