Tuesday, November 27, 2007

Chariots of Fire


“Eh, mana Adam? Mana dia?” Kedengaran suara dari bahagian belakang bas.

Keadaan dalam bas tiba-tiba riuh. Baru kami sedar Adam tiada di dalam bas.

“Pakcik! Pakcik! Berhenti! Ada budak tertinggal di belakang!” Kami menjerit ke arah pemandu bas itu.

“Hah? Siapa? Siapa yang tertinggal?” jerit pakcik driver sambil menoleh ke belakang.

“Adam, pakcik! Adam tertinggal!”

Bas sudah sampai di satu tempat di Lebuhraya Karak di mana jalanrayanya rata sedikit. Budak-budak itu meminta supaya pakcik driver berhenti supaya mereka boleh pergi melegakan diri. Maklumlah pada masa itu mana ada R&R untuk kemudahan pengguna jalanraya. Cuma ada semak samun tempat melepaskan yang terpendam. Budak-budak perempuan tiada pilihan. Tahan sajalah.

Bas bertolak awal pagi tadi. Bas ini di antara banyak-banyak bas yang disewa oleh MRSM Kuantan di Alor Akar bagi menghantar pelajar-pelajar balik ke kampong masing-masing pada cuti hujung tahun. Tidak seperti sekarang, di mana ibubapa akan mengambil anak-anak mereka di sekolah, dulu bas akan menghantar pelajar-pelajar ke bandar-bandar utama sahaja. Di sana nanti barulah ibubapa akan mengambil anak-anak mereka.

Saya dan beberapa orang rakan lain akan balik ke Kota Kinabalu jadi kami menaiki bas ke Kuala Lumpur. Sampai di sana nanti pegawai Yayasan Sabah akan membawa kami ke Wisma Belia dan keesokan harinya baru kami bertolak ke Kota Kinabalu.

“Macamana boleh tertinggal? Kamu patut tengok rakan yang duduk di sebelah kamu, sudah naik atau belum!” Pakcik driver itu belum puas memarahi kami. Dia pun takut dipertanggungjawabkan sekiranya ada apa-apa yang berlaku ke atas pelajar-pelajar ini.

Dia terus memberhentikan bas dan mengerakkan bas ke belakang. Dia berhati-hati kerana jalan bengkang bengkok. Nasib baik jalanraya lengang pada masa itu. Dari jauh kami nampak Adam berlari dengan sekuat hatinya mengejar bas itu. Bas sudah bergerak sejauh 200 meter apabila kami sedar tentang ketiadaan Adam.

Bas terus berhenti dan menunggu Adam. Kami di dalam bas langsung tidak bersuara kerana kasihankan Adam yang bersungguh-sungguh mengejar bas. Sampai saja Adam di bas itu kami semua bersorak. Kami lega Adam tidak ditinggalkan terus. Bayangkan jika itu berlaku pada diri sendiri! Adam yang tercungap-cungap dan berpeluh terus duduk di kerusinya. Tanpa banyak soal pemandu bas itu meneruskan perjalanan.

Keadaan riuh kembali tenang. Masing-masing cuba melelapkan mata kerana perjalanan ke Kuala Lumpur masih jauh.

2 comments:

Norlela Zubir said...

Assalamualaikum Mun,
Teruslah menulis nostalgiamu. Saya setia membacanya, insyaAllah...

MS said...

Terima kasih Kak Lela. Saya rasa lebih selesa bercerita daripada cara lain. Doakan saya berjaya dalam bidang penulisan. Love ya...