Sunday, December 16, 2007

Syurga John

Aduh! Ini udah gawat nih! Gimana sih!

Petang tadi saya dan suami pergi ke kandang lembu kami di Merlimau. Biasanya dia akan turun dua hari sekali bagi melihat lembu-lembunya. Pengurus kandang dan rakan kongsi kami, Nizam, dan pekerja-pekerja lain sentiasa ada di sana untuk mengurus lembu-lembu itu. Mereka perlu diberi makan rumput dan dedak setiap hari. Memang lembu-lembu ini kuat makan. Lepas itu kuat pula ‘membuang’. Pada mulanya saya tidak biasa dengan bau ‘buangan’ yang kuat. Lama kelamaan saya sudah ‘kalih’ (bahasa Terengganu bermaksud ‘sudah biasa’. Mungkin diambil dari perkataan ‘kalis’..saya teka aje).

Sambil menikmati kuih jemput-jemput dan kopi panas di tepi kolam ikan di bahagian belakang kandang (bagi yang memberikan reaksi ‘ewwwww’, tempat ini jauh dari kandang, tiada bau), Nizam memberitahu saya 5 ekor akan dijual sebagai lembu korban (empat hari lagi Hari Raya Korban) dan disembelih di situ juga. Berita sedih, John akan turut dikorbankan.

Saya mencari-cari suami saya yang masih berada di kandang. Dia sedang bermain dengan John dan beberapa ekor lembu betina yang datang dekat kepadanya. John di antara yang pertama masuk ke dalam kandang pada akhir Oktober lalu. Badannya besar tapi dia jinak. Kami sudah sayang kepadanya. Dak Mi, salah seorang pekerja di sana yang memberikan nama itu. Ada seekor pula dinamakan Bulat oleh Pyan, dan saya menamakan seekor lembu betina Kajol kerana bulu matanya lentik dan matanya seakan bercelak.

(Gambar John sebulan yang lepas. Sekarang dia lagi berisi.)

“Abang sudah tahu, Kak. Tapi dia tak cakap banyak. Dia suruh saya uruskan sahaja,” kata Nizam kepada saya. Saya faham perasaan suami saya.

Seorang sahabat saya yang mahir tentang urusan perniagaan keluarga (ehem, ehem…) pernah berpesan, ‘Buat perniagaan yang serasi dengan jiwa kita!”. Hmmm…jiwa saya dan suami (saya pasti Nizam, Dak Mi, Pyan, dan Black pun sama) sayang pada binatang. Gimana sih?

Saya sempat memberikan lembu-lembu itu makan rumput. Apabila tiba masa hendak pulang, pada leher saya seperti ada sebiji bola golf. Saya pergi mendekati John dan memandang matanya. Dia hanya melihat saya dengan selamba sambil mengunyah rumput yang sudah disediakan di dalam palong.

“Assalammualaikum, John. I see you later… .” Kemudian saya cepat-cepat beredar sebelum 'hujan' turun. Apabila saya datang melawat lagi nanti selepas Hari Raya Korban John sudah tidak ada di dalam kandangnya. Dan yang pasti pada masa itu John akan berada di dalam syurga …

2 comments:

Norlela Zubir said...

Assalamualaikum Mun,
Saya rasa, orang yang sayangkan binatang kena buat bisnes pet shop!!! Hmmm... janganlah bersedih. John bukan pergi mana pun, dia pergi ke syurga, kan... Aduh... peninglah kepala En. Marzuki hendak memujuk isteri manjanya yang kememeh ini!!!

MS said...

Hahaha...Buka pet shop saya geli pula... hamster saya tak tahan! Eeeee...