Saturday, January 26, 2008

Wira, Air-Cond, dan Astro

Sudah ada yang tertunggu-tunggu rupanya entri Langkawi saya ini. Ok, bagi tidak menghampakan, saya akan catatkan secara kronologi. Jika terlalu panjang dan membosankan, saya minta maaf terlebih dahulu, ya!

14-1-2008 (Isnin):
Saya dan Z tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi lebih kurang jam 2 petang. Pada mulanya kami bercadang menyewa teksi sahaja ke tempat kediaman di MRSM Langkawi, Kuah. Tapi Ghony, budak lelaki di kaunter kereta sewa itu dapat memujuk kami menyewa kereta selama 4 hari.

“Kak, sewa teksi dari Kuah ke Pantai Cenang RM30 sekali jalan. Pergi-balik sudah RM60. Kalau Akak sewa kereta, saya beri rate bagus. Saya beri Akak kereta Wira tapi saya caj RM50 sahaja, kadar kereta Kancil tu. Power steering lagi, Kak.” Betul juga kata Si Ghony ini. Kami bersetuju.

Perjalanan ke Kuah dari lapangan terbang lebih kurang 20 minit melalui lebuhraya baru. Tiada trafik di jalanraya. Seronoknya!

Mungkin kerana off-season, rezeki kami amat baik sekali. Sampai sahaja di MRSM kami mencari pejabat Koperasi di bangunan pentadbiran.

Semasa membuat tempahan dahulu, saya diberi bilik di tingkat 5. Tinggi tu… Kadarnya pula RM100 sehari. “Kak, bilik ini tidak ada air-cond, ya!” Alamak. Cuaca di Langkawi panas semacam saja ini.

“Dek, ada tak bilik di tingkat bawah, yang ada air-cond?”

“Ada di tingkat 3, tapi RM120lah, Kak.”

“Ala, Dek. Kasi canlah RM100 sahaja. Kami ini kena budgetlah. Bolehla ya?” Mata Mr T saya semakin dibulatkan minta belas kasihan.

Dia berfikir sejenak, lalu menggangguk. Alhamdulillah.

“Ada Astro tak, Dek?” Aduhai! Macam-macam pula permintaan Si Budget Traveller ini!

“Astro semua sudah diputuskan, Kak. Pengurusan baru…”

Sampai di bilik, kami terkejut. Cantiknya!

“Eh, Z**! Ada decoder Astrolah!” Hehehe…Ada Astro.

Apa lagi yang ada. 3 bilik, 5 katil, 2 bilik air, hot shower, seterika dan ironing board, meja makan, air-cond, boiler jug, peti ais kecil, tuala, sabun dan syampu, dan ASTRO. Ini mengalahkan hotel 3 bintang di bandar Kuah!

Selepas solat, kami ronda Langkawi Mall sampai malam.

15-1-2008 (Selasa):
Konferens akan bermula jam 9 pagi. Kami bertolak awal dari Kuah ke Awana Porto Malai, Pantai Cenang. Kami singgah makan pagi di gerai kecil di tepi jalan.

Jauh juga Awana ini. Nasib baik ada peta yang diberi oleh Si Ghony. Saya dan Z berpendapat kalau sesat pun kami tidak akan terbabas ke Thailand. Hahaha!

Sampai di Awana, majlis perasmian sudah mahu bermula. Z tinggalkan saya di sana, manakala dia membawa kereta meronda-ronda bandar Kuah. Saya berpesan kepada Z supaya datang mengambil saya jam 6.30 petang.

Saya tidak mahu mengulas panjang tenang konferens. Yang saya mahu katakan, saya belajar banyak perkara dan berjumpa ramai kenalan baru.

Yang menarik pada hari ini, saya berkenalan dengan seorang Pengurus Bank RHB berbangsa Cina bernama Mr Ng, dan seorang pelajar PhD dari USM. Kami menumpangkan mereka ke Kuah petang itu. Mr Ng seorang yang baik hati. Walaupun sudah berusia lewat 50an, dia nampak 7-8 tahun lebih muda. Dia mengajar kami falsafah hidupnya. Kami begitu asyik berbual sehinggakan Z terlepas simpang dan kami tersesat sekejap di kawasan lapangan terbang.

“The way to happiness: Free yourself from hate, your mind from worry. Expect little but give much. Forget yourself, and think of others. Do as you could be done by others.”

Wah, hebat pelajaran kami di dalam kereta petang itu.

Sampai di Kuah kami bershopping dan makan malam di sana. Malam itu kami tidur di depan TV di ruang tamu sebab malam semalam kami tidak dapat tidur nyenyak di dalam bilik. Saya pula claustrophobia. Bilik itu macam menyesakkan nafas saya. Malam itu tidur kami yang paling sedap sekali…

16-1-2008 (Rabu):
Hari kedua konferens. Kami bangun sedikit lewat. Tidak sempat breakfast, terus masuk ke dewan konferens. Z meronda di Pantai Cenang. Sessi presentation banyak hari ini. Otak saya penat.

Semasa rehat Mr Ng datang menghampiri saya. “Saya terpaksa balik petang ini. Saya masih ada kupon sarapan pagi di Awana buat esok hari untuk dua orang. I want you to have it. You and your friend can eat here before you go to your trip.” Kebetulan hari esok pihak pengurusan konferens akan mengadakan lawatan percuma, samada ke Kilim GeoForest Park atau Cable Car. Saya terima dengan senang hati. Baik sungguh hati Mr Ng ini kan?

Hari ini pula kami dapat tahu melalui SMS dari rakan-rakan di Melaka yang Z dilantik memegang jawatan Accounting Unit Head, dan saya sebagai Program Coordinator Banking & Finance. Kami tergelak. Suka hati saja kami bercuti sakan di Langkawi semasa pengumuman itu dibuat.

Petang itu kami sempat berhenti di kedai Cendul Pulut Mak Bedah yang terletak di tepi lebuhraya. Sedapnya! Lepas itu kami ronda ala-kadar sahaja kerana kami sudah penat. Kami tapau makan malam dan makan depan TV sambil mengestro...

17-1-2008 (Khamis):
Kami berdua bangun awal kerana lawatan kami akan bermula jam 8 pagi, bertolak dari Awana ke Kilim Geoforest Park. Kami mahu bersarapan dahulu di Awana.

Kami menaiki van ke Kilim. Beberapa pensyarah dan staff UUM juga ikut sama. Kilim GFP perlu melalui jalan ke MRSM! Kelakarnya! Di sana kami menaiki bot ke hutan kayu bakau, Gua Kelawar, Gua Buaya, Gua Langsir, fish farm terapung, eagle feeding, dan beberapa tempat lagi. Kami tidak sempat ke kawasan ancient fossils kerana hujan sudah mula turun dan ombak laut semakin kuat. Kami di dalam bot seperti disiram dengan gayung penuh air. Habis basah kuyup! Kesimpulannya – lawatan yang sangat, sangat menarik.

Selepas lawatan kami bergegas balik ke MRSM mahu mandi dan tukar pakaian. Selepas itu kami ronda-ronda sampai malam. Saya membeli alas tilam warna pink harga RM55 di Idaman Suri. Sebenarnya kami mencari kedai menjual lobster tapi tidak berjumpa. Jadi kami makan sup tulang di kedai makanan siam sahaja. Kami juga teringin menaiki kuda di Island Horses tetapi cajnya terlalu mahal. RM187 sejam seorang bagi yang tiada pengalaman langsung menunggang kuda!

Malam itu kami mengemas beg seadanya. Beg sudah tidak muat. Besok perlu atur strategi baru.

18-1-2008 (Jumaat):
Kami keluar makan pagi di gerai roti canai depan CIMB di bandar Kuah. Lepas itu kami ronda mencari beg kecil. Sempat lagi membeli kain batik buat basahan. Sabor ajer ler…

Selepas check-out dari MRSM pada jam 11.30 pagi kami menuju ke Ulu Melaka iaitu ke Makam Mahsuri dan Padang Beras Terbakar di Padang Matsirat. Kecil benar padang beras terbakar tu….Ia terletak dalam kawasan pagar rumah kepunyaan persendirian. Pelawat tidak dibenarkan lagi mengutip beras dari padang yang sekangkang kera itu. Beras-beras pun sudah tidak kelihatan. Segenggam beras terbakar diletakkan di dalam mangkuk dan dipamer di dalam kotak kaca. Saya tidak ingat peristiwa yang membawa kepada terbakarnya beras dengan begitu banyak. Itu perlu buka buku sejarahlah, ok.

Bolehlah dikatakan kami sudah agak mahir dengan kawasan Langkawi terutama sekali di kawasan Kuah, Pantai Cenang dan Ulu Melaka. Sesiapa yang ingin membawa kami ke sana sebagai pemandu pelancung, kami amat mengalu-alukan. Ngeh, ngeh!

Penerbangan kami ke Kuala Lumpur pada jam 2.15 pm. Kami sampai di lapangan terbang pada jam 1 tengahari lalu menyerahkan kunci kereta kepada runner Si Ghony.

Maka berakhirlah episod percutian sambil belajar kami di Langkawi. Kami membawa pulang kenangan, barang-barang, dan nama-nama kenalan baru.

2 comments:

Norlela Zubir said...

Assalamualaikum Mun,
Terdahulu, tahniah atas lantikanmu sebagai Program Coordinator Banking & Finance.

Alhamdulillah, percutian Mun & Z ke Langkawi begitu menyeronokkan. Andai saya turut ikut, alangkah bagus... (Buat sibuk je 'ikan' ni, ek, hihi!!!)

Falsafah hidup yang Mr. Ng katakan itu memang tepat sekali. Pusing2 ke mana pun, itulah hakikatnya yang perlu kita terima untuk menikmati hidup gembira.

Terima kasih berkongsi cerita. Esok jangan lupa bengkel kita di PTS, ya.. Salam ceria..

Anonymous said...

Waalaikummussalam Kak Lela,
Terima kasih. Percutian begini lebih ramai lebih best! See you tomorrow, insyaAllah.