Showing posts with label Kisah2 MRSM. Show all posts
Showing posts with label Kisah2 MRSM. Show all posts

Saturday, February 14, 2009

Kuatagh

Kami hidup bersama-sama selama 5 tahun. Setiap tahun roommate silih berganti tetapi classmate tidak berubah. Cuma semasa tingkatan 4 apabila perlu memilih aliran Sejarah atau Geografi, budak-budak Sejarah dimasukkan ke dalam satu kelas. Yang lain kekal dalam kelas asal sejak Tingkatan 1.

Keadaan di asrama dulu bukanlah seperti di rumah sendiri. Air selalu tak ada. Kadang-kadang mandi dalam sehari menggunakan air satu baldi saja. Siapa yang ada baldi besar, lebih bersih sedikit daripada yang ada baldi kecil. Pelajar lelaki akan ke Bukit Pelindung untuk mandi atau mereka akan panjat tangki air bangunan akademik.

Apabila hendak membasuh baju, satu barisan panjang akan dibentuk di hadapan satu-satunya paip air di tengah-tengah blok. Yang hendak berwudhu atau basuh rambut boleh mencelah-celah. Kalau difikirkan sekarang memang siksa hidup di asrama pada masa dahulu. Tapi pada masa itu saya rasa ok saja. Tak ada hal. Sekarang kalau air dicatu beberapa jam pun saya sudah sesak nafas seperti cacing kepanasan.

Malam hujung minggu terutama awal bulan, kami adakan midnight feast di bilik asrama. Makan jajan dan junk food sambil menari, berborak, atau main board games. Kami buat selepas lights off, menggunakan cahaya lampu corridor sahaja. Biasanya tak kedapatan (kantoilah) tapi sekali sekala aktiviti kami dibau oleh warden.

“Oi! Cepat-cepat! Fembot datang! Fembot datang!”

Dang! Dumm! Duummmm! Pintu-pintu segera ditutup, radio dan cassette player dioffkan. Semua orang menahan nafas cemas. Warden berdiri di tengah-tengah blok sambil mencekak pinggang.

“Kamu ingat saya tak tahu! Saya mahu kamu semua tidur SEKARANG!”

Berkesan? Naaaah.

Kami juga ada resident ghosts dan pernah kena wabak hysteria. Tapi yang ini saya tak mahu ulas panjang lebar.

Makan tak pernah cukup. Perut selalu sahaja lapar. Balik dari prep malam pasti akan lapar semula walaupun sudah dinner sebelum itu. Kedai depan dewan makan menjadi tumpuan membeli keropok lekor, cekodok, air sirap dan sebagainya. Ada pelajar yang menjual mi maggi. Ada yang ronda keliling blok mencari mi maggie untuk di’pinjam’. Perlu diganti dengan maggi juga. Mi maggi lebih berharga daripada matawang.

Makanan dewan makan yang paling istimewa ialah fried chicken and peas with bread, yang menjadi menu pada satu hari Jumaat dalam sebulan. Pelajar perempuan boleh makan dahulu sementara pelajar lelaki pergi solat Jumaat. Saya suka makan tengahari hari Jumaat sebab tak payah control-control ayu. Ada makanan yang kami phobia sehingga bertahun-tahun selepas keluar asrama seperti bubur pulut hitam dan koleh kacang.

Kami kuat bersukan. Basketball, netball (girls only, naturally), hoki, tenis, table tennis, badminton, volleyball, bolasepak semua kami main. Petang selepas solat Asar, padang akan dipenuhi dengan pelajar. Cikgu-cikgu yang menjadi coach pun turun sama. Meriah! Kadang-kadang kami berjogging di luar sekolah, keliling Taman Kubang Buaya. Kadang-kadang kami pinjam basikal kakak dewan makan dan ronda-ronda luar kawasan sekolah. Saya paling suka apabila ada praktis hoki pada hari Sabtu atau Ahad. Kami tak mandi, terus turun ke padang. Kadang-kadang jika kami meminjam padang Sekolah Teknik kami akan berjalan kaki mengangkat air minum dan makanan (selalunya mi goreng) yang disediakan oleh dewan makan, sekali dengan peralatan sukan. Tak ada van yang akan menghantar. Kami tidak dimanjakan begitu. Pelajar perempuan bertukar-tukar nota dengan pelajar lelaki.

“Eh, korang mandi tak?”

“Tak, aku mandi cuci biji mata je.”

Cuba teka siapa coach hoki kami. Cikgu Fembot!

Dia mengajar dengan suara tinggi dan nyaring, “A hit is not a flick! And a flick is not a hit!” Tak boleh lupa sampai bila-bila.

Tim sukan sekolah kami hebat! Tim basketball lelaki dan perempuan, tim volleyball lelaki, tim badminton lelaki dan perempuan semuanya terkenal di Kuantan pada masa tu. (Tim hoki sekadar boleh tahan sahaja… :) )

Aktiviti co-kurikulum pun banyak. Walaupun sekolah kami relatif baru (saya dari batch ketiga) tapi kami ada brass band (saya masih ingat drum majornya – Arwah Joe Maaros), kelab taekwondo, kelab pandu puteri, bulan sabit merah, silat gayung, kelas tarian (Akak tak join. Akak kayu!) dan macam-macam lagi.

Aktiviti akademik pun banyak yang menarik. Kami di bawa ke tasik di Bukit Pelindung untuk membuat kajian biologi, ada science fair (akak menang tempat ketiga projek sains bertajuk ‘AIR’. Boleh buat drama swasta dengan tajuk ni), debate (tim debate kami dasyat!), minggu bahasa, dan macam-macam lagi.

Saya pernah menyertai pertandingan poetry reading dan di coach oleh Edith, rakan sekelas dari Sarawak. Di atas pentas saya tiba-tiba kaku dan lupa skrip. Edith di bawah cuba membantu. Bayangkan aksi Ahmad Nisfu berkata pada Bujang Lapok, “Cakap! Cakap!” Begitulah lebih kurang si Edith di bawah pentas.

Yang ditunggu-tunggu ialah persembahan pentas tahunan mengikut kelas yang diatur oleh Cikgu Dolah, cikgu muzik kami. Masing-masing hendak menunjukkan yang terbaik kerana selepas setiap persembahan, Cikgu Dolah akan membuat ulasan di dalam majalah sekolah. Cikgu Dolah memang baik hati. Selalunya ulasan positif.

Sekolah kami mempunyai barisan guru-guru dan staf yang hebat-hebat. Mereka berjaya mengeluarkan warganegara Malaysia yang tahan lasak, kuat, berdikari dan berwibawa. Ramai pelajar sudah menjadi orang-orang terkenal di Malaysia sekarang ini. Ramai yang hanya terkenal sesama kami sahaja tetapi ikatan persahabatan dan kekeluargaan yang sangat erat telah terbentuk semasa bersama-sama menempuh cabaran-cabaran di zaman yang paling penting di dalam hidup kami.

Walaupun tidak selalu berjumpa tetapi kami masih mengekalkan perhubungan persahabatan melalui SMS, telefon, dan email. Apabila sekali-sekala berjumpa, memang riuh-rendah. Pada masa itu, tak kira CEO kah, CFO kah, Director kah, kami masih melihat wajah sekolah menengah, jongos berpeluh, rambut berminyak, fashion sense yang kadang menyedihkan. Itulah kami anak-anak MRSM.

Tuesday, February 19, 2008

One Afternoon in 1980

Suatu hari saya sedang berehat di dalam bilik saya di Blok F tingkat 1, sambil membaca buku cerita. Tiba-tiba sekumpulan kawan-kawan seramai 6 orang berlari masuk ke dalam bilik saya. Mereka menerpa ke arah tingkap sambil cuba melihat ke bawah ke arah covered walk. Kebetulan bilik saya menghadap laluan dari kawasan blok penginapan ke bangunan akademik.

“Cepat! Cepat! Nampak tak? Nampak tak?”

Saya tercengang-cengang. Apa hal pulak ni?

“Kamu nak tengok siapa tu?” tanya saya bersahaja. Tidak berapa berminat mengetahui jawapannya, sebenarnya.

“Tak tahu ke? Budak-budak MRSM Kota Bharu sudah sampai! Mereka mahu lawan bola dengan kita! Kapten mereka cun tau!”

Saya membiarkan sahaja mereka yang masih cuba mendapatkan visual team bolasepak yang dimaksudkan itu.

Kami baru masuk tingkatan 5. Pelajar-pelajar semuanya masih dalam keadaan relaks sebelum memulakan ulangkaji bagi peperiksaan SPM.

Petang itu saya ke tingkat atas dewan makan. Di sanalah terletak satu-satunya telefon awam bagi kegunaan pelajar. Saya menelefon ayah saya bagi bertanya khabar keluarga di kampung.

Setelah selesai saya berlari turun tangga balik ke asrama. Apabila saya sampai di kaki tangga tiba-tiba saya terserempak dengan kumpulan pelajar-pelajar lelaki MRSM Kota Bharu yang baru selesai minum petang di dewan makan. Kami hampir bertembung. Mereka mengelak tapi tak seorang pun dari mereka yang memandang ke arah saya. Saya sempat memerhatikan budak lelaki yang nampak seperti ketua mereka, berjalan di hadapan sekali diikuti oleh beberapa orang pelajar lain.

