Friday, April 4, 2008

Hidup Birokrasi!

Hari ini saya dan suami pergi menguruskan permohonan mengeluarkan wang KWSP bagi mengurangkan pinjaman perumahan. Ia merupakan satu proses yang sangat menarik. Saya kongsi bersama pengajaran yang saya perolehi daripada aktiviti ini.

Pengajaran:

Pertama: Apabila pegawai bank mengatakan dokumen-dokumen yang anda minta akan siap dalam masa 2 hari, sebenarnya dia maksudkan 2 minggu. Bersedialah untuk dipersalahkan kerana tidak menerima panggilan daripada mereka walaupun anda sudah menelefon mereka sebanyak 2 kali dalam masa 2 minggu.

Kedua: Pastikan borang KWSP anda adalah yang betul kerana pihak KWSP mempunyai beberapa jenis borang bagi beberapa jenis pengeluaran. Maklumat ini anda perolehi secara ‘trial and error’.

Ketiga: Anda tidak akan diberikan nombor giliran selagi dokumen anda tidak lengkap. Pegawai di kaunter nombor giliran akan bertanya anda berkali-kali samada anda mempunyai semua dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan perjanjian, sijil nikah, etc, etc.

Keempat: Maklumat yang diperolehi daripada pegawai di kaunter pertanyaan/nombor giliran tidak semestinya sama dengan maklumat daripada pegawai kaunter pertanyaan/nombor giliran yang lain. Pastikan anda berurusan dengan pegawai yang sama semasa proses ‘gi-mari,gi-mari’ di sini.

Kelima: Maklumat yang diperolehi daripada pegawai di kaunter pertanyaan/nombor giliran tidak semestinya sama dengan maklumat yang diperolehi daripada kaunter sebenar, vice versa. Jawapan kepada masalah ini ialah, ‘Hari sudah petang kut’.

Keenam (yang paling penting): Anda tidak boleh menggunakan pen biru atau apa-apa kaler selain dari warna hitam. Maklumat ini hanya akan dimaklumkan SELEPAS anda siap mengisi dan menandatangani borang persetujuan pengeluaran. ‘Puan, di sini memang menggunakan pen hitam sahaja!’… (‘Dik, ini kali pertama Akak datang dalam masa 5 tahun. Akak bersalah! Akak minta maaf banyak-banyak ya!’).

Masalah komunikasi yang kronik.

No comments: