Sunday, April 27, 2008

Panggilan Malam

Lebih kurang jam 2 pagi tadi, telefon bimbit suami saya berbunyi.

“Waalaikummussalam.…Innalillah…”

Dia mendapat berita pakciknya, iaitu adik kepada ibunya baru sahaja meninggal dunia di Kuala Terengganu. Suami saya tidak dapat tidur. Jam 4 pagi sayup-sayup saya terdengar suaranya. Dia hendak bertolak sekarang, katanya. Seharian dia di KL, balik lewat jam 9 malam tadi. Saya pujuk dia supaya berehat dahulu dan bertolak besoknya.

Selesai sembahyang subuh tadi dia berangkat seorang diri. Saya perlu menguruskan anak-anak jadi saya tak mengikutnya.

Semasa mengemas baju dia berkata, “Abang tak suka panggilan malam.”

Saya faham apa maksudnya. Saya sudah beberapa kali menerima panggilan seperti itu. Pertama kali, apabila pakcik saya meninggal dunia di ICU lebihkurang jam 3 pagi. Saya, yang masih tinggal bersama ibubapa pada masa itu, mengangkat telefon semasa semua orang sedang tidur. 14 tahun lepas saya juga yang mengangkat telefon, menerima berita tentang pemergian bapa saya di hospital. Saya sudah berada di kampung sejak 2 minggu sebelumnya. Walaubagaimanapun, takdir menentukan saya tidak ada di sisinya semasa dia menghembuskan nafas terakhir. Tahun lepas pula saya dapat panggilan tengah malam daripada kakak saya di Kota Kinabalu tentang kematian Atuk kesayangan saya. Saya fobia dengan panggilan tengah malam.

Tinggal berjauhan begini lebih terasa terutama sekali apabila menerima berita daripada keluarga di Sabah. Jika tidak berkemampuan untuk balik, hanya doa dan sedekah sahaja yang mampu saya berikan.

No comments: