Wednesday, March 26, 2008

LEGOLAS



Juwaidi di Kejohanan Memanah Terbuka UUM di Sintok, Kedah 19/3/2008-23/3/2008 mewakili Persatuan Memanah Melaka. Kategori Recurve (ini bermaksud jenis peralatan yang digunakan).

Saturday, March 22, 2008

Abang

Anak pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam Makcik Munah dan Pak Leman kesemuanya perempuan. Semasa anak keempat lahir Makcik Munah sudah tidak tahan lagi. Oleh kerana kepingin sangat kepada anak lelaki diberi pakainya Si Kanchil dengan baju lelaki. Kemana-mana sahaja Si Kanchil memakai seluar pendek dan kemeja lengan pendek. Sehinggakan adiknya Si Tulai, anak Makcik Munah yang keenam menyangka kakaknya itu lelaki. Dia memanggil kakaknya dengan panggilan Abang.

Memang padan dengan panggilan itu. Si Kanchil mempunyai perwatakan seperti lelaki. Kasar dan kuat. Dia pernah bergaduh dengan Si Budi, yang tempang sebelah kakinya sejak lahir, kerana dia mengejek Si Kanchil dengan Si Judin.

Keluarga Si Judin tinggal bersebelahan dengan keluarga Si Kanchil. Si Judin tinggal bersama-sama ayah, datuk, nenek, kakak dan seorang adik lelakinya. Ibunya meninggal dunia semasa melahirkan adik lelakinya. Setiap hari Si Judin akan menunggu Si Kanchil untuk pergi ke sekolah. Mereka berjalan kaki sahaja ke sekolah yang terletak di hujung kampung. Kadang-kadang mereka akan berpimpinan tangan. Sebab itu Si Budi suka mengejek mereka berpacaran.

Hari itu Si Kanchil naik angin lalu menumbuk dan menolak Si Budi ke tanah. Penuh mulut Si Budi dengan pasir. Habis kotor baju kemeja putih dan seluarnya.

“Awas kamu! Lain kali kalau kamu buat lagi saya akan kerjakan kamu cukup-cukup!”

Sejak dari hari itu Si Budi dan juga budak-budak lain tidak berani mengejek mereka lagi.

Tetapi tidak lama kemudian semasa Si Kanchil di dalam darjah enam, satu perubahan telah berlaku. Dia mula memakai pakaian perempuan. Bermula dari situ Si Kanchil membesar menjadi salah seorang anak gadis yang tercantik di kampung. Kulitnya putih melepak, dan rambutnya ikal mayang. Ramai jejaka kampung jatuh hati kepadanya. Tetapi bukan mudah hendak memikat anak Makcik Munah dan Pak Leman ini. Kemana-mana sentiasa ada pengiring. Anak-anak Makcik Munah tidak dibawa bertandang ke majlis khenduri kahwin. Semasa menonton wayang ‘free’ di padang sekolahpun mereka pergi beramai-ramai dengan seisi keluarga. Sangat ketat kawalan mereka adik beradik.

“Siapa tak kenal Kak Hajah ni! Simpan anak di dalam rumah sahaja!” Begitulah kata-kata Imam Hurairah, imam bersara masjid Kampung Petagas yang berasal dari Kedah. Dia kenal sangat dengan keluarga ini. Keluarga imam ini sahaja di antara jiran sekampung yang sering diziarahi oleh Pak Leman dan Makcik Munah.

Yang semakin bingung ialah Si Tulai, adik kepada Si Kanchil. Dia hairan kepada perubahan yang berlaku ke atas ‘abang’nya itu. Dia tidak berani bertanya kepada ibunya takut dimarahi. Dia mengambil jalan mudah dan sehingga kini dia masih memanggil kakaknya dengan panggilan Abang.

Thursday, March 20, 2008

Wednesday, March 19, 2008

Happy Birthday to Me!

Hari ini hari lahir saya yang ke ‘tooooot’… (kalau mahu tahu juga, saya kembar dengan Vanessa Williams yang berlakon watak Wilhelmina di dalam drama bersiri Ugly Betty. Sama tarikh dan tahun. Except that she’s drop dead gorgeous, of course!).

Saya sudah lama tidak menyambut hari lahir saya. Sekadar ucapan dari orang-orang tersayang sudah cukup bagi saya. Saya terima ucapan dari kawan-kawan rapat MRSM, kakak-kakak, anak-anak dan sudah tentu suami. Oh ya, saya terima sekeping kad di dalam bulan Februari lepas dari Jaya Jusco (sila lihat entri 28 Februari). Seharian saya bersama suami, sarapan dan minum petang di luar bersamanya. It doesn’t take much to make me happy.

Walaupun tidak pernah ada parti hari lahir (hmm..sebenarnya ada sekali semasa saya di sekolah rendah. Jamuan dibuat serentak dengan kakak saya yang menyambut hari lahir di dalam bulan yang sama), saya pernah juga menerima hadiah. Saya masih ingat rakan-rakan sebilik (Shida, Ain, Thu) semasa Tingkatan 5 meraikan hari lahir saya dengan memberikan hadiah dart board yang menggunakan bola ber-velcro. Rakan saya, Noy, pula membawa saya ke bandar, kononnya meminta tolong saya memilih hadiah buat adik angkatnya. Saya betul-betul ‘blur’ pada masa itu dan tidak menyangka apa-apapun. Sehinggakan saya sendiri membalut hadiah yang sebenarnya untuk saya! Kakak-kakak saya pula pernah mengepos hadiah ‘underwear’ sebanyak 7 helai dan menulis hari-hari dalam seminggu di atas setiap satu. Adoy!

Saya kira bukan hadiah yang penting. Sekadar diingati dan dihargai walau dengan apa cara sekalipun.
Ya Allah, Engkau berkatilah umurku, Engkau berilah kepadaku fikiran yang cergas, tubuh badan yang sihat supaya aku dapat melakukan kerja dan mencari rezeki buat keluargaku. Engkau peliharalah diriku, suamiku, anak-anakku, ayahku, ibuku, kakak-kakak dan adikku serta ahli keluarga mereka. Ampunilah dosa-dosa kami yang lepas dan yang akan datang. Hanya kepada Engkau kami berserah Ya Allah.

Tuesday, March 4, 2008

MS Book Pick of the Month: A Long Way Gone

A Long Way Gone:Memoirs of A Boy Soldier, Ishmael Beah, Harper Perennial, RM 36.90

Macam Oprahlah pulak…

Bulan ini buku pilihan saya berjudul “A Long Way Gone” yang menceritakan kisah benar penulis semasa dia berusia 12 tahun yang dipaksa menjadi askar dalam peperangan bersaudara di Sierra Leone sekitar awal 1990an dahulu. Dia dan rakan-rakannya terpisah dari ibubapa dan keluarga mereka apabila kampung mereka diserang oleh kumpulan pemberontak RUF yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat negara itu. Dia kemudiannya ditangkap oleh askar kerajaan dan dijadikan salah seorang daripada mereka.

Walaupun penulis menjadi askar bagi pihak kerajaan, aktiviti mereka sama sahaja seperti pemberontak-pemberontak RUF, iaitu merompak dan membunuh dengan kejam. Kisah yang sangat menyayat hati namun tidak dapat diterima oleh akal. Bagaimana satu negara boleh menjadi huru-hara dan hilang pertimbangan kemanusiaan.

Cerita “Blood Diamond” (Leonardo DiCaprio) di Astro bulan ini juga menceritakan kisah yang serupa. RUF membunuh dengan kejam sesiapa sahaja yang mereka temui di dalam kampung itu, merogol anak-anak gadis dan memotong anggota badan kaum lelaki yang dirasakan menjadi ancaman kepada mereka. Kumpulan pemberontak ini juga mengambil budak-budak lelaki menjadi askar mereka dan mengajar anak-anak ini membenci keluarga mereka. Dikisahkan pemberontakan yang berlaku ada kaitan dengan lombong berlian yang ada di negara itu. Kebetulan juga di dalam bulan ini (atau memang Astro bijak mengatur rancangan Tvnya) History Channel Astro menayangkan dokumentari tentang peperangan di Sierra Leone ini berjudul “Blood Diamonds”.

Buku ini menjadi pengajaran kepada kita bahawa apabila sesebuah negara menjadi terlalu miskin dan merempat, dan kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa, kemungkinan besar pemberontakan akan berlaku dan pada masa itu manusia tidak akan dapat menilai mana yang buruk dan mana yang baik.

Seperti kata Leonardo DiCaprio di dalam wataknya di dalam cerita itu, “ God left this country long ago…


p/s: Baru sebentar tadi saya menonton cerita “Innocent Voices” di Astro mengenai peperangan di El Salvador sekitar 1980an dan pengambilan budak-budak lelaki sebagai askar sebaik sahaja mereka berumur 12 tahun. Satu lagi contoh keganasan terhadap kanak-kanak.