Showing posts with label JibunsyiKu. Show all posts
Showing posts with label JibunsyiKu. Show all posts

Saturday, November 29, 2008

YangYung

Si Tulai tidur berseorangan di dalam bilik tidur kecil di sebelah dapur. Semalaman dia dan kakak-kakaknya menunggu berita tentang ibunya yang akan melahirkan anak ke enam. Petang kelmarin Pak Leman membawa Mak Munah ke hospital. Wajah ibunya pucat menahan sakit.

“Lai, Lai! Bangun! Mak sudah melahirkan!” Rupa-rupanya Pak
Leman sudahpun balik ke rumah.

“Lelaki atau perempuan?” Itulah soalan pertama yang keluar daripada mulutnya. Manakan tidak. Anak pertama hingga ke lima kesemuanya perempuan. Mak Munah teringin sangat mempunyai anak lelaki. Sehinggakan Si Kanchil anak ke empat mereka dipakai seperti budak lelaki sehingga umurnya 12 tahun. Si Tulai sangat berharap mendapat adik lelaki.

“Perempuan,” jawab Pak Leman.

“Aahhh,” Si Tulai mengeluh dan terus tidak berminat mahu bangun dari katil.

“Bagaimana, bang, kalau anak ini perempuan juga?” Mak Munah pernah bertanya beberapa bulan lepas. Pak Leman tak kisah. Dia bersyukur isterinya selamat melahirkan dan anaknya sihat dan sempurna. Baginya lelaki atau perempuan sama sahaja.

Anak perempuan itu sangat comel. Kulitnya putih dan wajahnya seperti anak China. Mereka memanggilnya Si Wawa. Sekali sekala Mak Munah membenarkan Si Tulai mendodoi adiknya.

Tapi lama kelamaan si Tulai semakin cemburu dengan adik perempuannya itu. Dia geram kerana perhatian semua orang hanya tertumpu kepada si Wawa. Selama 12 tahun dia memegang teraju sebagai anak bongsu. Memang dia anak manja. Tetapi sekarang, fikirnya, ibu dan ayahnya sudah tidak sayangkan dia lagi.

Si Tulai selalu bersahaja dan buat-buat malas apabila disuruh mengambil itu dan ini untuk adiknya. Pernah dia melemparkan sahaja lampin ke atas katil apabila ayahnya meminta dia tolong ambilkan. Begitu teruk perangainya, semakin menjadi-jadi! Pak Leman yang memang berlembut dengan Si Tulai berdiam diri sahaja melihat perangai anaknya itu.

Satu hari semasa Si Wawa berumur lebih kurang 2 tahun, Si Tulai datang kepadanya.

“Wa! Mahu gula-gula tak?” Dia menyembunyikan sesuatu di belakangnya. Si Wawa melonjak-lonjak suka hati. “Nak, nak!”

“Buka mulut!” Si Wawa pun membuka mulutnya luas-luas. Belum sempat si Wawa melihat, gula-gula sudah dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia sempat menjilat gula-gula itu. Tiba-tiba…

“Haha! Tengok ni! Ini bukan gula-gula! Hahaha!” Si Tulai menarik keluar gula-gula itu lalu menggoyang-goyangkannya di depan mata Si Wawa. Rupa-rupanya bukan gula-gula tetapi se biji cili padi! Seronok benar hati Si Tulai apabila dia berjaya memperdayakan adik kecilnya itu.

Si Wawa terperanjat lalu menjerit dan menangis sekuat-kuat hati. Mujur dia belum sempat menggigit ‘gula-gula’ tersebut.

***

Di satu petang yang aman, Si Tulai sedang tidur di atas kerusi panjang di ruang tamu. Sayup-sayup dia terdengar bunyi tapai kaki datang ke arahnya. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Dia lihat kelibat Si Wawa datang mendekatinya. Ada sesuatu di dalam genggaman jari-jari kecil Si Wawa. Belum sempat dia mengelak…. Duggghh!

“Aaaaargh! Aduhhhh!”

“Apa yang Wawa buat ini? Kalau saya jadi bodoh macamana? Hah? Macamana?” Sambil memegang kepalanya, Si Tulai menjerit-jerit, mengulang-ulangi kata-katanya itu. Dia sangat menjaga kepalanya. Dia kira itulah asetnya yang paling berharga.

Di atas lantai tidak jauh dari tempat Si Wawa tercegat berdiri dengan senyuman di bibirnya ialah sebiji bola hoki.

Tuesday, October 7, 2008

Night Chaser

Di zaman kanak-kanaknya semasa bulan Ramadan si Tulai menjadi sangat berani. Berjalan waktu malam ke rumah jiran seorang diri pun tidak jadi hal buatnya. Keyakinannya tentang terantainya iblis dan syaitan sangat mantap. Tapi di luar bulan Ramadan lain cerita pula.

Semakin dia dewasa setiap tahun pada bulan ini dia akan mengira haribulan. Dulu memang dia pengejar malam. Malam seribu bulan. Dia ada terbaca di majalah terbitan satu kumpulan yang sudah diharamkan tentang pengiraan malam seribu bulan ini. Dan dia akan mengingatkan kawan-kawan pejabatnya supaya berjaga-jaga pada malam sekian sekian. ‘Jangan lupa ya malam ini!’ begitulah pesannya kepada kawan-kawan. Dan pada setiap pagi 10 hari terakhir dia akan memandang ke langit melihat warna pagi. Hmm…macam lain macam aje warna langit pagi ni, kan, kan, kan…dia cuba meyakinkan dirinya.

Dia pernah terbaca juga yang malaikat menjelma di hadapan wanita yang menutup aurat sahaja. Jadi pada satu malam selepas solat tahajud dia membuka tingkap biliknya luas-luas (masa ini dia masih bujang, tinggal di rumah ibubapanya di kampung) sambil tidur bersandar di atas katil dan masih di dalam telekung. Ya, pasti jika malam ini malam seribu bulan, dan jika Allah izinkan, malaikat akan datang kerana aku berwuduk dan menutup aurat. Begitu yakin Si Tulai. Sayang sekali, dia hanya terjaga apabila ibunya memanggil untuk makan sahur.

Aduhai! Tahun ini tak kena lagilah! Tapi sekiranya itu kehendakNya lagi dia redha. Sudah tiga empat tahun tak kena haribulan. Setiap pagi 1 Syawal dia hanya menunggu di rumah dengan jamuan penuh meja buat suami dan anak-anak yang balik dari masjid.

Tapi Allah tukar rancangan. Jadualnya tunggang terbalik. Dia jadi susah hati. Aku ada penyakit ke apa ni? Dia Google beberapa katakunci simptom yang dialaminya. Menyirap darahnya membaca beberapa artikel di dalam laman web. Ya Allah, Engkau jauhkanlah aku dari penyakit yang merbahaya!

Tapi Allah lebih mengetahui. Di dalam huru hara jadualnya bulan ini, 9 malam terakhir dapat dia raikan. MasyaAllah. Alhamdulillah. Dan yang lebih sayu, tahun ini dia tidak hanya menunggu menyediakan jamuan di rumah. Dia dapat raikan 1 Syawal bersama-sama jamaah di masjid. Ya Allah Sesungguhnya Engkau Penentu segala rancangan manusia. Dan ternyata perubahan jadual cuma false alarm.

Dan dengan izin Allah dia akan terus mengejar.



Gambar hiasan. Main air di pantai petang 1 Syawal. Skema nau!

Wednesday, April 30, 2008

T-Pee


Hujung minggu itu Si Kanchil dan Si Tulai tinggal sendirian lagi. Kak Raina, kakak saudara mereka sudah tiba dari kampung sejak dari hari Khamis lagi untuk menemani mereka. Kali ini Pakcik Leman dan Makcik Munah akan ke Kota Belud berniaga kain baju di Tamu Besar.

Setiap tahun sekitar bulan November ‘tamu’ atau pasar minggu akan di adakan secara besar-besaran, dengan berbagai-bagai persembahan kebudayaan oleh kaum Bajau, Iranun dan kaum etnik yang lain di kawasan itu. Pengunjung datang dari serata pelusuk negeri untuk melihat persembahan kuda Bajau dan membeli belah.

“Mak, nanti kasi beli orang apa-apa, ya!” pesan Si Tulai sambil memeluk tiang rumah. Ibubapanya sibuk menyimpan barang ke dalam kereta. ‘Apa-apa’ bermaksud makanan atau permainan. Paling disukai Si Tulai ialah gulali, gula kapas berwarna warni yang mengandungi zero-khasiat itu.

Setelah siap menyusun barang, mereka pun bertolak. Perjalanan menyusuri lereng-lereng bukit ke Kota Belud memang menyiksakan, apatah lagi bagi anak-anak kecil. Silap-silap boleh muntah hijau dibuatnya. Pendingin udara masih lagi dikhaskan kepada pejabat-pejabat menteri sahaja pada masa itu. Oleh sebab itu Makcik Munah tak sampai hati membawa anak-anaknya bersama.

“Lai, siapa dulu?”

“Abanglah!”

Kedua-dua mereka sudah bersedia dengan ‘cape’ kain batik yang diikat di leher. Macam superman. Di tangan masing-masing ada kotak kertas tigasegi berisi susu manis cap Teko.

Si Kanchil berdiri di hujung beranda dapur, sedia untuk melompat ke bawah. Lebih kurang 4 kaki dari tanah tingginya.

“T-Pee, tolong kami!” Si Tulai menjerit dengan suara kecil.

“Ya, T-Pee datang!” Si Kanchil memicit kotak kertas sambil menyedut susu manis di dalamnya. Dia melompat ke tanah, terbang dengan “cape” kain batiknya itu. Hari itu mereka mendapat kuasa ajaib, jadi kuat dan boleh terbang kerana memakan susu manis cap Teko. Bergilir-gilir mereka menjerit dan melompat sambil mengisi perut mereka dengan susu.

Ini semua gara-gara pengaruh komersial susu manis cap teko di radio, yang di buat di dalam bentuk drama pendek. T-Pee menjadi kuat selepas meminum susu dan dapat membantu orang di dalam kesusahan dan melawan ahli sihir perempuan yang menakutkan.

Memang dari dulu lagi kanak-kanaklah yang menjadi mangsa pengaruh iklan. Yang budak-budak berdua ini kurang faham ialah apabila meminum susu ia perlu dibancuh dengan air terlebih dahulu!

Saturday, March 22, 2008

Abang

Anak pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam Makcik Munah dan Pak Leman kesemuanya perempuan. Semasa anak keempat lahir Makcik Munah sudah tidak tahan lagi. Oleh kerana kepingin sangat kepada anak lelaki diberi pakainya Si Kanchil dengan baju lelaki. Kemana-mana sahaja Si Kanchil memakai seluar pendek dan kemeja lengan pendek. Sehinggakan adiknya Si Tulai, anak Makcik Munah yang keenam menyangka kakaknya itu lelaki. Dia memanggil kakaknya dengan panggilan Abang.

Memang padan dengan panggilan itu. Si Kanchil mempunyai perwatakan seperti lelaki. Kasar dan kuat. Dia pernah bergaduh dengan Si Budi, yang tempang sebelah kakinya sejak lahir, kerana dia mengejek Si Kanchil dengan Si Judin.

Keluarga Si Judin tinggal bersebelahan dengan keluarga Si Kanchil. Si Judin tinggal bersama-sama ayah, datuk, nenek, kakak dan seorang adik lelakinya. Ibunya meninggal dunia semasa melahirkan adik lelakinya. Setiap hari Si Judin akan menunggu Si Kanchil untuk pergi ke sekolah. Mereka berjalan kaki sahaja ke sekolah yang terletak di hujung kampung. Kadang-kadang mereka akan berpimpinan tangan. Sebab itu Si Budi suka mengejek mereka berpacaran.

Hari itu Si Kanchil naik angin lalu menumbuk dan menolak Si Budi ke tanah. Penuh mulut Si Budi dengan pasir. Habis kotor baju kemeja putih dan seluarnya.

“Awas kamu! Lain kali kalau kamu buat lagi saya akan kerjakan kamu cukup-cukup!”

Sejak dari hari itu Si Budi dan juga budak-budak lain tidak berani mengejek mereka lagi.

Tetapi tidak lama kemudian semasa Si Kanchil di dalam darjah enam, satu perubahan telah berlaku. Dia mula memakai pakaian perempuan. Bermula dari situ Si Kanchil membesar menjadi salah seorang anak gadis yang tercantik di kampung. Kulitnya putih melepak, dan rambutnya ikal mayang. Ramai jejaka kampung jatuh hati kepadanya. Tetapi bukan mudah hendak memikat anak Makcik Munah dan Pak Leman ini. Kemana-mana sentiasa ada pengiring. Anak-anak Makcik Munah tidak dibawa bertandang ke majlis khenduri kahwin. Semasa menonton wayang ‘free’ di padang sekolahpun mereka pergi beramai-ramai dengan seisi keluarga. Sangat ketat kawalan mereka adik beradik.

“Siapa tak kenal Kak Hajah ni! Simpan anak di dalam rumah sahaja!” Begitulah kata-kata Imam Hurairah, imam bersara masjid Kampung Petagas yang berasal dari Kedah. Dia kenal sangat dengan keluarga ini. Keluarga imam ini sahaja di antara jiran sekampung yang sering diziarahi oleh Pak Leman dan Makcik Munah.

Yang semakin bingung ialah Si Tulai, adik kepada Si Kanchil. Dia hairan kepada perubahan yang berlaku ke atas ‘abang’nya itu. Dia tidak berani bertanya kepada ibunya takut dimarahi. Dia mengambil jalan mudah dan sehingga kini dia masih memanggil kakaknya dengan panggilan Abang.

Wednesday, December 12, 2007

Kucing

“Bang, kita main apa hari ini. Bosanlah!” rungut Si Tulai. Hari sudah petang tapi mereka masih berada di dalam rumah. Undang-undang Makcik Munah, siapkan kerja rumah dahulu baru boleh turun ke tanah.

“Mari ikut saya,” Si Kancil memberi arahan. Dia dan adiknya lantas berlari menuruni tangga kayu rumah mereka. Memang di antara mereka berdua Si Kancillah yang menjadi ketua. Si Tulai yang lurus bendul itu selalu menjadi pengikut setia sahaja.

Tidak lama kemudian…

“Jangan menangis! Jaga kamu! Kalau kamu menangis saya beri kucing ini! Kamu hendak?” Si Kancil memberi amaran sambil menyuakan anak kucing ke muka Si Imi.

“Hmm….hmmm!” Si Imi tidak berani bersuara. Air mata meleleh di pipinya kerana ketakutan. Dia juga tidak dapat bergerak kerana dia telah diikat pada tiang rumahnya menggunakan tali kerbau. Abangnya Si Sudin hanya melihat sahaja kerana takut kepada Si Kancil yang berbadan tegap seperti lelaki itu. Malah dia memang berpakaian seperti budak lelaki. Oleh sebab itu Si Tulai dari dulu lagi memanggilnya ‘Abang’ gara-gara silap identiti.

“Ingat! Jangan beritahu emak kamu! Kalau tidak saya buat lagi kepada kamu!”

Si Tulai pengikut setia terkebil-kebil sambil mengintai-intai emak Si Imi dan Si Sudin.

***
Kini masing-masing sudah berkeluarga dan berpindah ke bandar lain untuk mencari rezeki masing-masing. Hanya tinggal Rin sahaja di kampong bersama ibunya. Suatu hari dia singgah menghantar kuih ke rumah Makcik Juma.

“Apa khabar Si Kancil dan Si Tulai?” tanya Makcik Juma. “Sudah lama makcik tidak berjumpa dengan mereka. Dulu masa mereka kecil-kecil makcik masih ingat lagi mereka ikat Si Imi pada tiang rumah. Nakal juga budak-budak perempuan itu, ya?” Makcik Juma tersenyum mengingatkan kisah 30 tahun lalu yang disangka menjadi rahsia kanak-kanak berdua itu.

Sunday, November 25, 2007

Selamat Tinggal, Ah Soon!

Tiga orang kanak-kanak, dua perempuan dan seorang lelaki kelihatan berdiri di tengah-tengah padang yang memisahkan kedua-dua buah rumah mereka. Lalang di padang rumput itu sama tinggi dengan mereka.

Kedua-dua budak perempuan itu memakai baju baru. Yang kakak memakai kemeja lengan pendek dan seluar pendek paras lutut. Manakala yang adik memakai gaun ropol dan kasut hitam berkilat. Kedua-duanya memakai stokin panjang sampai ke lutut. Hujung stokin pula digulung bulat. Ah Soon hanya memakai seluar pendek dan selipar jepun. Hari ini tidak seperti hari-hari biasa kerana tiada gelak ketawa yang mengiringi mereka.

“Ah Soon! Kami sudah mahu berangkat,” kata budak perempuan yang lebih tua sedikit itu.

“Kamu pindah balik ke sini lagi?”

“Entahlah. Saya pun tidak tahu. Bapa sudah lama bekerja di bandar. Sekarang kami boleh tinggal bersama-samanya.”

“Tapi nanti kami akan datang ke sini juga. Datuk dan Nenek masih ada di sini. Begitu juga dengan Makcik kami.” Budak perempuan yang lebih muda itu cuba berjanji bagi menyedapkan hati sahabatnya itu.

“Kamu jangan lupa saya tau,” Ah Soon beria-ia berpesan. Tiba-tiba dia menghulurkan tangan kanannya ke hadapan lalu menggenggam tapak tangannya. “Cubit di sini,” dia mengarah kedua-dua budak perempuan itu sambil menunjuk kearah lipatan di bawah jari kelingkingnya.

“Buat apa ini?”

“Kalau kamu cubit di sini kamu tidak akan lupakan saya sampai bila-bila.”

“Betulkah?”

“Betullah.”

Tanpa banyak soal lagi tentang teori Si Ah Soon itu, kedua-dua budak perempuan itu terus sahaja membuat seperti yang diarahkan.

“Sekarang kamu pula genggam.” Mereka pun berbalas-balas mencubit tangan satu sama lain.

Perjanjian yang dimeterai di antara tiga sahabat kecil ini akan terbukti 35 tahun kemudian apabila seorang wanita mendapat panggilan telefon yang tidak disangka-sangka.

(Bersambung…)

Saturday, November 24, 2007

The Belo'ons

Pagi-pagi lagi Si Kancil dan Si Tulai sudah bangun. Siap mandi, berus gigi dan sarapan lempeng berlaukkan ikan selayang goreng dan milo secawan seorang mereka terus turun ke tanah. Berdentum-dentum lantai papan rumah dengan bunyi kaki mereka.

Mereka berlari ke rumah sebelah sambil menjerit, “Chil! Chil!”

“Ada apa?” Si Achil menjengukkan kepalanya di tingkap bilik tidur sambil menggosok-gosok matanya. Baru bangun rupanya, pikir Si Kancil. Bukankah semalam kita sudah buat rancangan best hari ini? Dia lupalah ni!

“Cepatlah! Nanti Si Judin dan yang lain dapat di atas-atas!”

“Tunggu sekejap! Saya mandi dulu!”

Lima minit kemudian Si Achil sudah muncul di muka pintu rumahnya.

“Eh, cepatnya! Kamu mandi kerbaukah?” Si Kancil menuduh sambil terkekek-kekek ketawa. Si Tulai yang selalu jadi juruikut tersenyum saja hingga nampak giginya yang berlapis itu.

“Ini lagi bagus daripada mandi kerbau! Ini dipanggil mandi P Ramlee!”

Berderai ketawa budak-budak bertiga itu. Tiba-tiba muncul emak Si Achil di depan pintu. “Kamu hendak ke mana itu?”

“Dekat saja Mak Ngah! Ke rumah Si Sudin.”

“Ha, jangan main jauh-jauh ya.” Belum selesai pesanan Makcik Saniah budak-budak itu sudah berlari menuju ke rumah berdekatan.

Mereka bertiga adalah bersaudara. Si Kancil dan Si Tulai adik beradik manakala Si Achil ialah sepupu mereka. Rumah mereka di Kampong Petagas hanya bersebelahan sahaja. Tidak ada pagar yang memisahkan antara rumah-rumah di kampong ini.

Tiba di perkarangan rumah Si Sudin sudah ada beberapa orang budak lelaki di situ; Si Judin, adiknya si Nan, sepupu mereka si Sudin dan Si Imi. Budak-budak perempuan itu pun terus memulakan aktiviti.

“Tuan punya dapat yang merah dahulu!” Si Judin mengeluarkan arahan.

Di situlah mereka sampai matahari naik tegak di atas kepala. Masing-masing sudah mahir macam monyet. Riuh-rendah kedengaran jeritan dan gelak ketawa mereka. Alangkah seronoknya musim cuti sekolah di kampung. Setiap hari ada saja aktiviti yang hendak dilakukan.

Apabila kedengaran azan zohor dari masjid, masing-masing bergegas turun dan berlari pulang ke rumah masing-masing. Petang nanti aktiviti ini disambung semula.

“Banyak kamu dapat, Chil?”

“Banyak juga tapi dua tiga sahaja yang merah-merah. Mata Si Judin itu tajam sangat. Petang ini mandi di mana?” tanya Si Achil sambil mengesat peluh yang menitis turun di pipinya. Belum selesai satu aktiviti sudah memikirkan aktiviti seterusnya.

“Semalam sudah mandi di rumah kami. Hari ini di rumah kamulah” jawab Si Tulai yang dari tadi tidak banyak kedengaran suaranya. Dia suka mandi di rumah Si Achil kerana bilik mandinya istimewa sedikit. Bilik mandinya berada dibawah rumah dan pintu masuknya melalui tangga di dalam dapur. Pintunya ala-ala pintu rahsia berbentuk empat segi di atas lantai dapur.

“Ok, petang nanti jumpa lagi.” Si Kancil secara otomatik menjadi ketua sebab dialah yang paling tua.

Petang nanti selepas Asar budak-budak ini akan turun semula menyambung aktiviti yang paling mereka gemari iaitu memanjat pokok ceri Si Sudin.