Showing posts with label Kisah2 Cikgu. Show all posts
Showing posts with label Kisah2 Cikgu. Show all posts

Friday, December 19, 2008

PNB

Arrrggghhh…..aku serik !!

Pian bawa kereta 160 km/j! Kaki aku ni lenguh menekan brek angin di tempat duduk penumpang. Tapi seperti biasa aku maintain cool aje lah. Cerita pasal maid lari, Mawi kawin besok, dan cerita-cerita lain bagi memenuhi ruang-ruang bunyi di dalam kereta. Pian ni pandai jugak lawan bercerita. Sedar-sedar dari KLCC sampai ke tol Ayer Keroh hanya 1 jam 17 minit sahaja. Itu masa peak hour beb! Haah, mata aku menjeling-jeling jam kereta digital tu. Sekali sekala mata mengerling pula ke speedometer kereta nak mengesahkan betullah Si Pian ni bawa kereta serupa pelesit tak tahan nak buang air…

OK that’s enough silly talk. Sekali sekala nak juga melepaskan stress. Maaf kalau ada yang tersinggung membaca entri di atas tu.



Sebenarnya pagi tadi saya dan seorang rakan bertolak ke KL dengan kereta kampeni dipandu oleh Pian. Entah bagaimana jadual diatur, kami berlepas tersangatlah awal. Kami sepatutnya menghadiri Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian Geran Penyelidikan antara PNB dan Universiti-Universiti Tempatan Sempena 30 Tahun Penubuhan PNB pada jam 3 petang. Saya (dan tim) salah seorang penerima geran tersebut. Oleh kerana masih awal lagi kami singgah di KLCC dan terus menuju ke tingkat 4 ke Kinokuniya. Apa lagi… MS dan bookstore = MS dan coklat = addicted! Sempat SMS beberapa orang kawan-kawan KL untuk lunch. Tiada siapa yang available and I so hate to eat alone at a strange place. So no lunch for me.

Majlis penyerahan diadakan di Hotel Nikko berdekatan KLCC. Saya berjumpa beberapa orang rakan lama. Sempat juga networking dengan beberapa kenalan baru. Diajak pula menyertai fakulti bisnes UITM Shah Alam. Menarik, menarik.

Sebanyak 30 geran diberikan kepada 14 buah universiti. Penyerahan dilakukan oleh Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Y.A. Bhg Tun Dato’ Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid. Yang berjaya ialah:

1. Universiti Malaysia Sabah – 1 geran
2. Universiti Teknologi MARA – 1 geran (Dr Syed Shah Alam, sahabat baik saya dan
suami, bekas pensyarah di tempat kami)
3. Universiti Tun Abdul Razak – 1 geran
4. Universiti Sains & Pengurusan – 1 geran
5. Universiti Islam Antarabangsa – 2 geran
6. Universiti Kebangsaan Malaysia – 2 geran
7. Universiti Malaya – 2 geran
8. Universiti Kelantan – 2 geran
9. Universiti Malaysia Perlis – 2 geran
10. Universiti Teknologi Malaysia – 2 geran
11. Universiti Malaysia Terengganu – 3 geran (salah seorang daripada mereka, Dr Zul, juga
sahabat baik suami saya semasa di Kusza dahulu. Small world)
12. Universiti Utara Malaysia – 3 geran
13. Universiti Tenaga Nasional – 4 geran
14. Universiti Multimedia – 4 geran

Ehem, ehem…

(Kalau anda teliti Buletin Utama TV3 malam tadi, anda boleh nampak wajah seorang blogger comel.)



Wednesday, December 17, 2008

Betrayed

Don’t know what to say. Don’t know what to do. Speechless.

For someone who is fairly loyal, I didn’t expect this to happen.

One lousy year. That’s all I’m asking.

What have I done to deserve this? Haven’t I fulfilled the requirements?

I will get there! Only slower than normal people.

Why won't you let me get there?

I feel betrayed. Would you still be loyal to someone who has just betrayed you?

Right now, I don’t think I can.

At least, someone will be happy that I may not get there at all.

Good for you.

Thursday, October 9, 2008

Raya Fever Out, Exam Fever In!

Raya fever sudah berlalu. Sekarang bermula pula Exam Fever. Minggu ini ialah minggu Final Exam anak sulong saya di universiti. Minggu depan pula bermula PMR buat Ochi. Minggu selepas itu JJ pula akan menduduki peperiksaan akhir tahun. Kemudian Mik pula dengan SPM.

Masing-masing dengan gaya belajar dan mengulangkaji. Apa-apa pun yang penting asalkan mereka berusaha. Saya cuma berperanan sebagai pemberi peringatan sahaja. Saya sudah tidak panik atau stress semasa peperiksaan besar mereka. Tidak seperti semasa Juwaidi menduduki peperiksaan UPSR dan PMR dahulu. Maklumlah anak sulong katakan. Expectation diri dan orang lain membuatkan saya tertekan. Tapi tidak lagi. Saya tidak boleh jadi pemaksa. Anak-anak harus tahu saya menyokong mereka dan mendoakan kejayaan mereka. Yang mereka perlu buat ialah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan tawakal.

Bagi saya pula minggu ini juga pelajar-pelajar saya menduduki peperiksaan akhir semester mereka. Rata-rata mereka risau kerana secara tradisinya saya dikenali sebagai cikgu yang brutal di dalam penyediaan soalan peperiksaan. Seorang pelajar saya dari Yemen memberitahu rakannya, ‘Jika saya lulus peperiksaan Corporate Finance ini, saya akan berpuasa seminggu!’. Ali, Ali. Jangan tak ditunaikan nazar kamu itu nanti.

Cerita brutal itu cuma mitoslah.

Tuesday, May 13, 2008

Adi

Entri ini dibuat setelah membaca entri pada blog Prof Kamil tentang ‘Anak yang kita kasihi’. Saya serta-merta teringat Adi.

Bukan, ini bukan cerita anak saya lagi walaupun nama timangannya sama. Adi yang satu ini ialah bekas pelajar saya, sekitar lewat 90an dulu. Dia batch terawal di dalam program Pengurusan Perniagaan.

Adi macam biskut, sekejap ada sekejap tiada. Saya pernah mencarinya.
“Siapa kenal Adi? Kalau kamu berjumpa dengan dia suruh dia datang berjumpa dengan saya!” Adi tak pernah muncul.

Sekali sekala saya nampak dia di Mahkota Parade, bukan melepak atau shopping. Dia bekerja. Saya hairan,” Adi ni mahu belajarkah mahu bekerja?”

Beberapa tahun berlalu. Adi sepatutnya sudah 'graduate'.

Suatu hari di pejabat fakulti saya nampak seorang pakcik tua datang berjumpa dengan penolong pengarah. Setelah pakcik itu beredar saya tanya kerani, ‘Apa urusan pakcik itu?” (Anda kenalah faham, saya ini ada sikit busy body kadang-kadang. Lagipun air muka pakcik itu kelihatan sedih. Saya curious.)

“Dia dapat surat dari kita. Dia terkejut apabila dapat tahu anaknya digantung sekolah. Dia datang jauh dari Perak.“

“Siapa nama pelajar kita itu?” Kerani menyebut nama penuh Adi.

“Eh, itu bekas pelajar saya . Saya baru terserempak dengannya di Tesco beberapa bulan lepas. Kenapa dia tak beritahu ayahnya?”

Aduh. Beginilah kisah yang sering kita dengar. Anak tidak minat belajar. Ibubapa tidak tahu khabar sebenar anaknya di negeri orang. Agaknya Adi tidak sampai hati memberitahu ayahnya.

Adi masih bekerja di Melaka. Sekarang dia bekerja di Jusco Ayer Keroh. Dia kenal saya. Saya selalu menegurnya, bertanya khabar.

“Ayah apa khabar? Tak balik raya?” Saya sebenarnya kesian dengan Adi. Dia rajin bekerja. Dia tidak kisah bekerja kuat. Cuma dia tidak mahu belajar.

Dan rupanya Adi sudah berumahtangga. Hari tu saya nampak dia dan isteri menolak kereta sorong bayi. Saya hanya melihat dari jauh, Adi dan keluarga kecilnya. Saya doakan Adi bahagia dengan kehidupan yang dia pilih.

Friday, April 18, 2008

10 tahun 70 gram

Hari ini hari yang bersejarah buat saya. Saya menerima surat pengesahan dalam jawatan setelah sudah 10 tahun 6 bulan 11 hari bekerja di tempat sekarang. Aneh bukan?

Bukan saya seorang. Ada lebihkurang 5-6 rakan sekerja yang senasib. Kebanyakan mereka sudah dikira Otai di sini. Saya panggil kumpulan ini (termasuk saya) Kumpulan Otai2 Teraniaya (KOT). Gurau aja.

Kenapa lama sangat, tanya anda? Ada kes disiplinkah? Tiada. Tidak pandai mengajarkah? Tidak juga. Tidak ada kertas penyelidikankah? Banyak. Sudah terbit di dalam dan luar negara. Jadi, kenapa?

Mungkin kerana saya tidak memohon sebelum ini.

“Apa?” tanya anda lagi. Hendak disahkan ke dalam jawatan perlu memohon? Ya, dan kadangkala tidak.

Ada yang disahkan tanpa memohon. Ada juga yang memohon, tapi tidak disahkan atau lebih tepat tiada berita langsung. Ada yang memohon lebih daripada sekali, tapi masih tidak disahkan. Ajaib benar sistem yang dipakai Bahagian Sumber Manusia kami, kan?

Dahulu saya tidak pernah memohon hanya atas sebab prinsip. Kenapa harus saya memohon untuk disahkan ke dalam jawatan? Bukankah itu kerja mereka untuk menilai samada saya layak atau tidak? Dan sebenarnya saya sudah layak 7 tahun lepas, setelah syarat perjanjian perjawatan saya penuhi.

Apa faedah disahkan dalam jawatan? Not much, except it sounds so incredibly weird.

Yang saya nampak hanya satu faedah sahaja. Apabila syarikat mengeluarkan ESOS atau Employee Share Option Scheme, maka hanya pekerja tetap yang sudah disahkan sahaja yang layak. Tapi, ooopppp..tunggu. Yang peliknya, mereka yang berkontrak (bukan tetap) layak pula mendapat ESOS. Anda semakin pening? Saya juga.

Bagaimana saya boleh disahkan? Apa lagi. Saya isi borang 3 minggu lepas. Itupun setelah diarah oleh Boss baru. Cepat pula mereka keluarkan surat ya?

Yang agak menyedihkan surat itu dicetak di atas kertas 70 gram, dan tandatangan Pengarah (Baru) Sumber Manusia hanya di’bagi pihak’kan sahaja. Mungkin Pengarah sibuk menguruskan perkara-perkara yang lebih mustahak seperti ESOS yang baru dikeluarkan bulan lepas. Dan kami, ahli-ahli KOT, melepas lagi.

No worries. ESOS bukan menjadi isu bagi saya. Saya biasanya mengambil pendekatan ‘nak beri beri, tak nak beri sudah’ terutama isu-isu ESOS dan bonus. Rezeki di tangan Allah.

Sunday, April 13, 2008

Parole Officer


Hari itu sedang pelajar-pelajar saya tekun menyiapkan assignment di dalam kelas, saya tergerak hati memeriksa kedatangan. Biasanya saya memberikan sahaja senarai nama kepada mereka supaya ditandatangani. Saya membaca nama-nama yang ada bertandatangan di sebelah kanannya.

“Damien!” Tiada jawapan. Saya mencari-cari muka Damien yang berambut panjang ke kolar itu. Tiada.

“Hmmm…nampaknya Damien halimunan hari ini. Invisible Man!” sindir saya. Senyap. Tiada siapa yang berani bersuara.

Setelah habis membaca nama-nama mereka yang bertandatangan, saya dapati ada 5 orang pelajar yang mempunyai kuasa ghaib. Damien, Fatin, Chee Tat, Adlina dan Nor. Saya mula menyirap, tapi cuba nampak cool lagi. Pantang nenek moyang saya ditipu di siang hari!

OK, here’s the deal, people.” O-oh… Here it comes…

“Bagi mereka yang tandatangannya ada tapi tuan badannya tidak dapat dilihat hari ini, saya akan memotong sebanyak 5 markah dari coursework. Tolong beritahu mereka. Tapi sekiranya ada di antara kamu yang mengaku menandatangani untuk mereka, saya akan pertimbangkan hukuman itu. Jikalau tiada siapa yang mengaku, markah itu 100% ditanggung oleh mereka.”

Madam!” Saya nampak tangan diangkat.

Yes, Sam? Do you have something to tell me?”

I am sorry Madam. I signed for Chee Tat.”

Thank you, Sam, for being honest.”

Keesokan harinya Chee Tat datang berjumpa saya. Mukanya macam cicak berak kapur.

Madam, please don’t punish Sam. I asked him to sign for me. I bear the punishment 100 percent! I am very sorry, Madam.” Alahai, ada jujur dalam tak jujur.

Tiga pelajar yang lain datang berjumpa saya dan mengaku menyuruh kawan mereka menandatangani. Saya ber”ceramah” panjang tentang dishonesty. Akhirnya, mereka sanggup menanggung 100% hukuman.

“Tak boleh kurangkan, Madam? Banyak sangatlah 5 markah tu.” Budak zaman sekarang. Sudah bersalah mahu tawar-menawar lagi.

“Hmm…Kalau sikit tak rasa pulak kan?” Mereka akur dan berjanji tidak akan buat lagi. Mereka berjanji juga akan aktif bertanya di dalam kelas semasa persembahan projek rakan-akan mereka dan meminta saya memberi mereka markah extra credit bagi menaikkan balik markah coursework. Saya setuju.

Kes Adlina lain pula ceritanya. Dia tidak menyuruh sesiapa menandatangani tapi si penandatangan tidak mahu bertanggungjawap dan berjumpa saya. Malu katanya! Akhirnya demi kawan Adlina sanggup menerima hukuman sepenuhnya.

I’m sorry you have a friend like that,” kata saya, rubbing salt onto an open wound.

Aduhai! Selain dari menjadi seorang guru saya juga berperanan persis seorang pegawai pemulihan akhlak.

Friday, February 29, 2008

Lost

Saya menerima sms daripada kawan baik saya, Z, pada malam Khamis lepas.

My father passed away at about 5 pm today…” Dia akan telefon esok katanya meminta saya menguruskan beberapa perkara. Saya hanya menghantar salam takziah melalui sms kerana saya faham keadaannya pada masa itu. Keesokkan harinya saya menelefon Z. Dia tidak mahu bercerita tentang ayahnya, katanya. Nanti dia menangis. Dia cuba bernada ceria. Saya hormati dan saya hanya mencatit perkara-perkara yang dia minta tolong saya sampaikan kepada pejabat.

Keesokan harinya, hari Khamis, saya ada kelas pada jam 8 pagi hingga 12 tengahhari. Selesai sahaja kelas saya dapat jemputan makan tengahhari daripada admirer saya yang “original punya”. Dalam perjalanan ke kereta saya terserempak dengan pelajar kelas saya yang saya baru tinggalkan tadi. Dia di dalam keadaan yang sangat kelam kabut. Sambil bercakap di telefon bimbitnya dia menangis.

What should I do? What should I tell her?” Saya terpinga-pinga. Dalam hati saya, “Oh my God! Someone’s injured or even dead!” Saya sudah berdebar-debar menanti beritanya.

Madam! Please tell me what to do! I don’t know what to do!” Dia sudah mula hysterical.

What happened?” Beberapa kali saya bertanya. Dia masih di dalam keadaan hysterical.

I lost my bag. It's a small paper bag. It was in the lecture hall. I think I left it there after class. When I realized it and went back it was gone! What should I do?” Dia mula bertanya lagi.

“Apa ada di dalam beg itu?”

“Jam saya! Ada 2 jam di dalam beg itu!”

Astaghfirullahhalaziimm.. Saya beristighfar panjang. Jam rupanya. Saya nyaris berbuat sesuatu yang drastik. Sabar…

“What is the value?”

“3! 3!”

“3? 3 hundred? 3 thousand?”

“3 hundred!”

Pada masa ini rakan-rakan sekelasnya sudah muncul. Ada yang menelefon pengawal keselamatan meminta buat spot-check ke atas pelajar-pelajar yang ada di dalam kelas itu pada masa itu. Rakan-rakan perempuan cuba mententeramkannya. Dia pula sudah terjelepuk di atas lantai, menangis sambil meracau-racau.

Setelah berpuas hati tentang tindakan lanjut pengawal keselamatan di situ, saya mengambil keputusan meninggalkan mereka.

Take care.” Saya cuba menunjukkan compassion.

Malam tadi anak lelaki saya singgah sebentar di rumah pada jam 11 malam semasa rondaannya di taman. Dia bekerja part-time dengan syarikat keselamatan yang membuat rondaan di kawasan taman kami.

“Ma, abang tengah tension ni. Handphone abang hilang. Abang suspek budak yang kerja sekali dengan abang tu yang ambil. Abang tengah geram ni…!” Whoa! Badan si Adi ni pulak besar.

Saya suruh dia bersabar. Jangan tuduh sebarangan. Memanglah kita jadi susah tanpa benda itu tapi, saya beritahu dia, “It’s just a thing, Bang.”

Pagi tadi saya ada kelas lagi dengan pelajar-pelajar semalam. Budak perempuan itu masuk lambat 45 minit dengan matanya yang bengkak. Saya diam sahaja tanpa menegurnya. Semasa rehat, saya bertanya tentang jamnya itu.

“Sudah jumpa. I felt so silly for over reacting.” You think?

Rupa-rupanya seorang kakak cleaner telah terjumpa beg itu dan menyimpannya. Dia tidak sempat memaklumkan pegawai keselamatan kerana perlu ke bangunan lain. Pada masa itu pula tiada pengawal keselamatan di meja pengawal.

Don’t get too hooked up on ‘things’. It’s not worth it.” Saya cuba menasihatinya. Saya tidak tahu bagaimanakah reaksinya sekiranya dia mengalami kehilangan seperti Z.

Monday, February 11, 2008

Ethics

Petang tadi saya menerima email dari seorang yang saya tidak kenali. Katanya dia pelajar part-time MBA. Dia meminta tolong saya menyelesaikan assignment Financenya dengan “token of appreciation” sebanyak RM 150. Dateline adalah pada 18 Februari depan. Katanya lagi, jika saya tidak dapat melakukannya, harap saya dapat memaklumkan kepada rakan-rakan saya yang lain.

Dia tidak memberitahu nama penuhnya, asal usulnya, di mana dia bekerja, di mana dia belajar MBA, sudah kahwin atau belum (relevant ke..? hehe), apa jenis assignment, dan juga maklumat lain yang saya kira perlu apabila meminta bantuan (inikan pula berbayar) dari seseorang.

Jikalau perkara ini berlaku pada anda, apa yang anda akan lakukan? Terima atau tidak?

Saya mengambil keputusan membiarkan sahaja email tersebut tanpa dijawab. Saya juga tidak menghantar email itu kepada rakan-rakan saya. Bagi saya tindakannya itu tidak beretika, dan saya rasa terhina apabila dia dengan mudahnya menganggap bahawa kami pensyarah-pensyarah universiti boleh dibeli dengan begitu mudah sekali.

Apabila saya memberitahu rakan-rakan yang lain, mereka bersetuju dengan tindakan saya. Seorang rakan berkata, “Sudahlah minta kita buat a dirty job, bayar murah pulak tu!”

Saya tidak mahu menjatuhkan apa-apa hukuman ke atas tindakan penulis email itu. Tapi saya rasa seriau apabila memikirkan dia akan menggunakan MBAnya itu bagi meningkatkan kariernya, dan memberi rezeki kepada ibubapa dan keluarganya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Saturday, January 26, 2008

Langkawi Trip Jan2008

Wira, Air-Cond, dan Astro

Sudah ada yang tertunggu-tunggu rupanya entri Langkawi saya ini. Ok, bagi tidak menghampakan, saya akan catatkan secara kronologi. Jika terlalu panjang dan membosankan, saya minta maaf terlebih dahulu, ya!

14-1-2008 (Isnin):
Saya dan Z tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi lebih kurang jam 2 petang. Pada mulanya kami bercadang menyewa teksi sahaja ke tempat kediaman di MRSM Langkawi, Kuah. Tapi Ghony, budak lelaki di kaunter kereta sewa itu dapat memujuk kami menyewa kereta selama 4 hari.

“Kak, sewa teksi dari Kuah ke Pantai Cenang RM30 sekali jalan. Pergi-balik sudah RM60. Kalau Akak sewa kereta, saya beri rate bagus. Saya beri Akak kereta Wira tapi saya caj RM50 sahaja, kadar kereta Kancil tu. Power steering lagi, Kak.” Betul juga kata Si Ghony ini. Kami bersetuju.

Perjalanan ke Kuah dari lapangan terbang lebih kurang 20 minit melalui lebuhraya baru. Tiada trafik di jalanraya. Seronoknya!

Mungkin kerana off-season, rezeki kami amat baik sekali. Sampai sahaja di MRSM kami mencari pejabat Koperasi di bangunan pentadbiran.

Semasa membuat tempahan dahulu, saya diberi bilik di tingkat 5. Tinggi tu… Kadarnya pula RM100 sehari. “Kak, bilik ini tidak ada air-cond, ya!” Alamak. Cuaca di Langkawi panas semacam saja ini.

“Dek, ada tak bilik di tingkat bawah, yang ada air-cond?”

“Ada di tingkat 3, tapi RM120lah, Kak.”

“Ala, Dek. Kasi canlah RM100 sahaja. Kami ini kena budgetlah. Bolehla ya?” Mata Mr T saya semakin dibulatkan minta belas kasihan.

Dia berfikir sejenak, lalu menggangguk. Alhamdulillah.

“Ada Astro tak, Dek?” Aduhai! Macam-macam pula permintaan Si Budget Traveller ini!

“Astro semua sudah diputuskan, Kak. Pengurusan baru…”

Sampai di bilik, kami terkejut. Cantiknya!

“Eh, Z**! Ada decoder Astrolah!” Hehehe…Ada Astro.

Apa lagi yang ada. 3 bilik, 5 katil, 2 bilik air, hot shower, seterika dan ironing board, meja makan, air-cond, boiler jug, peti ais kecil, tuala, sabun dan syampu, dan ASTRO. Ini mengalahkan hotel 3 bintang di bandar Kuah!

Selepas solat, kami ronda Langkawi Mall sampai malam.

15-1-2008 (Selasa):
Konferens akan bermula jam 9 pagi. Kami bertolak awal dari Kuah ke Awana Porto Malai, Pantai Cenang. Kami singgah makan pagi di gerai kecil di tepi jalan.

Jauh juga Awana ini. Nasib baik ada peta yang diberi oleh Si Ghony. Saya dan Z berpendapat kalau sesat pun kami tidak akan terbabas ke Thailand. Hahaha!

Sampai di Awana, majlis perasmian sudah mahu bermula. Z tinggalkan saya di sana, manakala dia membawa kereta meronda-ronda bandar Kuah. Saya berpesan kepada Z supaya datang mengambil saya jam 6.30 petang.

Saya tidak mahu mengulas panjang tenang konferens. Yang saya mahu katakan, saya belajar banyak perkara dan berjumpa ramai kenalan baru.

Yang menarik pada hari ini, saya berkenalan dengan seorang Pengurus Bank RHB berbangsa Cina bernama Mr Ng, dan seorang pelajar PhD dari USM. Kami menumpangkan mereka ke Kuah petang itu. Mr Ng seorang yang baik hati. Walaupun sudah berusia lewat 50an, dia nampak 7-8 tahun lebih muda. Dia mengajar kami falsafah hidupnya. Kami begitu asyik berbual sehinggakan Z terlepas simpang dan kami tersesat sekejap di kawasan lapangan terbang.

“The way to happiness: Free yourself from hate, your mind from worry. Expect little but give much. Forget yourself, and think of others. Do as you could be done by others.”

Wah, hebat pelajaran kami di dalam kereta petang itu.

Sampai di Kuah kami bershopping dan makan malam di sana. Malam itu kami tidur di depan TV di ruang tamu sebab malam semalam kami tidak dapat tidur nyenyak di dalam bilik. Saya pula claustrophobia. Bilik itu macam menyesakkan nafas saya. Malam itu tidur kami yang paling sedap sekali…

16-1-2008 (Rabu):
Hari kedua konferens. Kami bangun sedikit lewat. Tidak sempat breakfast, terus masuk ke dewan konferens. Z meronda di Pantai Cenang. Sessi presentation banyak hari ini. Otak saya penat.

Semasa rehat Mr Ng datang menghampiri saya. “Saya terpaksa balik petang ini. Saya masih ada kupon sarapan pagi di Awana buat esok hari untuk dua orang. I want you to have it. You and your friend can eat here before you go to your trip.” Kebetulan hari esok pihak pengurusan konferens akan mengadakan lawatan percuma, samada ke Kilim GeoForest Park atau Cable Car. Saya terima dengan senang hati. Baik sungguh hati Mr Ng ini kan?

Hari ini pula kami dapat tahu melalui SMS dari rakan-rakan di Melaka yang Z dilantik memegang jawatan Accounting Unit Head, dan saya sebagai Program Coordinator Banking & Finance. Kami tergelak. Suka hati saja kami bercuti sakan di Langkawi semasa pengumuman itu dibuat.

Petang itu kami sempat berhenti di kedai Cendul Pulut Mak Bedah yang terletak di tepi lebuhraya. Sedapnya! Lepas itu kami ronda ala-kadar sahaja kerana kami sudah penat. Kami tapau makan malam dan makan depan TV sambil mengestro...

17-1-2008 (Khamis):
Kami berdua bangun awal kerana lawatan kami akan bermula jam 8 pagi, bertolak dari Awana ke Kilim Geoforest Park. Kami mahu bersarapan dahulu di Awana.

Kami menaiki van ke Kilim. Beberapa pensyarah dan staff UUM juga ikut sama. Kilim GFP perlu melalui jalan ke MRSM! Kelakarnya! Di sana kami menaiki bot ke hutan kayu bakau, Gua Kelawar, Gua Buaya, Gua Langsir, fish farm terapung, eagle feeding, dan beberapa tempat lagi. Kami tidak sempat ke kawasan ancient fossils kerana hujan sudah mula turun dan ombak laut semakin kuat. Kami di dalam bot seperti disiram dengan gayung penuh air. Habis basah kuyup! Kesimpulannya – lawatan yang sangat, sangat menarik.

Selepas lawatan kami bergegas balik ke MRSM mahu mandi dan tukar pakaian. Selepas itu kami ronda-ronda sampai malam. Saya membeli alas tilam warna pink harga RM55 di Idaman Suri. Sebenarnya kami mencari kedai menjual lobster tapi tidak berjumpa. Jadi kami makan sup tulang di kedai makanan siam sahaja. Kami juga teringin menaiki kuda di Island Horses tetapi cajnya terlalu mahal. RM187 sejam seorang bagi yang tiada pengalaman langsung menunggang kuda!

Malam itu kami mengemas beg seadanya. Beg sudah tidak muat. Besok perlu atur strategi baru.

18-1-2008 (Jumaat):
Kami keluar makan pagi di gerai roti canai depan CIMB di bandar Kuah. Lepas itu kami ronda mencari beg kecil. Sempat lagi membeli kain batik buat basahan. Sabor ajer ler…

Selepas check-out dari MRSM pada jam 11.30 pagi kami menuju ke Ulu Melaka iaitu ke Makam Mahsuri dan Padang Beras Terbakar di Padang Matsirat. Kecil benar padang beras terbakar tu….Ia terletak dalam kawasan pagar rumah kepunyaan persendirian. Pelawat tidak dibenarkan lagi mengutip beras dari padang yang sekangkang kera itu. Beras-beras pun sudah tidak kelihatan. Segenggam beras terbakar diletakkan di dalam mangkuk dan dipamer di dalam kotak kaca. Saya tidak ingat peristiwa yang membawa kepada terbakarnya beras dengan begitu banyak. Itu perlu buka buku sejarahlah, ok.

Bolehlah dikatakan kami sudah agak mahir dengan kawasan Langkawi terutama sekali di kawasan Kuah, Pantai Cenang dan Ulu Melaka. Sesiapa yang ingin membawa kami ke sana sebagai pemandu pelancung, kami amat mengalu-alukan. Ngeh, ngeh!

Penerbangan kami ke Kuala Lumpur pada jam 2.15 pm. Kami sampai di lapangan terbang pada jam 1 tengahari lalu menyerahkan kunci kereta kepada runner Si Ghony.

Maka berakhirlah episod percutian sambil belajar kami di Langkawi. Kami membawa pulang kenangan, barang-barang, dan nama-nama kenalan baru.

Thursday, January 3, 2008

Tak Boleh. Tak Boleh. Tak Boleh.

Bulan November 2007 lepas saya memohon menghadiri konferens dua hari di Langkawi (The 4th International Conference in Banking and Finance) anjuran bersama UUM dan IBBM. Saya memohon sebagai peserta sahaja kerana tidak menghantar apa-apa artikel. Alasan yang saya berikan ialah supaya dapat pengetahuan baru dalam bidang Banking & Finance, yang merupakan bidang saya (Finance). Saya beri sebutharga penerbangan dan tempat penginapan termurah. Termasuk yuran penyertaan, jumlah kosnya kurang dari RM 2,000.

Sebelum menghantar borang kepada Bahagian Sumber Manusia, saya memberitahu Dekan tentang perkara ini. Dekan menjawab, “I will strongly recommend your application”. Wah! Saya seronok sebab sudah lama tidak pergi menghadiri konferens. Yang pernah saya hadiri pun atas perbelanjaan sendiri sahaja. Untuk makluman, saya tidak pernah, and I repeat, tidak pernah, meminta universiti apa-apa bantuan kewangan samada bagi menghadiri konferens atau menjalankan research. Never, never.

Setelah dibawa kepada komiti pertengahan bulan Disember, saya telah dimaklumkan bahawa permohonan saya tidak diluluskan. TAK BOLEH. Sebabnya saya tidak ada menghantar apa-apa artikel. Dan sekiranya tidak ada artikel komiti memang tidak akan luluskan. Hmm..di dalam borang permohonan ada dua kotak untuk dipilih. Satu, Presenter, dan satu lagi, Participant. Kalau yang kedua itu tidak boleh, mengapa pula disediakan kotak di dalam borang, ya? Musykil, musykil.

Saya geram juga. Saya hantar email kepada Dekan bagi menyatakan ketidakpuasan hati saya, tanpa menuduhnya (well, maybe implicitly). Bahasa saya professional. Dia tidak jawab email saya.

Apabila angin sudah reda, saya mengambil keputusan menghadiri juga konferens tersebut. Perbelanjaan sendiri. Saya dapat tempah tiket Airasia RM 9.90 (jumlah kesemuanya sampai juga RM 100 +) dan penginapan di MRSM Langkawi, Kuah. Koperasi mereka ada menyediakan bilik tumpangan. Selesa, ada ASTRO. Konferens akan diadakan di Awana Porto Malai.

Pagi tadi saya menelefon HR. Saya tanya bolehkah saya memohon pelepasan pergi konferens yang dibayar sendiri? Jawapannya, puan perlu membuat rayuan kepada komiti memohon cuti menghadiri konferens sebab dulu permohonan puan sudah ditolak. Tidakkah ini dikira sebagai ‘training’? Oh, tidak. Sebab puan bayar sendiri. Kami tidak menyediakan kereta universiti bagi menghantar puan ke lapangan terbang. Dan puan perlu memohon cuti tahunan jika ingin pergi. Ini tidak dikira sebagai Official Duty. Dia berbahasa juga. Dia meminta maaf dari saya.

Jawapan dari Bahagian Sumber Manusia ini tidak pernah ada yang membahagiakan.

Saya dapat tahu dua orang tutor perempuan berbangsa Cina dari fakulti saya telah diluluskan pergi ke konferens yang sama. Yang saya tahu mereka belum pun sampai dua tahun bekerja. Mereka diarahkan berkongsi bilik hotel. Biasanya kelulusan akan diberi kepada seorang sahaja bagi satu konferens. Saya kira komiti telah menggunakan budi-bicara mereka dalam perkara ini.

Saya pula sudah 10 tahun di sini. Tak boleh pula budi dibicarakan.

Monday, December 10, 2007

Sleep Apnea

Pagi tadi saya dan suami pergi ke bandar Seremban melawat pelajar-pelajar MMU yang sedang menjalankan latihan praktikal di sana. Saya perlu bantuan suami kerana saya tidak berapa kenal jalan di dalam bandar itu. Saya pergi ke tiga lokasi; Allson Kelana Resort, Pusat Zakat Seremban, dan Royal Adelphi Resort. Pelajar-pelajar itu telah memberi saya peta ke tempat mereka jadi perjalanan saya sangat lancar. Saya berjumpa dengan pelajar-pelajar itu sambil bertanya tentang pengalaman mereka di tempat kerja. Kemudian saya berjumpa pula dengan supervisor mereka masing-masing untuk mengetahui prestasi kerja pelajar-pelajar itu. Kesemua supervisor amat berpuas hati dengan prestasi kerja pelajar-pelajar ini. Mudahlah saya memberi markah kepada mereka nanti.

Saya memang suka berbual dengan pelajar-pelajar saya. Mereka sangat terbuka dan suka berkongsi cerita dengan saya. Kadang-kadang saya menjadi tempat mencurahkan isi hati atau berbual tentang apa-apa saja. Dari cerita akademik sehingga cerita hantu pun ada.

Saya selesai lawatan itu pada jam 12.30 tengahari. Lalu kami terus bertolak balik ke Melaka. Saya sudah tidak mampu pergi shopping atau lain-lain lagi. Saya sudah penat. Sejak dari hari Sabtu 1hb Disember lepas, saya sudah berjalan sebanyak 5 kali. Saya mahu balik berehat.

Sampai di tol Ayer Keroh, Melaka kami beratur untuk membayar. Ditakdirkan pula barisan kami sangat lambat. Di barisan lain yang membayar tunai, sudah tiga buah kereta selesai membayar tapi barisan kami baru selesai sebuah sahaja. Kereta kami yang ke enam masa itu.

“Abang, ini sah budak sleep apnea itu yang bertugas!” kata saya sambil cuba menjenguk ke arah tempat membayar tol.

“Betul ke?”

“Tengok tu! Hendak beri duit baki pun lambat! Mungkin dia tertidur lagi!” Saya sebenarnya sudah tidah tahan untuk ke bilik air. Rupa-rupanya memang sah dia, Si Budak Sleep Apnea.

Kami telah berkenalan dengan lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 25-27 tahun. Dia ada penyakit yang dipanggil ‘sleep apnea’ iaitu masalah pernafasan semasa tidur. Pernafasannya akan terganggu membuatkan dia tidak lena tidur. Jadi pada waktu siang dia akan mengantuk tahan gaban dan mengganggu kerjanya mengutip tol. Dia boleh tertidur di atas mesin register itu sambil mengira wang baki. Menurut maklumat yang saya dapat dari internet penyakit ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan darah tinggi, sakit jantung atau strok.

Bagaimana kami tahu dia ada penyakit itu? Dia sendiri yang bercerita semasa kami membayar tol kepadanya satu ketika dulu. Mana tidak terganggu perjalanan kenderaan, betul tak? Termasuk kali ini sudah tiga kali kami berjumpa dengan dia. Saya pelik kenapa dia dibiarkan berkerja terutama sekali mengutip wang. Kan mudah kalau dia diberi kerja memberi tiket sahaja?

Jadi jika anda dalam perjalanan ke Melaka dan barisan tol anda lambat, berilah sedikit empati. Mungkin juga lelaki itu sedang bekerja. Dia bertubuh gempal, berkulit gelap, sangat ramah, dan bermata bundar (mungkin sebab tidak cukup tidur).

Sebelum beredar suami saya sempat berpesan, "Kerja baik-baik, ya dek. Jangan tertidur pula!” Dia cuma tersenyum menampakkan gigi sahaja.