Monday, December 10, 2007

Sleep Apnea

Pagi tadi saya dan suami pergi ke bandar Seremban melawat pelajar-pelajar MMU yang sedang menjalankan latihan praktikal di sana. Saya perlu bantuan suami kerana saya tidak berapa kenal jalan di dalam bandar itu. Saya pergi ke tiga lokasi; Allson Kelana Resort, Pusat Zakat Seremban, dan Royal Adelphi Resort. Pelajar-pelajar itu telah memberi saya peta ke tempat mereka jadi perjalanan saya sangat lancar. Saya berjumpa dengan pelajar-pelajar itu sambil bertanya tentang pengalaman mereka di tempat kerja. Kemudian saya berjumpa pula dengan supervisor mereka masing-masing untuk mengetahui prestasi kerja pelajar-pelajar itu. Kesemua supervisor amat berpuas hati dengan prestasi kerja pelajar-pelajar ini. Mudahlah saya memberi markah kepada mereka nanti.

Saya memang suka berbual dengan pelajar-pelajar saya. Mereka sangat terbuka dan suka berkongsi cerita dengan saya. Kadang-kadang saya menjadi tempat mencurahkan isi hati atau berbual tentang apa-apa saja. Dari cerita akademik sehingga cerita hantu pun ada.

Saya selesai lawatan itu pada jam 12.30 tengahari. Lalu kami terus bertolak balik ke Melaka. Saya sudah tidak mampu pergi shopping atau lain-lain lagi. Saya sudah penat. Sejak dari hari Sabtu 1hb Disember lepas, saya sudah berjalan sebanyak 5 kali. Saya mahu balik berehat.

Sampai di tol Ayer Keroh, Melaka kami beratur untuk membayar. Ditakdirkan pula barisan kami sangat lambat. Di barisan lain yang membayar tunai, sudah tiga buah kereta selesai membayar tapi barisan kami baru selesai sebuah sahaja. Kereta kami yang ke enam masa itu.

“Abang, ini sah budak sleep apnea itu yang bertugas!” kata saya sambil cuba menjenguk ke arah tempat membayar tol.

“Betul ke?”

“Tengok tu! Hendak beri duit baki pun lambat! Mungkin dia tertidur lagi!” Saya sebenarnya sudah tidah tahan untuk ke bilik air. Rupa-rupanya memang sah dia, Si Budak Sleep Apnea.

Kami telah berkenalan dengan lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 25-27 tahun. Dia ada penyakit yang dipanggil ‘sleep apnea’ iaitu masalah pernafasan semasa tidur. Pernafasannya akan terganggu membuatkan dia tidak lena tidur. Jadi pada waktu siang dia akan mengantuk tahan gaban dan mengganggu kerjanya mengutip tol. Dia boleh tertidur di atas mesin register itu sambil mengira wang baki. Menurut maklumat yang saya dapat dari internet penyakit ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan darah tinggi, sakit jantung atau strok.

Bagaimana kami tahu dia ada penyakit itu? Dia sendiri yang bercerita semasa kami membayar tol kepadanya satu ketika dulu. Mana tidak terganggu perjalanan kenderaan, betul tak? Termasuk kali ini sudah tiga kali kami berjumpa dengan dia. Saya pelik kenapa dia dibiarkan berkerja terutama sekali mengutip wang. Kan mudah kalau dia diberi kerja memberi tiket sahaja?

Jadi jika anda dalam perjalanan ke Melaka dan barisan tol anda lambat, berilah sedikit empati. Mungkin juga lelaki itu sedang bekerja. Dia bertubuh gempal, berkulit gelap, sangat ramah, dan bermata bundar (mungkin sebab tidak cukup tidur).

Sebelum beredar suami saya sempat berpesan, "Kerja baik-baik, ya dek. Jangan tertidur pula!” Dia cuma tersenyum menampakkan gigi sahaja.

No comments: