Monday, January 21, 2008

Back To Reality

Pagi ini setelah selesai mengurus anak-anak ke sekolah saya mula berjogging di atas treadmill. Salah satu azam tahun baru ialah menguruskan badan. Azam ini dibuat setiap tahun tapi sudah bertahun juga tidak tercapai. Mudah-mudahan kali ini berjaya. Chai yok! Chai yok! Lagu Mungkin Anuar Zain membuatkan saya lagi bersemangat.

Baru 18 minit berjogging, saya dapat panggilan dari JJ, anak lelaki bongsu, yang sudah berada di sekolah pada masa itu.

“Mama, tolong hantarkan kertas objektif! Ada dalam plastik!” Hari ini dia ada ujian BM dan Matematik.

Pusing rumah saya mencari plastik yang dimaksudkan. Saya terjumpa di belakang almari buku di dalam bilik belajar. Pasti disorok oleh Si Aton, pembantu saya, yang tidak tahan melihat beg-beg plastik bertaburan merata. Saya bergegas pergi ke sekolah JJ. Mujur dekat sahaja dari rumah. Dia sudah menunggu di pagar sekolah. Dahinya berkerut. Saya mengusap pipinya yang gebu dan halus itu agar hatinya kembali tenang.

Riadah saya terbantut. Sebentar lagi saya mahu ke pejabat. Setelah seminggu berehat di Langkawi, kini tiba masanya kembali seperti biasa. Welcome back to the real world!

Wednesday, January 9, 2008

1429H

Doa Akhir Tahun

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta para sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan larangan-laranganMu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak redha dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat daripada kesalahan-kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dari Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redhai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, Ya Allah.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammmad dan keluarga baginda juga para sahabatnya. Dan segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam.


Doa Awal Tahun

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta para sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agung dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon kepada-Mu perlindungan dari syaitan yang direjam, kuncu-kuncunya, tentera-tenteranya dan penolongnya dan aku memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada-Mu.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammmad dan keluarga baginda juga para sahabatnya. Dan segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam.

Sunday, January 6, 2008

Tik-San/Mr T/SiTi


Malam tadi saya tidur seorang diri di dalam bilik tidur tetamu. Tidak! Saya tidak bergaduh dengan Tuan M! Huhuhu… Sebenarnya di dalam bilik tidur saya ada tetamu yang tidak diundang, masuk menyelinap dari bilik mandi petang semalam. Eeeee…saya sangat geli dengan makhluk ini! Geli yang teramat sangat!

Tuan M dan anak lelaki saya cuba menangkapnya tapi tidak berjaya. Licik sungguh dia ni! Habis barang-barang bawah katil diselongkar tapi dia tidak dapat dikesan. Pagi tadi semasa saya masuk mengambil laptop, saya nampak dia berlari dari satu sudut ke satu sudut biik dengan pantas. Pantas sekali sehinggakan saya fikir saya bermimpi!

Saya tidak berani menggunakan bilik mandi saya. Saya sudah fobia!

Awal pagi tadi Tuan M sudah keluar membeli racun tikus.

“Hah! Kenapa beli racun? Kenapa tidak beli mousetrap saja?” Saya geram sebab kalau guna racun dia akan mati dan berbau busuk.

“Sama saja tu,” jawab Tuan M selamba. “Kalau dia sudah mati baru kita mudah untuk mencarinya.”

Ah! Logik lelaki amat mudah. Geram!

Semasa waktu maghrib tadi saya terdengar bunyi kruk-kruk dari dalam almari baju suami saya. Macamana dia boleh masuk ke dalam almari yang tertutup rapat itu? Ajaib! Tuan M bersedia dengan kain buruk lalu membuka pintu almari dengan cepat. Cik T melompat keluar lalu cepat-cepat ditangkap oleh Tuan M. Saya yang berada dekat menjerit-jerit ketakutan. Peluh sejuk memercik keluar dari dahi saya. Betul! Dasar pengecut! Hahaha…

Cik T dimasukkan ke dalam bekas plastik dan akan dibuang jauh-jauh ke satu tempat yang tidak diberitahu kepada saya.

Saya masih akan tidur dan solat di dalam bilik tidur tetamu malam ini. Memori Cik T masih belum pudar.

Note: Saya masih ingat lagi semasa di sekolah menengah sewaktu di Tingkatan 5. Rakan saya Norlita (Arwah. Al-Fatihah.) pernah berkata, “M**, I like your eyes, like Mr T.”

That doesn’t mean I like the critter, ok.

Thursday, January 3, 2008

Tak Boleh. Tak Boleh. Tak Boleh.

Bulan November 2007 lepas saya memohon menghadiri konferens dua hari di Langkawi (The 4th International Conference in Banking and Finance) anjuran bersama UUM dan IBBM. Saya memohon sebagai peserta sahaja kerana tidak menghantar apa-apa artikel. Alasan yang saya berikan ialah supaya dapat pengetahuan baru dalam bidang Banking & Finance, yang merupakan bidang saya (Finance). Saya beri sebutharga penerbangan dan tempat penginapan termurah. Termasuk yuran penyertaan, jumlah kosnya kurang dari RM 2,000.

Sebelum menghantar borang kepada Bahagian Sumber Manusia, saya memberitahu Dekan tentang perkara ini. Dekan menjawab, “I will strongly recommend your application”. Wah! Saya seronok sebab sudah lama tidak pergi menghadiri konferens. Yang pernah saya hadiri pun atas perbelanjaan sendiri sahaja. Untuk makluman, saya tidak pernah, and I repeat, tidak pernah, meminta universiti apa-apa bantuan kewangan samada bagi menghadiri konferens atau menjalankan research. Never, never.

Setelah dibawa kepada komiti pertengahan bulan Disember, saya telah dimaklumkan bahawa permohonan saya tidak diluluskan. TAK BOLEH. Sebabnya saya tidak ada menghantar apa-apa artikel. Dan sekiranya tidak ada artikel komiti memang tidak akan luluskan. Hmm..di dalam borang permohonan ada dua kotak untuk dipilih. Satu, Presenter, dan satu lagi, Participant. Kalau yang kedua itu tidak boleh, mengapa pula disediakan kotak di dalam borang, ya? Musykil, musykil.

Saya geram juga. Saya hantar email kepada Dekan bagi menyatakan ketidakpuasan hati saya, tanpa menuduhnya (well, maybe implicitly). Bahasa saya professional. Dia tidak jawab email saya.

Apabila angin sudah reda, saya mengambil keputusan menghadiri juga konferens tersebut. Perbelanjaan sendiri. Saya dapat tempah tiket Airasia RM 9.90 (jumlah kesemuanya sampai juga RM 100 +) dan penginapan di MRSM Langkawi, Kuah. Koperasi mereka ada menyediakan bilik tumpangan. Selesa, ada ASTRO. Konferens akan diadakan di Awana Porto Malai.

Pagi tadi saya menelefon HR. Saya tanya bolehkah saya memohon pelepasan pergi konferens yang dibayar sendiri? Jawapannya, puan perlu membuat rayuan kepada komiti memohon cuti menghadiri konferens sebab dulu permohonan puan sudah ditolak. Tidakkah ini dikira sebagai ‘training’? Oh, tidak. Sebab puan bayar sendiri. Kami tidak menyediakan kereta universiti bagi menghantar puan ke lapangan terbang. Dan puan perlu memohon cuti tahunan jika ingin pergi. Ini tidak dikira sebagai Official Duty. Dia berbahasa juga. Dia meminta maaf dari saya.

Jawapan dari Bahagian Sumber Manusia ini tidak pernah ada yang membahagiakan.

Saya dapat tahu dua orang tutor perempuan berbangsa Cina dari fakulti saya telah diluluskan pergi ke konferens yang sama. Yang saya tahu mereka belum pun sampai dua tahun bekerja. Mereka diarahkan berkongsi bilik hotel. Biasanya kelulusan akan diberi kepada seorang sahaja bagi satu konferens. Saya kira komiti telah menggunakan budi-bicara mereka dalam perkara ini.

Saya pula sudah 10 tahun di sini. Tak boleh pula budi dibicarakan.

Tuesday, January 1, 2008

Selamat Datang 2008!

Tahun 2007 merupakan tahun perubahan buat saya dan suami. Suami saya berhenti kerja sebagai pensyarah bagi memulakan perniagaannya sendiri. Saya pula sudah sangat ingin memulakan sesuatu yang baru tapi masih perlu kekal di tempat kerja walaupun hati melonjak-lonjak ingin keluar.

Tahun 2007 ialah tahun kami kembali belajar. Dia belajar menjadi penternak dan saya belajar menjadi penulis. Saya bertuah kerana mempunyai Sifu yang sangat dedikasi dan ikhlas, dan rakan-rakan yang sangat baik hati. Saya bertemu dengan kawan-kawan baru yang menjadi pendorong saya di dalam bidang ini.

Sebelum ini saya memang tidak fasih menulis dalam Bahasa Melayu. Sebagai bukti, bahasa dalam blog lama saya (url dirahsiakan, jangan marah) memang huru-hara. Saya membina blog baru sebagai tempat latihan saya menulis di dalam Bahasa Melayu. Saya belum mahir tapi saya rasa ada sedikit kemajuan. Saya ikut nasihat Sifu. Bagi menulis ayat bagus-bagus kita perlu membaca bahasa yang bagus-bagus. Sekarang saya sedang membaca novel Keledang oleh Sasterawan Negara A. Samad Said seperti yang disyorkan oleh Puan Sifu (Puan, saya anak murid yang ikut kata). Tapi saya perlu terus belajar. Saya mahu 'graduate' dari UNIKA.

Suami saya bekerja keras membina perniagaan penternakannya. Dia sekarang membela lembu, ikan siakap dan ayam kampung. Jika kebetulan ke Melaka, singgahlah di kandangnya, Mamod Ternak, yang terletak di Merlimau.

2008 bermula dengan perniagaan baru, aktiviti baru, bos baru, dan jawatan baru. Kami menyambut semuanya dengan rela hati.

Syukur kepada Allah yang telah melimpahkan nikmat kepada kita, dan semoga Allah memberkati usaha-usaha ikhlas kita.

Sunday, December 30, 2007

And I Thought I Could Bake!

Hari ini ada mood baking. So I made chocolate chip cookies (Recipe courtesy of MamaFami’s) and Pineapple Cake with Caramel Sauce.







The Pineapple Cake turned out nice but the cookies were too dry. Should’ve just stuck with my own choc chip recipe. Ah, asal dapat dimakan sudahlah. If I want nice, pretty cakes I can just call up my friend, Noridah (her Carrot Cake is to die for), or Iza for her out of this world brownies.

I need to make some improvements here. I need to get a new digital camera.


Saturday, December 29, 2007

PLKN Here We Come!

Di tempat letak kereta MITC, Ayer Keroh, Melaka

Hari ini ialah hari pendaftaran masuk Kumpulan Pertama PLKN Sessi 2008. Maka ramailah ibubapa dan peserta berkumpul di tempat pengangkutan yang telah dikenalpasti. Di Bandar Melaka, tempat berkumpul ialah di tempat letak kereta MITC Ayer Keroh.

Saya dan anak lelaki saya, Juwaidi, bertolak jam 8 pagi dari rumah (mugo rumoh dekat kei). Dia memang dipanggil untuk menyertai PLKN kali ini tapi oleh kerana dia ialah atlit Negeri Melaka dalam sukan memanah, Majlis Sukan Negeri Melaka telah mengeluarkan surat menyokong penangguhannya. Wah! Bukan main suka lagi dia. Siap dia suruh kami membaca surat sokongan itu kuat-kuat terutama bahagian “atlit harapan, yada yada yada, menyumbang pingat di Sukan Sukma XII Terengganu, yada yada yada..”. Isy! Orang muda, kuat perasan.

Sampai di pick-up point MITC, kami tunjukkan salinan surat kepada Komandan Kem Asahan dan surat sokongan MSN kepada pegawai bertugas. Pegawai Kem Lagenda Asahan yang menyuruh saya berbuat demikian semasa saya menelefon semalam. Pegawai di pickup point itu pula enggan menerimanya, sebaliknya menyuruh kami menghantar sendiri surat tersebut ke Kem Lagenda Asahan.

“Isy! Banyak kerja pula kena ke Kem Asahan! Ingatkan senang saja!” Juwaidi mengomel.

“Peraturan Gomen, Bang! Tak payahlah dibantah-bantah. Mujur kem bukan di Perlis!” Saya sebenarnya tidak kisah sangat kerana saya suka ke kawasan Asahan itu. Stress reliever!

Saya masih ingat pesan Sifu saya tentang cara berurusan dengan Gomen. Ikut sahaja rentak mereka untuk mendapatkan sesuatu (selagi bukan rasuah, ya).

Sampai di sana, Pegawai-pegawai PLKN sudah siap sedia di dewan terbuka menunggu para peserta. Belum ada peserta yang sampai dan urusan kami selesai dalam masa kurang 5 minit. Setelah menerima penjelasan serba sedikit dari kami, mereka cuma mengambil salinan surat-surat itu, cop terima dan kami sudah boleh pulang.

“Sekejapnya!” Juwaidi yang dari tadi agaknya cuak juga takut penangguhan tidak diterima sudah tersenyum lebar.

Begitulah. “Expect the unexpected” bila berurusan dengan yang berkuasa.

Tadi semasa di MITC kami terjumpa dengan Hazira, kawan Juwaidi semasa di sekolah rendah. Ibunya kebetulan juga kawan saya di tempat kerja. Bila dia dapat tahu Juwaidi terlepas, dia hantar SMS. “Ko xaci.”

Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Jasin, Melaka.

Gambar kenang-kenangan peserta PLKN 'terlepas'

Tuesday, December 25, 2007

SPA O


Hari Raya AidilAdha yang baru lalu kami sambut bersama keluarga di Dungun, Terengganu. Kedua-dua ayah dan ibu mertua saya sudah tiada jadi kami biasanya ke rumah abang sulong suami saya, Mazlan. Anak-anak kami sudah sangat rapat dengan sepupu-sepupu mereka. Abang Mazlan dan isterinya sangat sayang anak-anak saya, seperti juga saya sangat sayang anak-anak mereka.

Hari Raya pertama dan kedua kami di rumah sahaja menunggu saudara-mara datang seperti kebiasaannya. Kami juga mengunjungi rumah besan abang Mazlan yang membuat khenduri korban. Hari raya ketiga kami mula bergerak ke Kuala Terenganu untuk menziarah keluarga di sana, termasuk juga sahabat-sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.

Kami sudah lama tidak berjumpa dangan Bob dan Wati. Bob dulu bekerja di Celcom. Kesihatannya terganggu setelah begitu lama bekerja menggunakan telefon mobile sehingga telinganya berdengung dan kepalanya sakit apabila menggunakan telefon bimbit. Bayangkan kerjanya memerlukan dia menggunakan berbelas-belas unit telefon pada satu-satu masa. Bob memilih untuk berhenti dan mengambil VSS. Kesihatannya semakin teruk sehinggakan dia terpaksa keluar masuk hospital beberapa kali dalam setahun.

Setelah begitu lama hidup dalam kesusahan, Bob dan Wati telah dibantu oleh sepasang suami isteri yang pemurah untuk menjalankan bisnes spa dan gim di Gong Badak, Kuala Terengganu. Wati nekad berhenti kerja sebagai jururawat di sebuah pusat rawatan swasta untuk menguruskan spanya. Mereka beroperasi sepenuhnya bermula 1 Disember 2007 yang lalu. Spa ini dikunjungi oleh surirumah, pensyarah dan pekerja-pekerja di kawasan Gong Badak yang sudah semakin ‘glamour’ sekarang. Spa ini menawarkan perkhidmatan facial, urut tradisional/aromatheraphy, lulur, mandi susu, sauna infrared, dan Thai Bath. Gim pula bersebelahan sahaja dengan spa tersebut. Cafe di bahagian balkoni tingkat atas akan dibuka tidak lama lagi. Yang penting, kesihatan Bob sudah semakin baik, anak-anak mereka sudah dapat lebih perhatian dari ibu dan ayah mereka, dan kehidupan mereka sudah semakin baik. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Semoga Bob dan Wati sentiasa mengingati Allah Penentu Segala-galanya.

Promosi sikit-sikit ya. Jangan marah.

Orchid Day SPA, Fitness Center & Café
Tingkat 1, Lot 1133/A&B, Jalan Gong Badak, Gong Badak.
(Dekat dengan pintu masuk KUSZA, sebelah restoren ayam goreng)