“Ee! Macam bagus je… Confident smartla tu…” Saya merungut seorang diri. Sakit hati juga apabila dibuat seperti bayang-bayang. Tapi jauh di dalam hati saya berkata, “Hensem juga budak ni…”

Saya tidak pergi menyaksikan perlawanan bolasepak petang itu. Saya dengar Kapten MRSM KB main kotor memeteh kaki Kapten MRSM Kuantan. Saya dapat tahu juga yang pelajar yang hampir berlanggar dengan saya itulah juga Kapten bola mereka. “Dasar!”, saya berkata di dalam hati. Geram saya belum reda.

Saya hanya menjadi pemerhati dari jauh sahaja apabila mendengar update terkini Kapten pasukan bolasepak MRSM KB daripada kawan-kawan saya. Dahulu saya budak jongos, tidak pandai bercerita tentang perkara-perkara seperti itu.

>> Fast Forward…Februari 1981

Sekumpulan pelajar-pelajar dari MRSM Kuantan, Kota Bharu, dan Seremban dijadualkan terbang ke Carbondale, Illinois, USA bagi menjalani kursus TOEFL mereka sebelum ditempatkan di universiti masing-masing. Saya juga salah seorang daripada mereka.

Sampai sahaja di Lapangan Terbang Subang kami dikumpulkan di satu tempat. Dari jauh saya nampak seorang budak lelaki memakai songkok berjalan ke hulu ke hilir menguruskan sesuatu.

“Alamak! Budak confident smart ni pun ada jugalah…” Dia dilantik menjadi penghulu kami dalam perjalanan itu.

Sekarang setiap kali saya bercerita tentang budak confident smart itu kepada suami saya dia akan tergelak besar.

“Sombong sangat ke abang pada masa itu?”

Memang.

Tuesday, November 27, 2007

Chariots of Fire


“Eh, mana Adam? Mana dia?” Kedengaran suara dari bahagian belakang bas.

Keadaan dalam bas tiba-tiba riuh. Baru kami sedar Adam tiada di dalam bas.

“Pakcik! Pakcik! Berhenti! Ada budak tertinggal di belakang!” Kami menjerit ke arah pemandu bas itu.

“Hah? Siapa? Siapa yang tertinggal?” jerit pakcik driver sambil menoleh ke belakang.

“Adam, pakcik! Adam tertinggal!”

Bas sudah sampai di satu tempat di Lebuhraya Karak di mana jalanrayanya rata sedikit. Budak-budak itu meminta supaya pakcik driver berhenti supaya mereka boleh pergi melegakan diri. Maklumlah pada masa itu mana ada R&R untuk kemudahan pengguna jalanraya. Cuma ada semak samun tempat melepaskan yang terpendam. Budak-budak perempuan tiada pilihan. Tahan sajalah.

Bas bertolak awal pagi tadi. Bas ini di antara banyak-banyak bas yang disewa oleh MRSM Kuantan di Alor Akar bagi menghantar pelajar-pelajar balik ke kampong masing-masing pada cuti hujung tahun. Tidak seperti sekarang, di mana ibubapa akan mengambil anak-anak mereka di sekolah, dulu bas akan menghantar pelajar-pelajar ke bandar-bandar utama sahaja. Di sana nanti barulah ibubapa akan mengambil anak-anak mereka.

Saya dan beberapa orang rakan lain akan balik ke Kota Kinabalu jadi kami menaiki bas ke Kuala Lumpur. Sampai di sana nanti pegawai Yayasan Sabah akan membawa kami ke Wisma Belia dan keesokan harinya baru kami bertolak ke Kota Kinabalu.

“Macamana boleh tertinggal? Kamu patut tengok rakan yang duduk di sebelah kamu, sudah naik atau belum!” Pakcik driver itu belum puas memarahi kami. Dia pun takut dipertanggungjawabkan sekiranya ada apa-apa yang berlaku ke atas pelajar-pelajar ini.

Dia terus memberhentikan bas dan mengerakkan bas ke belakang. Dia berhati-hati kerana jalan bengkang bengkok. Nasib baik jalanraya lengang pada masa itu. Dari jauh kami nampak Adam berlari dengan sekuat hatinya mengejar bas itu. Bas sudah bergerak sejauh 200 meter apabila kami sedar tentang ketiadaan Adam.

Bas terus berhenti dan menunggu Adam. Kami di dalam bas langsung tidak bersuara kerana kasihankan Adam yang bersungguh-sungguh mengejar bas. Sampai saja Adam di bas itu kami semua bersorak. Kami lega Adam tidak ditinggalkan terus. Bayangkan jika itu berlaku pada diri sendiri! Adam yang tercungap-cungap dan berpeluh terus duduk di kerusinya. Tanpa banyak soal pemandu bas itu meneruskan perjalanan.

Keadaan riuh kembali tenang. Masing-masing cuba melelapkan mata kerana perjalanan ke Kuala Lumpur masih jauh.