Friday, April 18, 2008

10 tahun 70 gram

Hari ini hari yang bersejarah buat saya. Saya menerima surat pengesahan dalam jawatan setelah sudah 10 tahun 6 bulan 11 hari bekerja di tempat sekarang. Aneh bukan?

Bukan saya seorang. Ada lebihkurang 5-6 rakan sekerja yang senasib. Kebanyakan mereka sudah dikira Otai di sini. Saya panggil kumpulan ini (termasuk saya) Kumpulan Otai2 Teraniaya (KOT). Gurau aja.

Kenapa lama sangat, tanya anda? Ada kes disiplinkah? Tiada. Tidak pandai mengajarkah? Tidak juga. Tidak ada kertas penyelidikankah? Banyak. Sudah terbit di dalam dan luar negara. Jadi, kenapa?

Mungkin kerana saya tidak memohon sebelum ini.

“Apa?” tanya anda lagi. Hendak disahkan ke dalam jawatan perlu memohon? Ya, dan kadangkala tidak.

Ada yang disahkan tanpa memohon. Ada juga yang memohon, tapi tidak disahkan atau lebih tepat tiada berita langsung. Ada yang memohon lebih daripada sekali, tapi masih tidak disahkan. Ajaib benar sistem yang dipakai Bahagian Sumber Manusia kami, kan?

Dahulu saya tidak pernah memohon hanya atas sebab prinsip. Kenapa harus saya memohon untuk disahkan ke dalam jawatan? Bukankah itu kerja mereka untuk menilai samada saya layak atau tidak? Dan sebenarnya saya sudah layak 7 tahun lepas, setelah syarat perjanjian perjawatan saya penuhi.

Apa faedah disahkan dalam jawatan? Not much, except it sounds so incredibly weird.

Yang saya nampak hanya satu faedah sahaja. Apabila syarikat mengeluarkan ESOS atau Employee Share Option Scheme, maka hanya pekerja tetap yang sudah disahkan sahaja yang layak. Tapi, ooopppp..tunggu. Yang peliknya, mereka yang berkontrak (bukan tetap) layak pula mendapat ESOS. Anda semakin pening? Saya juga.

Bagaimana saya boleh disahkan? Apa lagi. Saya isi borang 3 minggu lepas. Itupun setelah diarah oleh Boss baru. Cepat pula mereka keluarkan surat ya?

Yang agak menyedihkan surat itu dicetak di atas kertas 70 gram, dan tandatangan Pengarah (Baru) Sumber Manusia hanya di’bagi pihak’kan sahaja. Mungkin Pengarah sibuk menguruskan perkara-perkara yang lebih mustahak seperti ESOS yang baru dikeluarkan bulan lepas. Dan kami, ahli-ahli KOT, melepas lagi.

No worries. ESOS bukan menjadi isu bagi saya. Saya biasanya mengambil pendekatan ‘nak beri beri, tak nak beri sudah’ terutama isu-isu ESOS dan bonus. Rezeki di tangan Allah.

No comments: