Sebenarnya manusia memiliki berlian di dalam dirinya kerana lebih daripada 18 peratus jasad manusia terdiri daripada karbon. Namun, berlian di dalam diri manusia tidak terhasil tanpa tekanan dan ujian sebagaimana berlian di dalam bumi tidak terhasil tanpa tekanan yang kuat dan suhu yang tinggi. Berlain di dalam diri manusia hanya terhasil apabila kesabaran diuji, kecekalannya dicabar, kesungguhan dan kegigihannya disuling dan keimanan serta ketakwaannya ditapis. Apabila manusia berjaya melepasi ujian-ujian ini, dia menjadi permata umat yang mampu mengukir sejarah kecemerlangan dalam hidupnya. Pada masa itu dia mencapai kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.
Bab 76: Kekuatan Sabar dan Cekal
Sifat sabar dan cekal dipentingkan oleh Islam kerana ia membantu saudara mencapai kejayaan. Oleh kerana itu, kalimat sabar diulang-ulangi tanpa jemu dan bosan di dalam Quran.
1. Dalam surah al-Baqarah ayat 153 Allah menjelaskan yang bermaksud, "Wahai mereka yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Allah bersama-sama dengan orang yang sabar."
2. Dalam surah Ali Imran ayat 120 Allah menyatakan yang bermaksud, "Jika kamu bersabar dan bertakwa tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu."
3. Dalam surah an-Nisak ayat 25 Allah menyatakan yang bermaksud, "Jika kamu bersabar ia adalah baik bagimu."
4. Dalam surah Yusuf ayat 90 Allah menerangkan yang bermaksud, "Sesiapa yang bertakwa dan bersabar sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan ganjaran ke atas mereka yang melakukan kebaikan."
5. Dalam surah Luqman ayat 17 Allah menyatakan yang bermaksud, "Bersabarlah atas apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk dalam perkara yang diwajibkan Allah."
6. Dalam surah az-Zumar ayat 10 Allah menjelaskan yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengganjari mereka yang bersabar dengan ganjaran yang banyak yang tidak dapat dihitung."