Showing posts with label Famili. Show all posts
Showing posts with label Famili. Show all posts

Saturday, April 4, 2009

Psst...!!

Assalammualaikum! Hey, I’m still here! Wow! Sudah sebulan lamanya blog ini tak berasap. Dahsyat2. Saya terpelanting ke dalam keadaan yang menggawatkan. House work, office work, final exam preparation, midterm exam preparation, invigilation, PIBG, PhD, grant, classes. Aduh, letih…

Sehinggakan sekarang saya ada masalah pernafasan pula. Bila menarik atau menghembus nafas, terutama semasa tidur malam, paru-paru macam tidak cukup kuat. Secara otomatik, otot pada bahagian tengkok (atau bahagian mana saya pun tak tahu) akan bergerak sendiri (spasm). Semacam sawan sahaja bila bernafas.

Seringkali juga saya dilanda anxiety attack apabila banyak benda hendak disiapkan pada satu masa. Mujur ada kaunselor in-house, tempat mengadu, tumpang bahu untuk menangis (shoulder to cry on  :p).

Pada masa cuti sekolah lepas, saya sempat balik kampung jumpa emak, kakak-kakak, adik, dan anak saudara. Hanya Mik, Oci, dan JJ sahaja yang ikut sekali. Juwaidi dan ayahnya tidak ikut sama kerana mereka masih ada kelas. Seronok sungguh balik kampung. Kakak sulong saya menyewa kereta buat  kami bawa jalan-jalan. Dia bijak menyewa kereta Unser kerana dia tahu saya boleh pandu kereta tu. Keluar saja dari lapangan terbang saya terus sahaja dinobatkan menjadi pemandu. Saya harap dia tidak menyesal kerana dari Keningau ke Kota Kinabalu mengambil masa 2 jam sahaja. Saya merempit di atas jalan Banjaran Crocker.

Alahai, seronok dapat jumpa emak. Saya dapat baring di sebelahnya semasa dia duduk bersila membaca Quran sambil menunggu masuk waktu Isyak. Sedap suara emak. Dapat ziarah kubur Bapa. Dapat bergurau dengan adik beradik. Kami ada wavelength yang sama, tetapi selalu pada masa yang tidak sesuai …

Di Pejabat Tanah Keningau sedang menunggu pegawai di kaunter. Emak sedang duduk di atas kerusi yang disediakan. Saya, Along dan Bang Nik berdiri di kaunter.

Along: Chil (panggilannya kepada Bang Nik), kau mau dengar satu joke? Hehehehe…

BN: Eh, kakak ni! Tengoklah tu, di sini baru dia nak buka cerita. (Tersenyum)

MS: Saya pun ada, saya pun ada! Kakak dulu, lepas itu saya!

(Kami ketawa berdekah-dekah.)

Mak: Shhh!

(Kami berpandangan dan tersenyum.)

MS (berbisik): Beri sinopsis sajalah kak. Nanti dalam kereta baru kakak cerita.

Along: Ini tentang budak yang belajar di luar negeri selama 15 tahun…


MS: Eh? Macamana cerita kita ini sama! Cerita saya pun tentang itu juga!


Next entry saya letak gambar-gambar cuti di Keningau.


Note: Maaf, entri ini menggunakan bahasa rojak.

Saturday, February 14, 2009

Kuatagh

Kami hidup bersama-sama selama 5 tahun. Setiap tahun roommate silih berganti tetapi classmate tidak berubah. Cuma semasa tingkatan 4 apabila perlu memilih aliran Sejarah atau Geografi, budak-budak Sejarah dimasukkan ke dalam satu kelas. Yang lain kekal dalam kelas asal sejak Tingkatan 1.

Keadaan di asrama dulu bukanlah seperti di rumah sendiri. Air selalu tak ada. Kadang-kadang mandi dalam sehari menggunakan air satu baldi saja. Siapa yang ada baldi besar, lebih bersih sedikit daripada yang ada baldi kecil. Pelajar lelaki akan ke Bukit Pelindung untuk mandi atau mereka akan panjat tangki air bangunan akademik.

Apabila hendak membasuh baju, satu barisan panjang akan dibentuk di hadapan satu-satunya paip air di tengah-tengah blok. Yang hendak berwudhu atau basuh rambut boleh mencelah-celah. Kalau difikirkan sekarang memang siksa hidup di asrama pada masa dahulu. Tapi pada masa itu saya rasa ok saja. Tak ada hal. Sekarang kalau air dicatu beberapa jam pun saya sudah sesak nafas seperti cacing kepanasan.

Malam hujung minggu terutama awal bulan, kami adakan midnight feast di bilik asrama. Makan jajan dan junk food sambil menari, berborak, atau main board games. Kami buat selepas lights off, menggunakan cahaya lampu corridor sahaja. Biasanya tak kedapatan (kantoilah) tapi sekali sekala aktiviti kami dibau oleh warden.

“Oi! Cepat-cepat! Fembot datang! Fembot datang!”

Dang! Dumm! Duummmm! Pintu-pintu segera ditutup, radio dan cassette player dioffkan. Semua orang menahan nafas cemas. Warden berdiri di tengah-tengah blok sambil mencekak pinggang.

“Kamu ingat saya tak tahu! Saya mahu kamu semua tidur SEKARANG!”

Berkesan? Naaaah.

Kami juga ada resident ghosts dan pernah kena wabak hysteria. Tapi yang ini saya tak mahu ulas panjang lebar.

Makan tak pernah cukup. Perut selalu sahaja lapar. Balik dari prep malam pasti akan lapar semula walaupun sudah dinner sebelum itu. Kedai depan dewan makan menjadi tumpuan membeli keropok lekor, cekodok, air sirap dan sebagainya. Ada pelajar yang menjual mi maggi. Ada yang ronda keliling blok mencari mi maggie untuk di’pinjam’. Perlu diganti dengan maggi juga. Mi maggi lebih berharga daripada matawang.

Makanan dewan makan yang paling istimewa ialah fried chicken and peas with bread, yang menjadi menu pada satu hari Jumaat dalam sebulan. Pelajar perempuan boleh makan dahulu sementara pelajar lelaki pergi solat Jumaat. Saya suka makan tengahari hari Jumaat sebab tak payah control-control ayu. Ada makanan yang kami phobia sehingga bertahun-tahun selepas keluar asrama seperti bubur pulut hitam dan koleh kacang.

Kami kuat bersukan. Basketball, netball (girls only, naturally), hoki, tenis, table tennis, badminton, volleyball, bolasepak semua kami main. Petang selepas solat Asar, padang akan dipenuhi dengan pelajar. Cikgu-cikgu yang menjadi coach pun turun sama. Meriah! Kadang-kadang kami berjogging di luar sekolah, keliling Taman Kubang Buaya. Kadang-kadang kami pinjam basikal kakak dewan makan dan ronda-ronda luar kawasan sekolah. Saya paling suka apabila ada praktis hoki pada hari Sabtu atau Ahad. Kami tak mandi, terus turun ke padang. Kadang-kadang jika kami meminjam padang Sekolah Teknik kami akan berjalan kaki mengangkat air minum dan makanan (selalunya mi goreng) yang disediakan oleh dewan makan, sekali dengan peralatan sukan. Tak ada van yang akan menghantar. Kami tidak dimanjakan begitu. Pelajar perempuan bertukar-tukar nota dengan pelajar lelaki.

“Eh, korang mandi tak?”

“Tak, aku mandi cuci biji mata je.”

Cuba teka siapa coach hoki kami. Cikgu Fembot!

Dia mengajar dengan suara tinggi dan nyaring, “A hit is not a flick! And a flick is not a hit!” Tak boleh lupa sampai bila-bila.

Tim sukan sekolah kami hebat! Tim basketball lelaki dan perempuan, tim volleyball lelaki, tim badminton lelaki dan perempuan semuanya terkenal di Kuantan pada masa tu. (Tim hoki sekadar boleh tahan sahaja… :) )

Aktiviti co-kurikulum pun banyak. Walaupun sekolah kami relatif baru (saya dari batch ketiga) tapi kami ada brass band (saya masih ingat drum majornya – Arwah Joe Maaros), kelab taekwondo, kelab pandu puteri, bulan sabit merah, silat gayung, kelas tarian (Akak tak join. Akak kayu!) dan macam-macam lagi.

Aktiviti akademik pun banyak yang menarik. Kami di bawa ke tasik di Bukit Pelindung untuk membuat kajian biologi, ada science fair (akak menang tempat ketiga projek sains bertajuk ‘AIR’. Boleh buat drama swasta dengan tajuk ni), debate (tim debate kami dasyat!), minggu bahasa, dan macam-macam lagi.

Saya pernah menyertai pertandingan poetry reading dan di coach oleh Edith, rakan sekelas dari Sarawak. Di atas pentas saya tiba-tiba kaku dan lupa skrip. Edith di bawah cuba membantu. Bayangkan aksi Ahmad Nisfu berkata pada Bujang Lapok, “Cakap! Cakap!” Begitulah lebih kurang si Edith di bawah pentas.

Yang ditunggu-tunggu ialah persembahan pentas tahunan mengikut kelas yang diatur oleh Cikgu Dolah, cikgu muzik kami. Masing-masing hendak menunjukkan yang terbaik kerana selepas setiap persembahan, Cikgu Dolah akan membuat ulasan di dalam majalah sekolah. Cikgu Dolah memang baik hati. Selalunya ulasan positif.

Sekolah kami mempunyai barisan guru-guru dan staf yang hebat-hebat. Mereka berjaya mengeluarkan warganegara Malaysia yang tahan lasak, kuat, berdikari dan berwibawa. Ramai pelajar sudah menjadi orang-orang terkenal di Malaysia sekarang ini. Ramai yang hanya terkenal sesama kami sahaja tetapi ikatan persahabatan dan kekeluargaan yang sangat erat telah terbentuk semasa bersama-sama menempuh cabaran-cabaran di zaman yang paling penting di dalam hidup kami.

Walaupun tidak selalu berjumpa tetapi kami masih mengekalkan perhubungan persahabatan melalui SMS, telefon, dan email. Apabila sekali-sekala berjumpa, memang riuh-rendah. Pada masa itu, tak kira CEO kah, CFO kah, Director kah, kami masih melihat wajah sekolah menengah, jongos berpeluh, rambut berminyak, fashion sense yang kadang menyedihkan. Itulah kami anak-anak MRSM.

Tuesday, January 20, 2009

Happy Birthday JJ!



Selamat Hari Lahir yang ke 11, Muhammad JadulHaq.

Mama dan Ayah doakan JJ menjadi anak yang soleh, anak yang taat kepada perintah Allah, dan yang berbakti kepada bangsa dan agama.
We love you very, very, much
-Ayah, Mama, Abang, Kak Mik, Kak Ochi.

Friday, January 2, 2009

Janda Baik

Oops! Sebut betul-betul, Kg. Janda Baik!

Inilah pertama kali saya menjejak kaki ke dalam kawasan Kg Janda Baik. Kami sekeluarga bertolak jam 930 pagi, 25 Disember 2008. Pertama kali juga Juwaidi memandu kereta di dalam perjalanan jauh. Ayah mereka berehat di tempat duduk belakang, dan saya pula jadi co-pilot.

Saya memberitahu Juwaidi, “nasib Abanglah pagi ni, dapat ‘the passenger from *toot*’!”.

“Kenapa pula, Ma?” Dia tak faham.

Dalam perjalanan barulah dia faham.

“Eh, laju sikitlah. Atau masuk lane tengah! Ada kereta di belakang tu!”

“Kenapa laju sangat ni? Inikan turun bukit!”

Dah faham? Hehehe…

Dia ketuk lutut saya perlahan. “Laju salah, perlahan salah…”

“Don’t say I didn’t warn you…!”

Tiba sahaja di Kg Janda Baik, kami menghubungi En Atal, tuan rumah homestay di mana kami akan menumpang. Kami ditempatkan di rumah abangnya (kami memanggilnya Abang Long sahaja) kerana kebetulan pula anak En Atal baru melahirkan dan tinggal bersama ibubapanya semasa dalam pantang.

Aktiviti kami petang itu ialah memancing ikan di kolam Abg Long, melawat rumah percutian Dato’ Syed Hussein (seorang businessman), melawat rumah Syed Hussein Alattas/Pak Habib (dia kebetulan ada di situ), mandi di sungai yang mengalir di sepanjang sempadan rumah Pak Habib, kemudian dalam perjalanan balik ke rumah, singgah pula di Villa Semanggol. Mana lagi kalau bukan rumah kediaman Puan Sifu PTS. Tapi sayang sekali puan dan suami tiada di rumah. Kami cuma dapat lihat kucing-kucing yang banyak berkeliaran di kawasan rumah Puan. Mohon maaf Puan, saya ambil gambar kucing-kucing Puan tanpa kebenaran.






Malam itu kami berehat sahaja di rumah. Menurut Abang Long, Kg Janda Baik ni tiada night life. Orang akan masuk ke dalam rumah awal dan tutup pintu kerana udara luar sejuk sekali. Isteri En Atal masak lauk kampung. Alahai, sedapnya. Kami menambah nasi bebeberapa kali.

Keesokan harinya selepas solat subuh (waduh, sejuk!) kami ikut Abang Long pergi morning walk. Nyaman sekali udara segar! Kami mengikuti jalan menyusuri kawasan dusun, tepi sungai, short-cut melalui resort yang sedang dalam pembinaan. Terasa mesra sangat dengan anak-anak, bergurau-senda, amat relaks sekali. No stress at all! Kami nampak rumah-ruamh percutian individu-individu terkenal di Malaysia. Besar-besar dan indah-indah! Dalam hati ingin memiliki sebuah rumah percutian di sini. Tapi apabila mendengar harga market bagi satu ekar tanah di sini, habis padam impian itu. The current running rate for an acre of land is around RM400k, at least! Katanya.


Kemudian kami ke Kuala Gandah untuk melihat gajah. Petang itu kami dapat lihat gajah mandi di sungai, beri makan gajah-gajah dan yang paling best, dapat menunggang gajah. Seronok! En Atal ikut sama dan membawa anak perempuannya Syuhadah, dan dua orang cucunya Dani, 5 tahun, dan Haikal aka Abang Ngah, 3 tahun (rupa-rupanya 2 minggu sebelum itu, JJ dan Syuhadah menghadiri Summer Camp yang sama di Hulu Langat. Sah, small world). Dani jatuh cinta pada Mik. Mana-mana sahaja pergi bersama Mik. Mik memang suka melayan budak-budak kecil. Abang Ngah pula sangat comel tetapi ganas sedikit dari abangnya. Mereka kehairanan apabila Juwaidi menunjukkan skil majik menghilangkan duit syiling.

“Abang, buat lagi, buat lagi. Kali ni buat 2 duit!” Bijak! Dengan mereka ini tukang majik boleh bankrap kerana setiap kali duit syiling akan muncul, mereka akan ambil dan simpan dalam poket. “Abang, buat lagi, buat lagi. Kali ni buat 2 duit!”






Balik dari Kuala Gandah hujan lebat turun di Kg Janda Baik. Sebaik sahaja hujan berhenti kami cepat-cepat ke sungai. Mandi lagi! Percayalah, memang tidak mahu keluar! Apa boleh buat, sudah hampir waktu senja. Dalam hati, esok masih ada…


Malam itu kami kepenatan, lalu berehat sahaja di ruang tamu sambil berbual-bual dengan En Atal, Abg Long dan isterinya sambil anak-anak menonton TV. Rasa seperti melawat keluarga di kampung.

Keesokannya, saya, suami dan Ochi pergi morning walk lagi. Kami bertolak sudah lewat. Abang Long yang walk setiap hari sudah lama keluar rumah. Yang lain sambung tidur selepas solat subuh, kepenatan gara-gara gajah dan mandi sungai petang kelmarin. Balik dari morning walk kami memancing ikan lagi. Kali ini Ayah dapat ikan lampam besar. Biasanya selesai memancing kami akan lepaskan ikan-ikan balik ke dalam kolam. Tapi yang ini kami ambil dan goreng.

Kami mengambil keputusan balik ke Melaka tengahari itu. Tak jadi mandi sungai. Kami singgah di rumah En Atal. Dani memeluk Mik kuat-kuat tak membenarkan kakaknya balik. “Kalau kakak nak tinggalkan Dani, kenapa kakak kawan dengan Dani?” Mik menangis terharu. Dani cuba kawal airmatanya dengan buat-buat masam dan marah. Kesian saya melihatnya. Abang Ngah mahu pula dicium pipinya berkali-kali. Sebelum ini kalau kita cuba mencium pipinya, dia mengamuk.

Terima kasih En Atal dan keluarga, dan Abang Long dan isteri. Kami doakan kakak (isteri Abg Long) akan cepat pulih.

Kami meninggalkan Kg Janda Baik dengan berat hati. I think that was the best holiday we ever had. Kg Janda Baik, we will be back!

Monday, December 22, 2008

Kite



Petang kelmarin kami main kite di parkir kereta bersebelahan Restoran Subaidah dan Hotel MITC. Best! Sangat stress reliever. Sambil-sambil tu Mick dan Ochi belajar kereta dengan ayah mereka.

Anak-anak pun suka. "Mari kita family day every weekend nak, Ma!" Mama on aje!

Sunday, November 30, 2008

Here We Go Again!

Berulanglah lagi episod tiada pembantu di rumah saya apabila pagi tadi kami menghantar bibik Karimah pulang ke kampung halamannya di Jakarta Selatan. Hari ini tepat-tepat 3 bulan dia bekerja dengan kami. Saya mengambilnya di stesan bas Pudu pada 31 Ogos lepas, lebih kurang jam 2 pagi.

Berbekalkan buah tangan dan wang beberapa puluh ribu (rupiah, dong!) dia menangis di pintu masuk balai berlepas LCCT. “Kalo saya nggak sakit kayak gini, mahu saja saya terus kerja, pak! Masya Allah, Masya Allah. Ibu baik, bapa baik.”

Apa masalahnya? Di atas pasportnya tertulis tarikh lahirnya pada tahun 1970. Tetapi saya musykil kerana dia nampak lebih tua. Pada mula dahulu semasa menerima biodatanya, kami hanya bersangka baik kerana kadang-kadang pembantu rumah ada juga yang kurang fotogenik dan nampak berbeza daripada umur yang dicatatkan. Setelah diinterviu berkali-kali akhirnya dia mengaku sudah menopos lebih 6 tahun (Ok, you do the math). Dari mula sampai dia sering sakit kakilah, sakit kepalalah, mata kaburlah, sakit pingganglah. Kemudian kelenjar limpanya (lymph node…sukati je aku translate) pula mula membengkak. Beberapa kali dibawa ke klinik tetapi masih juga tiada perubahan. Kami takut ini satu penyakit yang kronik lalu mengambil keputusan menghantarnya pulang. Dia sudah tua, tidak larat bekerja sebagai pembantu. Siapa kata kerja rumah ini mudah?

Sekarang kami perlu menunggu lagi keputusan agen tentang penggantinya.

Dengan berbagai urusan kerja dan keluarga, saya mohon Allah beri kesabaran dan kekuatan kepada saya di dalam menjalankan tanggungjawab ini. Dan semoga Allah memberikan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Wednesday, November 19, 2008

School's Out!

1) Majlis Penyampaian Hadiah
Sekolah Rendah Agama JAIM Ayer Keroh
15/11/2008


The Dwarf, the Giant, and the Boy.
(Ezzianee, JJ and Hejral)
Darjah 4
Nazam (Darjah 4)

Nazam


2) Makan Malam di TomYam Klasik Bukit Beruang


Ikan Siakap Goreng Menangis
(p/s: bukan ikan yang menangis, ya!)
(sok sek, sok sek)

Anak-anak (Juwaidi, Syazwani dan Syahida)


3) Jalan-jalan di Pantai Puteri, Tg Kling, Melaka.




Tuesday, October 14, 2008

PMR 2008


Hari Kedua, Selasa 14 Oktober 2008: Wajah-wajah ceria calon-calon PMR 2008 Sekolah Menengah Ayer Keroh, baru hendak masuk ke dalam dewan.

Dari kiri: Dak Ain, Syahida aka Ochi, Dia, Pka, Dak Zedah, dan Nabila aka Si Kembau. Di belakang mereka, alergik ambil gambar ialah Sabira.

Acik doakan anak-anak mendapat kejayaan super cemerlang di dalam peperiksaan ini. Lepas habis periksa, Acik masakkan Cheese Cake istimewa buat anak-anak semua, ok!


p/s: Happy Birthday, Syazwani ! 2 minggu lagi giliran Mik pula, SPM!

Thursday, October 9, 2008

Raya Fever Out, Exam Fever In!

Raya fever sudah berlalu. Sekarang bermula pula Exam Fever. Minggu ini ialah minggu Final Exam anak sulong saya di universiti. Minggu depan pula bermula PMR buat Ochi. Minggu selepas itu JJ pula akan menduduki peperiksaan akhir tahun. Kemudian Mik pula dengan SPM.

Masing-masing dengan gaya belajar dan mengulangkaji. Apa-apa pun yang penting asalkan mereka berusaha. Saya cuma berperanan sebagai pemberi peringatan sahaja. Saya sudah tidak panik atau stress semasa peperiksaan besar mereka. Tidak seperti semasa Juwaidi menduduki peperiksaan UPSR dan PMR dahulu. Maklumlah anak sulong katakan. Expectation diri dan orang lain membuatkan saya tertekan. Tapi tidak lagi. Saya tidak boleh jadi pemaksa. Anak-anak harus tahu saya menyokong mereka dan mendoakan kejayaan mereka. Yang mereka perlu buat ialah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan tawakal.

Bagi saya pula minggu ini juga pelajar-pelajar saya menduduki peperiksaan akhir semester mereka. Rata-rata mereka risau kerana secara tradisinya saya dikenali sebagai cikgu yang brutal di dalam penyediaan soalan peperiksaan. Seorang pelajar saya dari Yemen memberitahu rakannya, ‘Jika saya lulus peperiksaan Corporate Finance ini, saya akan berpuasa seminggu!’. Ali, Ali. Jangan tak ditunaikan nazar kamu itu nanti.

Cerita brutal itu cuma mitoslah.

Friday, September 26, 2008

Eid Mubarak


Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin
dari saya dan keluarga di Melaka.

Sunday, August 10, 2008

Assalammualaikum


Sudah lebih sebulan saya tidak mengisi blog ini. Rasa macam tidak cukup masa untuk duduk dan menulis. Saya minta maaf kepada pembaca-pembaca yang datang tetapi balik dengan tangan kosong sahaja. Dalam masa sebulan ini sebenarnya banyak perkara yang telah berlaku. Nanti saya ceritakan. Biar saya mulakan dengan yang paling sensasi. Saya balik kampung selama 4 hari!

Sabtu lepas 2/8/2008 saya bertolak ke Kota Kinabalu seorang diri. Lebih kurang 2 minggu lepas saya diberitahu yang ibu saya kurang sihat. Dadanya sakit. Saya mahu bersamanya walaupun dia sebenarnya baru balik dari Melaka dua bulan lepas. Lagipun keluarga saya akan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat sempena menyambut Ramadan. Ini salah satu ‘event’ tahunan yang mesti buat keluarga saya. Ramai sanak saudara dijemput, juga jiran-jiran di kampung. Saya teruja untuk pulang dan bertemu dengan mereka semua.

Setiba di lapangan terbang, saya dijemput oleh kakak sulong. Saya ada satu permintaan. Kak, boleh bawa saya ke sekolah rendah saya dahulu? Saya rindu hendak melihat sekolah lama saya itu. Jangan terkejut ya. Saya dulu bersekolah di sekolah mission, yang mempunyai seorang rahib perempuan sebagai guru besar. Tiba di sekolah itu saya mencari jaga dan memberi salam . Kakak saya hanya tersenyum-senyum. Jaga tidak kelihatan dan saya sesuka hati masuk dalam kawasan lalu mengambil gambar. Sekolah itu masih seperti dulu tapi sudah di cat warna merah. Ada dua tiga bangunan baru di beberapa tempat tapi struktur lama masih kekal.

Sekolah Rendah Stella Maris Tanjung Aru Kota Kinabalu.


Apabila tiba di rumah, kakak saya yang seorang lagi sudah mula menyediakan bahan-bahan masakan buat majlis esok hari. Dia sudah dinobatkan sebagai chief cook dalam setiap majlis yang kami adakan.

“Berapa jenis kali ni?”

“Dua belas.” Jangan terkejut. Ini normal.


Setelah melepaskan penat sebentar saya pun memulakan tugas sebagai pembantu tukang masak. Biasanya tugas-tugas ringan diberikan kepada saya seperti memotong bawang, membungkus kuih, merasa kuih, dan sebagainya. Ibu saya yang tidak pandai duduk diam itu pun sibuk menyediakan jeli kepala, kuih angin dan kuih kelupis. Riuh rendah dapur dengan gelak ketawa dan gurau senda kami. Esok pasti lebih riuh apabila lebih ramai datang.

Wajid, Kelupis, Kuih Angin, Baulu Gulung

Saya dapat berjumpa dengan adik-beradik, anak-anak saudara, ibu saudara, jiran-jiran yang masih ingat pada saya. Saya terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahi pusara ayah dan nenek kerana ‘keadaan’ yang tidak mengizinkan. InsyaAllah saya akan kembali.

Dendeng, specialty Chief Cook Rumah Saya

Sunday, June 8, 2008

Sukma 2008 Kuala Terengganu

Latihan Pra-Sukma

Latihan Pra-Sukma


Pasukan Compound Lelaki Melaka -- dari kiri, M Fadlullah (Mamat), Juwaidi, Izzudin, Sham.

Juwaidi -- Pingat Perak 90meter Compound Lelaki

(Juga memenangi pingat Gangsa bagi acara 70m Compound Lelaki)


Pasukan Compound Lelaki Melaka -- Pingat Gangsa Olimpic Round Berpasukan

Thursday, May 29, 2008

29th May 1988


Today is my 20th wedding anniversary. At first I wanted to write something about my life with my beloved husband but I decided I wouldn't be able to do it justice. I will just mess it up. So I decided to put up this song which is our favorite love song.

Abang, thank you for being there for me always. You are my dearest love, my best friend, and companion. There is no one on earth who understands me like you do. Not one single person. I love you with all my heart and soul.

Happy Anniversary, Abang.


Monday, May 26, 2008

My Sweet L.A.


“I have terminal cervical cancer. The doctor said it’s already in Stage 5.”

I was trying very hard not to let her hear me on the other side of the line. I was already sobbing. But my friend sounded so strong. She was trying to be brave.

I met her about a year ago. A petit, sweet natured Kadazan lady. I immediately liked her. We talked on that first day over lunch like two old friends. We came from the same East Malaysian state so I guess being far from home made us feel a kind of belonging with each other. She told me she had found a new faith, and it won’t be long until she takes the big step. We parted promising to keep in touch.

A few months after that she SMSed me, “Assalammualaikum, my sister. Saya selamat diislamkan on 30.7.07….”

We contacted each other on and off. The last time she called, she said she’s coming over to my house and she has very good news for me. She had found a nice man and they got married. I was so happy for her. When she came to my house she was already wearing a tudung.

I still can’t believe it. No. I do. But it’s really difficult when it’s someone you know so dearly. She has gone through so much, when her ex-husband left her and took her three children. She moved to Semenanjung to get away from the heartache and she found Allah. Actually she found Allah long ago when she decided that a prophet is not a God. Every time she prayed, she told me, she was praying to the One God. And Allah heard her.

Ya Allah, please keep her safe and give her strength.
Dear readers, please also pray for my friend.

Friday, May 9, 2008

Hong Teck Soon

Rumah sewa kami yang pertama di Melaka ialah di Taman Bukit Beruang, berjiran dengan ramai keluarga berbangsa Cina. Di rumah sebelah ada seorang budak lelaki bernama Hong Teck Soon. Peristiwa ini terjadi beberapa bulan setelah kami berpindah ke sana. Anak sulong saya baru dalam darjah satu pada masa itu.

Dari sebelah tembok kedengaran suara budak lelaki Cina itu, “Juwaidi makan ta**!” Beberapa hari perkara ini berlanjutan.

“Ma, budak sebelah cakap tak eloklah pada Abang.”

Saya kata jangan balas dengan kata-kata serupa sebaliknya balas dengan kata-kata baik-baik.


“Juwaidi gila! Juwaidi makan ta**!” Pekat telo Cina budak itu.

“Hong Teck Soon makan aiskrim! Hong Teck Soon makan pizza!” Juwaidi membalas dari sebelah sini.

Senyap.

Beberapa minggu kemudian.

“Assalammualaikum, Juwaidi!”

“Waalaikummussalam, Hong Teck Soon!”


Don’t ask me. I don’t know what happened.

Sunday, April 27, 2008

Panggilan Malam

Lebih kurang jam 2 pagi tadi, telefon bimbit suami saya berbunyi.

“Waalaikummussalam.…Innalillah…”

Dia mendapat berita pakciknya, iaitu adik kepada ibunya baru sahaja meninggal dunia di Kuala Terengganu. Suami saya tidak dapat tidur. Jam 4 pagi sayup-sayup saya terdengar suaranya. Dia hendak bertolak sekarang, katanya. Seharian dia di KL, balik lewat jam 9 malam tadi. Saya pujuk dia supaya berehat dahulu dan bertolak besoknya.

Selesai sembahyang subuh tadi dia berangkat seorang diri. Saya perlu menguruskan anak-anak jadi saya tak mengikutnya.

Semasa mengemas baju dia berkata, “Abang tak suka panggilan malam.”

Saya faham apa maksudnya. Saya sudah beberapa kali menerima panggilan seperti itu. Pertama kali, apabila pakcik saya meninggal dunia di ICU lebihkurang jam 3 pagi. Saya, yang masih tinggal bersama ibubapa pada masa itu, mengangkat telefon semasa semua orang sedang tidur. 14 tahun lepas saya juga yang mengangkat telefon, menerima berita tentang pemergian bapa saya di hospital. Saya sudah berada di kampung sejak 2 minggu sebelumnya. Walaubagaimanapun, takdir menentukan saya tidak ada di sisinya semasa dia menghembuskan nafas terakhir. Tahun lepas pula saya dapat panggilan tengah malam daripada kakak saya di Kota Kinabalu tentang kematian Atuk kesayangan saya. Saya fobia dengan panggilan tengah malam.

Tinggal berjauhan begini lebih terasa terutama sekali apabila menerima berita daripada keluarga di Sabah. Jika tidak berkemampuan untuk balik, hanya doa dan sedekah sahaja yang mampu saya berikan.

Wednesday, March 26, 2008

LEGOLAS



Juwaidi di Kejohanan Memanah Terbuka UUM di Sintok, Kedah 19/3/2008-23/3/2008 mewakili Persatuan Memanah Melaka. Kategori Recurve (ini bermaksud jenis peralatan yang digunakan).

Wednesday, March 19, 2008

Happy Birthday to Me!

Hari ini hari lahir saya yang ke ‘tooooot’… (kalau mahu tahu juga, saya kembar dengan Vanessa Williams yang berlakon watak Wilhelmina di dalam drama bersiri Ugly Betty. Sama tarikh dan tahun. Except that she’s drop dead gorgeous, of course!).

Saya sudah lama tidak menyambut hari lahir saya. Sekadar ucapan dari orang-orang tersayang sudah cukup bagi saya. Saya terima ucapan dari kawan-kawan rapat MRSM, kakak-kakak, anak-anak dan sudah tentu suami. Oh ya, saya terima sekeping kad di dalam bulan Februari lepas dari Jaya Jusco (sila lihat entri 28 Februari). Seharian saya bersama suami, sarapan dan minum petang di luar bersamanya. It doesn’t take much to make me happy.

Walaupun tidak pernah ada parti hari lahir (hmm..sebenarnya ada sekali semasa saya di sekolah rendah. Jamuan dibuat serentak dengan kakak saya yang menyambut hari lahir di dalam bulan yang sama), saya pernah juga menerima hadiah. Saya masih ingat rakan-rakan sebilik (Shida, Ain, Thu) semasa Tingkatan 5 meraikan hari lahir saya dengan memberikan hadiah dart board yang menggunakan bola ber-velcro. Rakan saya, Noy, pula membawa saya ke bandar, kononnya meminta tolong saya memilih hadiah buat adik angkatnya. Saya betul-betul ‘blur’ pada masa itu dan tidak menyangka apa-apapun. Sehinggakan saya sendiri membalut hadiah yang sebenarnya untuk saya! Kakak-kakak saya pula pernah mengepos hadiah ‘underwear’ sebanyak 7 helai dan menulis hari-hari dalam seminggu di atas setiap satu. Adoy!

Saya kira bukan hadiah yang penting. Sekadar diingati dan dihargai walau dengan apa cara sekalipun.
Ya Allah, Engkau berkatilah umurku, Engkau berilah kepadaku fikiran yang cergas, tubuh badan yang sihat supaya aku dapat melakukan kerja dan mencari rezeki buat keluargaku. Engkau peliharalah diriku, suamiku, anak-anakku, ayahku, ibuku, kakak-kakak dan adikku serta ahli keluarga mereka. Ampunilah dosa-dosa kami yang lepas dan yang akan datang. Hanya kepada Engkau kami berserah Ya Allah.

Sunday, February 17, 2008

Learning must be Fun!

Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahu melihat anak-anak saya berjaya. Biasanya ukuran kejayaan dilihat pada keputusan ujian dan peperiksaan mereka. Keputusan mereka menjadi punca kelegaan dan boleh juga menjadi punca stress kepada ibubapa.

Dulu saya pun begitu juga. Saya terlalu menekan anak-anak saya supaya mendapat keputusan yang baik. Saya selalu bandingkan mereka dengan diri saya dan juga ayah mereka yang pada masa dahulu boleh dikatakan ‘star’ di sekolah rendah masing-masing.

Tapi tidak kesemua anak saya cemerlang dari segi akademik. Keputusan UPSR anak lelaki sulong saya yang teramat hyper itu membuatkan saya sedih berhari-hari. Tambah tertekan apabila kawan-kawan sentiasa mempunyai ‘expectation’ bahawa anak-anak pensyarah mesti pandai-pandai belaka. Tapi saya fikir yang lebih tertekan adalah anak saya itu. Macam-macam perkara pelik yang dia lakukan.

Saya mengambil keputusan mengubah pendekatan saya. Saya berperanan sebagai motivator, memberi semangat dan sokongan material (Peralatan sekolah dan riadah sahaja. Saya tidak memberikan anak-anak saya gadgets seperti PS dan sebagainya), dan yang paling penting sekali kasih sayang. Saya selalu tekankan bahawa kita dapat apa yang kita usahakan. Jika kita tidak suka apa yang kita dapat, dan jika kita tahu usaha kita belum cukup banyak, maka kita sudah tahu apa yang kita perlu lakukan. Saya akan beri pujian kepada kemajuan mereka walaupun sedikit.

Saya mahu anak-anak saya berdikari dalam pelajaran. Saya tidak mahu mereka muak belajar sehinggakan apabila tiba masa ke universiti mereka sudah bosan. Saya mahu mereka menjadi pelajar seumur hidup, dan bukan hanya belajar untuk peperiksaan.

Anak kedua dan ketiga saya akan menduduki peperiksaan SPM dan PMR tahun ini. Selain tuition dan study group, mereka masih ada masa bermain dalam band sekolah, menghadiri kelas Arab dan hafazan di luar, dan menulis novel remaja bersama kawan-kawan.

Anak sulong sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM sambil berlatih memanah. Semasa mengisi borang UPU minggu lepas, dia terfikir juga memilih bidang pelajaran yang boleh membantu ayahnya nanti. JJ masih kecil berbanding mereka semua. Dia perlu bimbingan abang dan kakak-kakaknya.

Semoga Allah jadikan mereka anak-anak yang soleh dan solehah, memelihara agama mereka, dan membuka hati dan minda mereka menerima pelajaran yang baik-baik.

Adi, Mik, Ochi and JJ, I love you…mmuuahh! Make me proud.

Tuesday, February 12, 2008

CCKB76 2008




Tahun ini Cuti-Cuti Batch MRSM KB 1976 telah diadakan di Pulau Pinang pada 9 dan 10 Februari 2008. Ini ialah kali yang ke… (sekejap, 1-PD, 2-Cherating, 3-Tok Bali, Kelantan, 4-Melaka, 5-Penang), ok, yang ke 5 diadakan sejak 5 tahun lepas (hehehe…du’uh).

Kumpulan ini akan bercuti bersama-sama sambil makan-makan, mengeteh (yang lelaki), dan, apa lagi, berborak sampai larut malam. Ada juga diadakan Telematch buat anak-anak.

Keluarga saya pergi setiap tahun. Saya sendiri miss tahun ke 2 kerana anak kecil saya tidak sihat pada masa itu. Tuan M dan anak-anak yang lain balik membawa macam-macam hadiah Telematch.

Tahun ini ada 24 keluarga yang hadir, 16 daripadanya adalah regulars. Yang lain datang buat pertama kalinya, termasuk Prof Kamil yang datang membawa anak-anaknya. Saya dari kem isteri-isteri sudah kenal satu sama lain terutama sekali yang regulars. Saya juga kenal kebanyakan ahli KB76 ini kerana ramai di antara mereka satu universiti dengan saya dahulu.

Pada malam terakhir selepas makan malam dan bertukar-tukar hadiah, mereka menyanyikan lagu maktab. Saya kagum sungguh dengan kumpulan ini. Mereka masih ingat lagi lagu maktab dan masih menggunakan nombor maktab, iaitu angka giliran semasa di MRSM dahulu, dalam aktiviti mereka. Saya dari MRSM Kuantan Batch 76 pun sudah lupa (atau tidak pernah ingat) lagu maktab, apatah lagi nombor maktab saya.

Tahun depan CCKB76 dicadangkan di Terengganu pula. Jika umur kami masih panjang, insyaAllah, kami akan berjumpa lagi.