Tuesday, March 4, 2008

MS Book Pick of the Month: A Long Way Gone

A Long Way Gone:Memoirs of A Boy Soldier, Ishmael Beah, Harper Perennial, RM 36.90

Macam Oprahlah pulak…

Bulan ini buku pilihan saya berjudul “A Long Way Gone” yang menceritakan kisah benar penulis semasa dia berusia 12 tahun yang dipaksa menjadi askar dalam peperangan bersaudara di Sierra Leone sekitar awal 1990an dahulu. Dia dan rakan-rakannya terpisah dari ibubapa dan keluarga mereka apabila kampung mereka diserang oleh kumpulan pemberontak RUF yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat negara itu. Dia kemudiannya ditangkap oleh askar kerajaan dan dijadikan salah seorang daripada mereka.

Walaupun penulis menjadi askar bagi pihak kerajaan, aktiviti mereka sama sahaja seperti pemberontak-pemberontak RUF, iaitu merompak dan membunuh dengan kejam. Kisah yang sangat menyayat hati namun tidak dapat diterima oleh akal. Bagaimana satu negara boleh menjadi huru-hara dan hilang pertimbangan kemanusiaan.

Cerita “Blood Diamond” (Leonardo DiCaprio) di Astro bulan ini juga menceritakan kisah yang serupa. RUF membunuh dengan kejam sesiapa sahaja yang mereka temui di dalam kampung itu, merogol anak-anak gadis dan memotong anggota badan kaum lelaki yang dirasakan menjadi ancaman kepada mereka. Kumpulan pemberontak ini juga mengambil budak-budak lelaki menjadi askar mereka dan mengajar anak-anak ini membenci keluarga mereka. Dikisahkan pemberontakan yang berlaku ada kaitan dengan lombong berlian yang ada di negara itu. Kebetulan juga di dalam bulan ini (atau memang Astro bijak mengatur rancangan Tvnya) History Channel Astro menayangkan dokumentari tentang peperangan di Sierra Leone ini berjudul “Blood Diamonds”.

Buku ini menjadi pengajaran kepada kita bahawa apabila sesebuah negara menjadi terlalu miskin dan merempat, dan kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa, kemungkinan besar pemberontakan akan berlaku dan pada masa itu manusia tidak akan dapat menilai mana yang buruk dan mana yang baik.

Seperti kata Leonardo DiCaprio di dalam wataknya di dalam cerita itu, “ God left this country long ago…


p/s: Baru sebentar tadi saya menonton cerita “Innocent Voices” di Astro mengenai peperangan di El Salvador sekitar 1980an dan pengambilan budak-budak lelaki sebagai askar sebaik sahaja mereka berumur 12 tahun. Satu lagi contoh keganasan terhadap kanak-kanak.

No comments: