Tuesday, May 13, 2008

Adi

Entri ini dibuat setelah membaca entri pada blog Prof Kamil tentang ‘Anak yang kita kasihi’. Saya serta-merta teringat Adi.

Bukan, ini bukan cerita anak saya lagi walaupun nama timangannya sama. Adi yang satu ini ialah bekas pelajar saya, sekitar lewat 90an dulu. Dia batch terawal di dalam program Pengurusan Perniagaan.

Adi macam biskut, sekejap ada sekejap tiada. Saya pernah mencarinya.
“Siapa kenal Adi? Kalau kamu berjumpa dengan dia suruh dia datang berjumpa dengan saya!” Adi tak pernah muncul.

Sekali sekala saya nampak dia di Mahkota Parade, bukan melepak atau shopping. Dia bekerja. Saya hairan,” Adi ni mahu belajarkah mahu bekerja?”

Beberapa tahun berlalu. Adi sepatutnya sudah 'graduate'.

Suatu hari di pejabat fakulti saya nampak seorang pakcik tua datang berjumpa dengan penolong pengarah. Setelah pakcik itu beredar saya tanya kerani, ‘Apa urusan pakcik itu?” (Anda kenalah faham, saya ini ada sikit busy body kadang-kadang. Lagipun air muka pakcik itu kelihatan sedih. Saya curious.)

“Dia dapat surat dari kita. Dia terkejut apabila dapat tahu anaknya digantung sekolah. Dia datang jauh dari Perak.“

“Siapa nama pelajar kita itu?” Kerani menyebut nama penuh Adi.

“Eh, itu bekas pelajar saya . Saya baru terserempak dengannya di Tesco beberapa bulan lepas. Kenapa dia tak beritahu ayahnya?”

Aduh. Beginilah kisah yang sering kita dengar. Anak tidak minat belajar. Ibubapa tidak tahu khabar sebenar anaknya di negeri orang. Agaknya Adi tidak sampai hati memberitahu ayahnya.

Adi masih bekerja di Melaka. Sekarang dia bekerja di Jusco Ayer Keroh. Dia kenal saya. Saya selalu menegurnya, bertanya khabar.

“Ayah apa khabar? Tak balik raya?” Saya sebenarnya kesian dengan Adi. Dia rajin bekerja. Dia tidak kisah bekerja kuat. Cuma dia tidak mahu belajar.

Dan rupanya Adi sudah berumahtangga. Hari tu saya nampak dia dan isteri menolak kereta sorong bayi. Saya hanya melihat dari jauh, Adi dan keluarga kecilnya. Saya doakan Adi bahagia dengan kehidupan yang dia pilih.

No comments: