Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Thursday, October 9, 2008

Marathon Trilogi

Saya tulis entri ini selepas pesta buku 2008 April lalu tapi entah bagaimana tidak diposkan di sini. Sebagai rekod yang saya ada menulis tentang Trilogi Andrea Hirata, saya poskan entri lama ini. Okla tu kan...?

April 15, 2008

Phew! Saya siap membaca Trilogi Laskar Pelangi dalam masa 7 hari (secara efektifnya 4 hari) berakhir baru sekejap tadi. Tidak pernah saya begitu khusyuk membaca novel Melayu seperti ini. Kesimpulan mudah saya terhadap buku-buku Mas Andrea Hirata:

Laskar Pelangi – Magical

Sang Pemimpi – Mengharukan

Edensor – Inspirational, ‘Menjatuhkan Dagu’ (jaw dropper)

Jalan hidup anak Belitung ini bagaikan diatur-atur satu demi satu sehinggakah kita yakin hanya satu kuasa yang amat besar yang menentukan jalan hidup kita yang sudah pasti tidak boleh disimpulkan sebagai satu kebetulan.

Begitu bijak cara penulis ini sehinggakan saya seperti melihat wayang gambar, dan dapat merasakan emosi penulis di setiap bab-bab buku-buku ini. Pada satu masa saya terkekek-kekek ketawa dengan telatah mereka curi-curi menonton wayang sehingga ‘kedapatan’ dan dipaksa pula berlakon di hadapan seluruh warga sekolah mereka. Ada masa saya menahan nafas panik bersama mereka meredah gelora lautan untuk berjumpa dengan Tuk Bayan Tula tapi perasaan itu hilang serta merta dan kembali ketawa membaca azimat Tok Bayan Tula kepada Mahar dan Flo. Saya menangis tersedu-sedu bersama Ikal yang mengejar Ayahnya berbatu-batu, juga apabila dia mencium kain pemberian ayahnya jauh di perantauan. Terbayang sewaktu saya baru kehilangan ayah sendiri, kain pelikat Bapak menemani saya tidur dan dicium puas-puas apabila terlalu rindu. Terlalu banyak babak-babak yang mengesan jiwa saya.

Sangat istimewa cerita hidup anak-anak Melayu ini. Ianya harus dijadikan inspirasi kepada anak-anak zaman sekarang agar mempunyai angan-angan dan mengejarnya sedaya mungkin. Juga menjadi pengajaran bahawa pendidikan sangat penting bagi mengeluarkan diri dari ikatan rantai kemiskinan.

Wednesday, October 8, 2008

Mari Main Teka Teka



Cuba teka apa persamaan kedua-dua buku ini?


Nota: Gambar SBMDL dipinjam dari blog SifuPTS.

Saturday, April 12, 2008

Cloud 9

Pengiraan Ustaz Suhaimi rupa-rupanya ada hikmah buat saya. Saya sebenarnya sudah merancang untuk ke Pesta Buku lagi pada hari esok. Ahad lepas anak-anak saya ada kelas Arab. Tetapi si saat-saat akhir dibatalkan kerana Ustaz kata murid-murid yang lain kepenatan berarak Maulidurrasul. Kelas diganti ke hari ini. Tepat jam 10 pagi saya tiba di pagar sekolah. Ai! Kenapa pagar berkunci? Tidak ada kelibat kawan-kawan mereka yang lain. Saya terus menelefon Ustaz.

“Eh! Ada! Mereka sedang mengambil wudhu sekarang ni!” Anak-anak diajar sembahyang Dhuha dahulu sebelum memulakan kelas Arab dan hafazan.

Astaghfirullah! Saya pening kah, Ustaz yang pening? Rupa-rupanya yang ada ialah kelas kumpulan yang satu lagi. Kelas minggu kedua dan keempat, di tempat lain! Anak-anak saya kumpulan minggu pertama dan ketiga. Gara-gara bulan Mac lepas ada 5 hujung minggu, pengiraan saya dan Ustaz sudah tak sama! Esok baru bermula kelas untuk anak-anak saya bagi bulan April, katanya. Aduh! Gimana sih! Esok saya mahu ke Pesta Buku! Gawat gini dong!

Balik ke rumah saya terilham! Aha! Saya boleh ke pesta buku hari ini! “Anak-anak, Mama mau ke pesta buku. Mama kasi pilihan demokrasi. Siapa mahu ikut?” Akhirnya saya dan Tuan M saja yang pergi.

Lebuhraya macet sekali! Kami tiba di kaki lima PWTC pada jam 2.03 pm. Saya tinggalkan Tuan M mencari parking lalu berlari ke dalam bangunan. Saya berkejar ke Dewan Johor di tingkat bawah. Andrea Hirata, penulis novel bestseller Laskar Pelangi dijangka hadir ke sesi diskusi buku pada jam 2 ptg. Kami tidak dihampakan. Selama sejam kami dapat mendengar dia bercerita tentang bagaimana bermulanya idea menulis buku yang hebat itu. Selepas acara diskusi buku, saya mengikutnya ke booth PTS untuk sesi tandatangan buku. Saya membawa buku LP yang saya beli pada hari pertama. Menyesal pula tidak membawa buku kedua dan ketiga. Sudah, sudah, jangan tamak haloba.





Pada pengamatan saya, dan dari cerita-ceritanya, di Indonesia Mas Andrea ini sepopular Siti Norhaliza di sini. Beribu peminatnya akan muncul di setiap public appearancenya.

(Oh, saya berjumpa Puan Ainon di sana. Apa lagi. “Mana buku?” Saya senyum senget sajalah.)

Hari ini saya amat excited dan bertuah kerana selain dari Andrea Hirata, saya dapat berjumpa (dan bergambar) dengan Pak Samad Said, yang ikonik itu. Dia menandatangani bukunya untuk saya dan dengan baik hati juga menandatangani buku SN Usman Awang sekali! Saya harap dia tidak berkecil hati. Di booth PTS tadi, Saudara Zamri dan Saudara Muhd Faisal juga sempat menandatangani buku Rahsia Bisnes Mamak untuk saya.


Jam sudah 4.45pm. Saya ada satu pitstop lagi. Saya berjalan balik ke seberang sana dan mencari booth Ameen Publishing. Kak Lela yang membelikan buku Karya Nan Indah Faisal Tehrani untuk saya minggu lepas terlalu excited sehingga lupa mendapatkan untuk dirinya sendiri! Saya berjanji untuk mendapatkan buku untuknya. Wah! Saya bertuah! Penulis itu ada sedang standby untuk book-signing. Saya sempat berbual ringkas dengan beliau tentang Kak Musalmah Lebar (karektor dalam blognya), kampungnya di Melaka dan etc, etc. Kesimpulan: Cute juga Tuan FT ini! Hehehe, jangan marah… Dalam keterujaan saya (maaf dong ya, hari ini saya terover sudah!) saya lupa mengambil fotonya.

Saya dan Tuan M (yang dari tadi berwindow shopping di The Mall) bertolak balik ke Melaka jam 5.30 petang. Setiap tahun saya ke Pesta Buku Antarabangsa (well, except for last year, because I forgot) tapi kali inilah yang terhebat buat saya.

(p/s: Saya masih ingin mengekalkan anonimasi saya di dalam blog ini. Jadi gambar saya dengan Mas Andrea tidak diupload.Tapi percayalah, memang ada. Kahkahkah)

Friday, April 4, 2008

Kuala Lumpur International Book Fair 2008



Hari ini saya ke Pesta Buku di PWTC bersama-sama dengan beberapa orang rakan dari fakulti dan juga fakulti lain. Kami bertolak dari Melaka dengan menaiki bas kolej lebih kurang pada jam 9 pagi diiringi oleh beberapa pegawai perpustakaan. Pemandu bas sangat berhemah. Kami sampai di PWTC pada jam 11 pagi.

Sebelum turun dari bas pegawai perpustakaan berpesan, ‘Kita jumpa balik di sini jam 3.30 petang’. Aduhai! Sekejapnya!

Saya, Edyra dan Jun cepat-cepat berjalan menuju ke dewan pameran. Kami hendak menyelesaikan urusan ‘book selection’ untuk perpustakaan terlebih dahulu. Kami ke ‘booth’ penerbit buku-buku teks seperti McGraw Hill, Pearson Education, Wiley, dan Taylor and Francis untuk membuat pemilihan buku-buku rujukan.

Saya sangat suka aktiviti ini yang saya panggil OPM, ‘Other People’s Money’. Kami memilih apa-apa sahaja tajuk yang kami rasa sesuai, samada buku teks atau buku ‘trade’ tanpa mengira bilangan atau harga. Lebih kurang seperti Mak Datin sedang membeli belah tanpa mengira harga, kerana Datuk yang akan membayarnya! Hahaha!

Setelah selesai urusan pemilihan buku kami makan tengahari di tempat makan yang disediakan di dalam bangunan PWTC. Saya ingin membeli beberapa buku yang sudah disenaraikan awal-awal lagi, termasuk buku-buku PTS dan buku-buku oleh Saudara Faisal Tehrani.

Hari ini ialah hari pertama pameran. Oleh kerana hari ini hari bekerja jadi belum ramai lagi pengunjung yang datang. Yang ramai ialah para-para pensyarah dan wakil-wakil perpustakaan yang datang membuat pemlihan buku. Kawasan pameran tidak sesak dan masih selesa. Esok tentu lagi ‘happening’. Penulis-penulis juga belum ramai yang muncul. Kami tidak dapat menemui Saudara Faisal Tehrani kerana dia hanya akan tiba pada jam 3.30pm.

Semasa kami tiba di ‘booth’ PTS pada jam 2pm, keadaan agak lengang. Saya sempat berbual dengan Puan Hazizam Boss PTS One. Saya terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan Sifu saya. Sudah lama saya tidak bertemu beliau.

Saya menaiki bas dengan beg penuh berisi buku-buku. Seronoknya! Saya mahu datang lagi kerana ada lagi buku-buku di dalam senarai saya yang belum dibeli.





Tuesday, March 4, 2008

MS Book Pick of the Month: A Long Way Gone

A Long Way Gone:Memoirs of A Boy Soldier, Ishmael Beah, Harper Perennial, RM 36.90

Macam Oprahlah pulak…

Bulan ini buku pilihan saya berjudul “A Long Way Gone” yang menceritakan kisah benar penulis semasa dia berusia 12 tahun yang dipaksa menjadi askar dalam peperangan bersaudara di Sierra Leone sekitar awal 1990an dahulu. Dia dan rakan-rakannya terpisah dari ibubapa dan keluarga mereka apabila kampung mereka diserang oleh kumpulan pemberontak RUF yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat negara itu. Dia kemudiannya ditangkap oleh askar kerajaan dan dijadikan salah seorang daripada mereka.

Walaupun penulis menjadi askar bagi pihak kerajaan, aktiviti mereka sama sahaja seperti pemberontak-pemberontak RUF, iaitu merompak dan membunuh dengan kejam. Kisah yang sangat menyayat hati namun tidak dapat diterima oleh akal. Bagaimana satu negara boleh menjadi huru-hara dan hilang pertimbangan kemanusiaan.

Cerita “Blood Diamond” (Leonardo DiCaprio) di Astro bulan ini juga menceritakan kisah yang serupa. RUF membunuh dengan kejam sesiapa sahaja yang mereka temui di dalam kampung itu, merogol anak-anak gadis dan memotong anggota badan kaum lelaki yang dirasakan menjadi ancaman kepada mereka. Kumpulan pemberontak ini juga mengambil budak-budak lelaki menjadi askar mereka dan mengajar anak-anak ini membenci keluarga mereka. Dikisahkan pemberontakan yang berlaku ada kaitan dengan lombong berlian yang ada di negara itu. Kebetulan juga di dalam bulan ini (atau memang Astro bijak mengatur rancangan Tvnya) History Channel Astro menayangkan dokumentari tentang peperangan di Sierra Leone ini berjudul “Blood Diamonds”.

Buku ini menjadi pengajaran kepada kita bahawa apabila sesebuah negara menjadi terlalu miskin dan merempat, dan kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa, kemungkinan besar pemberontakan akan berlaku dan pada masa itu manusia tidak akan dapat menilai mana yang buruk dan mana yang baik.

Seperti kata Leonardo DiCaprio di dalam wataknya di dalam cerita itu, “ God left this country long ago…


p/s: Baru sebentar tadi saya menonton cerita “Innocent Voices” di Astro mengenai peperangan di El Salvador sekitar 1980an dan pengambilan budak-budak lelaki sebagai askar sebaik sahaja mereka berumur 12 tahun. Satu lagi contoh keganasan terhadap kanak-kanak.

Sunday, February 17, 2008

Hantu Buku




Sifu saya kata orang yang suka buku perangainya pelik. Di rumahnya akan ada rak-rak buku buat mempamerkan buku-buku yang dipunyainya. Pada blognya dia akan senaraikan buku-buku yang dibacanya. Orang-orang yang suka buku ini eksyen buku.

Betulkah? Saya fikir Puan Sifu betul kerana saya dapat markah penuh bagi keadaan di atas.

Arwah ayah saya juga suka membaca buku. Dia bina rak-rak buku pada satu bahagian dinding di rumah kami di kampung. Rak-rak buku itu masih teguh, dan buku-buku lama kami masih ada di situ, masih kekal setelah lebih 20 tahun.

Semasa cuti saya ke Pulau Pinang tempohari (mohon betulkan ejaan saya jika salah. terima kasih) saya ada dua niat. Pertama ialah makan pasembor di Batu Feringgi. Kedua ialah mencari kedai buku terpakai di Bazaar Jalan Penang.

Kami sampai lebihkurang jam 11.30 pagi di Pulau Pinang dan terus menuju ke Batu Feringgi. Sudah bukan rezeki hari itu, gerai pasembor itu belum dibuka. Kami makan tengahari di kawasan pantai tanpa pasembor yang diidamkan. Petang itu kami pergi ke Jalan Penang. Bazaar itu terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis. Banyak gerai yang masih ditutup kerana cuti Tahun Baru Cina. Mujur gerai-gerai buku terpakai di tingkat atas dibuka.

Yang saya sendiri hairan, tiba-tiba saya terfikir membeli buku-buku sastera melayu. Saya tidak pernah membaca buku-buku seperti itu. Tuan punya kedai membantu saya mencari buku-buku seperti Debu Merah oleh Shahnon Ahmad, Rimba Harapan oleh Keris Mas, Terjebak oleh Abdullah Hussain (saya sedang baca sekarang). Saya membeli 7 buah kesemuanya, termasuk buku Unlimited Power oleh Anthony Robbins cetakan tahun 1988 yang berharga RM 10! Ngeh.

Hah, sekarang almari buku saya semakin bertambah isinya. Saya lak esksyen buku…

Tuesday, December 4, 2007

Travelog Haji

Alhamdulillah, pagi tadi saya menerima satu bungkusan Pos Ekspres. Di dalamnya ada buku Travelog Haji Profesor Dr Hj Muhd Kamil Ibrahim, dihantar khas oleh penulisnya sendiri! Bangganya!

Saya mengaku telah menggunakan kabel untuk mendapatkan buku ini, siap dengan dedikasi bertandatangan lagi. Suami saya rupanya sahabat kepada Prof Kamil. Mereka sama-sama belajar di MRSM Kota Bharu, batch yang sama.

Saya belum pernah berjumpa dengan Prof Kamil. Tapi yang kelakarnya apabila suami saya memberitahu nama saya, Prof berkata,”Oooo…M*****! Dia tu kawan baik Puan Norlela Zubir!”

Sakit perut saya tergelak. Itulah. Tumpang glamer di dalam blog orang yang glamer pun boleh terkenal juga…

Jutaan terima kasih buat Prof Kamil kerana sudi menghantar buku ini kepada saya. Semoga Prof dan keluarga sentiasa diberkati Allah.