Friday, April 4, 2008

Kuala Lumpur International Book Fair 2008



Hari ini saya ke Pesta Buku di PWTC bersama-sama dengan beberapa orang rakan dari fakulti dan juga fakulti lain. Kami bertolak dari Melaka dengan menaiki bas kolej lebih kurang pada jam 9 pagi diiringi oleh beberapa pegawai perpustakaan. Pemandu bas sangat berhemah. Kami sampai di PWTC pada jam 11 pagi.

Sebelum turun dari bas pegawai perpustakaan berpesan, ‘Kita jumpa balik di sini jam 3.30 petang’. Aduhai! Sekejapnya!

Saya, Edyra dan Jun cepat-cepat berjalan menuju ke dewan pameran. Kami hendak menyelesaikan urusan ‘book selection’ untuk perpustakaan terlebih dahulu. Kami ke ‘booth’ penerbit buku-buku teks seperti McGraw Hill, Pearson Education, Wiley, dan Taylor and Francis untuk membuat pemilihan buku-buku rujukan.

Saya sangat suka aktiviti ini yang saya panggil OPM, ‘Other People’s Money’. Kami memilih apa-apa sahaja tajuk yang kami rasa sesuai, samada buku teks atau buku ‘trade’ tanpa mengira bilangan atau harga. Lebih kurang seperti Mak Datin sedang membeli belah tanpa mengira harga, kerana Datuk yang akan membayarnya! Hahaha!

Setelah selesai urusan pemilihan buku kami makan tengahari di tempat makan yang disediakan di dalam bangunan PWTC. Saya ingin membeli beberapa buku yang sudah disenaraikan awal-awal lagi, termasuk buku-buku PTS dan buku-buku oleh Saudara Faisal Tehrani.

Hari ini ialah hari pertama pameran. Oleh kerana hari ini hari bekerja jadi belum ramai lagi pengunjung yang datang. Yang ramai ialah para-para pensyarah dan wakil-wakil perpustakaan yang datang membuat pemlihan buku. Kawasan pameran tidak sesak dan masih selesa. Esok tentu lagi ‘happening’. Penulis-penulis juga belum ramai yang muncul. Kami tidak dapat menemui Saudara Faisal Tehrani kerana dia hanya akan tiba pada jam 3.30pm.

Semasa kami tiba di ‘booth’ PTS pada jam 2pm, keadaan agak lengang. Saya sempat berbual dengan Puan Hazizam Boss PTS One. Saya terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan Sifu saya. Sudah lama saya tidak bertemu beliau.

Saya menaiki bas dengan beg penuh berisi buku-buku. Seronoknya! Saya mahu datang lagi kerana ada lagi buku-buku di dalam senarai saya yang belum dibeli.





4 comments:

Norlela Zubir said...

Assalamualaikum Mun,

Alhamdulillah, seperti saya beritahu di telefon tadi, buku yang dipesan (Karya Nan Indah) dapat dibeli. Dan paling istimewa, ia siap bertandatangan penulisnya, Faisal Tehrani.

Namun saya ralat, Mun. Saya gembira sangat bertemu si penulis tersohor itu sehingga saya terlupa membeli senaskah lagi untuk saya sendiri! Aduhai, Mun...

Anonymous said...

Waalaikummussalam Kak Lela,
Terima kasih banyak-banyak dapatkan buku itu. Kesian Kak Lela..Nanti. Jika saya pergi sekali lagi, saya pula belikan untuk Kak Lela.

fendy_ahmad said...

wah, menarik nampak rombongan cik kiah ke pesta buku internasional ;)

terima kasih atas 'trevelog haji' karya Prof. Kamil yang akan saya baca dan jadikan panduan membina diri, InsyaAllah :)

Anonymous said...

Hehe...Memang menarik! Rasa mau pergi lagi. Semoga buku THMSI memberi manfaat.