Saturday, June 7, 2008

Mulutku Masin


Sebulan lepas saya memberitahu Z, “Kalaulah saya larat melakukan semua kerja rumah, sudah saya berhentikan pembantu saya itu. Apakan daya, saya tidak mampu. Jadi saya redha dan bersabar sajalah.”

P’ting! (dengan izin, pinjam ekspresi Oci dan kawan-kawan sekolahnya)

Mulutku masin.

Hari ini sudah masuk 6 hari pembantu saya menghilang diri, tiada berita, tidak dapat dihubungi. Hari Sabtu lepas dia bercuti. Dia mahu mencari anaknya di Pulau Pinang, katanya. Hari Isnin dia akan kembali, katanya. Ton, ini sudah hari Sabtu satu lagi, Ton!

Sudah tentu saya kesusahan. Tetapi dalam fikiran saya ada dua perkara, sebenarnya. Pertama, memang dia nekad cabut lari. Kalau begitu saya doakan dia mendapat majikan yang lebih baik daripada saya. Tetapi, ada satu kemungkinan lagi, iaitu dia di dalam kesusahan. Mana tahu ditipu orang kek, dan/atau diculik kek. Nauzubillah. Saya berdoa supaya Allah melindunginya.

Tindakan susulan memang akan diambil tapi tak perlulah saya ceritakan di sini.

Bagaimana dengan kami?

Saya teringat entri di dalam blog Tuan Sabtu, Jumaat June 6, 2008:

Mari kita renungkan maksud ayat 131 Surah Al-A'raaf:

Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata:"Ini adalah kerana (usaha) kami". Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan sebab 'kesialan' itu kepada Musa dan orang-orang yang beserta dengannya. Ketahuilah, sesungguhnya kesialan mereka itu adalah ketetapan dari Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."

Ayat sebelum itu (ayat 130) telah menceritakan betapa Fir'aun dan kaumnya telah dihukum dengan kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pelajaran... semacam era kekurangan makanan global sekarang ini?



Salah satu dari nama-nama Allah (AsmaulHusna) adalah Al-Qabidh, iaitu Yang Maha Menyempitkan. Itu adalah hak mutlak Allah... untuk menahan atau menghalang atau menyempitkan rezeki seseorang!

Perlu kita imani bahawa dalam setiap kesempitan yang diturunkan, hakikatnya ia pasti mengandungi kebaikan kepada manusia. Apabila Allah menghukum, itu pertanda amanah telah disalahgunakan! Hukuman itu untuk dijadikan pengajaran dan iktibar.

Dalam sejarah tamadun manusia telah banyak ditunjukkan kemusnahan sesuatu tempat atau aibnya bangsa itu kerana kezaliman pemimpinnya... terbaharu di Myanmar dan China, yang pernah dibawakan sebelum ini.

Justeru itu, Al-Qabidh adalah sumber orang yang beriman meningkatkan sifat redanya kepada Allah. Sifat yang menjadikan supaya manusia tidak mudah berputus harap kepada Penciptanya. Akan lebih yakin kepada dirinya, lantas memiliki harga diri dan berdikari.

Jadikanlah Al-Qabidh sebagai zikir harian... ketika dilanda kesempitan, InsyaAllah ada jalan keluarnya.

>>


Life goes on.

Strategi sedang disusun. Pemegang portfolio dilantik; tukang masak, tukang basuh baju, tukang cuci pinggan, tukang sapu, tukang kebun, dsb. Setelah meminta khidmat nasihat rakan saya yang tidak ada pembantu, jadual akan dibuat segera.

JJ, anak bongsu berumur 10 tahun ditugaskan mengawasi pembaziran elektrik. Pagi tadi balik dari KLIA menghantar emak balik ke Kota Kinabalu, dia merungut, “Ini yang buat JJ marah ni!” Rupa-rupanya kakak-kakaknya yang ditinggalkan di rumah awal pagi tadi lupa mematikan lampu porch apabila kami tiba lebih kurang jam 10 pagi tadi. Ada harapan!

Sekiranya rakan-rakan pembaca ada tip-tip mengurus rumahtangga tanpa pembantu (tajuk buku akan datang kah?) silalah kongsi bersama dengan saya, ya!

No comments: