Sunday, August 10, 2008

Assalammualaikum


Sudah lebih sebulan saya tidak mengisi blog ini. Rasa macam tidak cukup masa untuk duduk dan menulis. Saya minta maaf kepada pembaca-pembaca yang datang tetapi balik dengan tangan kosong sahaja. Dalam masa sebulan ini sebenarnya banyak perkara yang telah berlaku. Nanti saya ceritakan. Biar saya mulakan dengan yang paling sensasi. Saya balik kampung selama 4 hari!

Sabtu lepas 2/8/2008 saya bertolak ke Kota Kinabalu seorang diri. Lebih kurang 2 minggu lepas saya diberitahu yang ibu saya kurang sihat. Dadanya sakit. Saya mahu bersamanya walaupun dia sebenarnya baru balik dari Melaka dua bulan lepas. Lagipun keluarga saya akan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat sempena menyambut Ramadan. Ini salah satu ‘event’ tahunan yang mesti buat keluarga saya. Ramai sanak saudara dijemput, juga jiran-jiran di kampung. Saya teruja untuk pulang dan bertemu dengan mereka semua.

Setiba di lapangan terbang, saya dijemput oleh kakak sulong. Saya ada satu permintaan. Kak, boleh bawa saya ke sekolah rendah saya dahulu? Saya rindu hendak melihat sekolah lama saya itu. Jangan terkejut ya. Saya dulu bersekolah di sekolah mission, yang mempunyai seorang rahib perempuan sebagai guru besar. Tiba di sekolah itu saya mencari jaga dan memberi salam . Kakak saya hanya tersenyum-senyum. Jaga tidak kelihatan dan saya sesuka hati masuk dalam kawasan lalu mengambil gambar. Sekolah itu masih seperti dulu tapi sudah di cat warna merah. Ada dua tiga bangunan baru di beberapa tempat tapi struktur lama masih kekal.

Sekolah Rendah Stella Maris Tanjung Aru Kota Kinabalu.


Apabila tiba di rumah, kakak saya yang seorang lagi sudah mula menyediakan bahan-bahan masakan buat majlis esok hari. Dia sudah dinobatkan sebagai chief cook dalam setiap majlis yang kami adakan.

“Berapa jenis kali ni?”

“Dua belas.” Jangan terkejut. Ini normal.


Setelah melepaskan penat sebentar saya pun memulakan tugas sebagai pembantu tukang masak. Biasanya tugas-tugas ringan diberikan kepada saya seperti memotong bawang, membungkus kuih, merasa kuih, dan sebagainya. Ibu saya yang tidak pandai duduk diam itu pun sibuk menyediakan jeli kepala, kuih angin dan kuih kelupis. Riuh rendah dapur dengan gelak ketawa dan gurau senda kami. Esok pasti lebih riuh apabila lebih ramai datang.

Wajid, Kelupis, Kuih Angin, Baulu Gulung

Saya dapat berjumpa dengan adik-beradik, anak-anak saudara, ibu saudara, jiran-jiran yang masih ingat pada saya. Saya terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahi pusara ayah dan nenek kerana ‘keadaan’ yang tidak mengizinkan. InsyaAllah saya akan kembali.

Dendeng, specialty Chief Cook Rumah Saya

No comments: