Monday, May 5, 2008

Hikmah

Saya lambat mengambil anak perempuan saya di sekolah petang tadi. Saya lupa dia ada perjumpaan kelab setiap Isnin.

Saya lewat lebih satu jam setengah. Sampai di sekolah tinggal Oci dan Zeri sahaja. Zeri memang selalu tumpang kereta saya. Rumahnya di taman yang sama. Di tepi jalan dekat pondok jaga seorang kanak-kanak lelaki sedang menangis. Bersamanya seorang budak perempuan, kecil dan comel. Mereka dari sekolah agama yang menumpang sekolah menengah itu pada waktu petang. Mereka sudah menunggu hampir 45 minit.

“Dek, kenapa dia menangis?”

“Ayah dia belum datang lagi!”

Aduh! Saya memang tak tahan melihat anak-anak kecil menangis begitu. Sayu hati saya. Saya suruh budak perempuan itu menelefon ibunya dengan handphone saya. Saya kata saya akan tunggu sampai ayahnya datang.

“Mak! Ayah tak datang ambil kita lagi! ... Ada, ada orang tunggu.”

Sambil duduk menunggu saya berbual-bual kosong dengan mereka, cuba menghiburkan hati. Saya kira kalau ayah mereka tak dapat datang sanggup sahaja saya menghantar mereka balik ke rumah di Kolej Yayasan Saad (yup, I interviewed them. You know me, Makcik Kepoh Si Mesra Alam!).

Mereka berdua baru dalam darjah dua. Kembar kah, tanya saya. Bukan, jawab yang perempuan. Dia mula bercerita … rahsia ya!

“Ayah kita selalu lambat!” Si Mustakim yang menangis tadi mula mengomel. Dia mengesat air hidungnya dengan lengan baju. Luruh lagi hati saya …

“Ayah bukan lupa tu. Mungkin boss dia tak bagi keluar. Tak kanlah dia lupa kan?” Saya menggoreng cerita. Tidak mahu pula ada gambaran di otaknya yang ayahnya sering lupa mengambil mereka. Trauma kang budak-budak ni.

“Ha’ah,” jawab Si Liyana. “Kalau ayah boleh keluar sudah tentu dia dah datang ambil, kan?” Dia bersetuju dengan saya dan cuba memberi penjelasan logikal kelewatan ayahnya. Sangat murni hati kanak-kanak kan? Saya tidak berani membayangkan sekiranya ….

Baru saja saya hendak berpesan, lain kali bawa duit lebih untuk telefon, sebuah kereta datang menjemput. Saya lega. Saya fikir sudah diaturNya saya lambat. Kalau tidak mereka berdua yang keluar kelas satu jam lebih lewat daripada anak saya sudah pasti kering menunggu hampa sehingga maghrib. Subhanallah, Alhamdulillah.

No comments: