Kami tiba di Madinah daripada Makkah sudah hampir masuk waktu Maghrib. Jadi kami mengambil keputusan untuk solat Maghrib di dalam bilik hotel sahaja. Dan oleh kerana baru pertama kali ke Masjid Nabawai untuk bersolat, kami sampai sudah agak lewat untuk solat Isya.
Agaknya apabila melihat wajah saya yang seperti minta dikasihani itu polis wanita berunifrom hitam terus membenarkan saya masuk menyelinap di antara saf-saf yg sudah penuh untuk mencari tempat kosong. Semakin jauh saya masuk ke dalam tapi tidak juga ada tempat kosong. Kemudian saya melihat seorang wanita Turki yang duduk di atas kerusi memberi isyarat kepada saya bahawa ada satu ruang kosong di tepi dinding yang memisahkan kawasan perempuan dan kawasan lelaki. Alhamdulillah.
Usai solat semasa mahu keluar saya terus tercari-cari, 'Di mana dia, wanita Melayu berabaya hitam yang duduk berdekatan tong-tong air zam-zam itu?'
Keesokan hari semasa solat subuh saya datang agak lambat juga dan saf-saf hadapan sudah penuh. Saya memilih tempat betul-betul di hadapan tong air zam-zam. Suhu di luar sudah semakin sejuk dan tempat saya itu pula tidak bercarpet. Sejuk sampai ke tulang. Semasa masuk ke dalam masjid tadi saya terfikir lagi, "Di mana dia?". Sambil duduk berzikir tiba-tiba saya perasan kelibat seorang wanita yang seperti saya kenal, berjalan cepat-cepat mencari ruang kosong. Bersamanya seorang budak perempuan yang comel bertelekung putih. Subhanallah. Allah menjawab doa saya. Itupun dia Puan Roza dan Sofea.
Mereka duduk lebihkurang tiga saf di hadapan saya. Dengan hati yang gembira saya memerhatikan sahaja mereka berdua. Selesai solat sunat jenazah saya cepat-cepat bergerak mendapatkan mereka. Tetapi oleh kerana terlalu ramai jemaah yang hendak keluar serentak, dalam kesesakan itu mereka sudah tidak kelihatan sejurus sahaja saya dapat keluar daripada masjid. Saya terkilan kerana ada memberitahu Puan Roza melalui blognya yang saya akan cuba mencari mereka apabila saya sampai di Madinah nanti. Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana niat saya sedikit sebanyak tercapai juga.
Tetapi Allah juga perancang yang paling baik. Sehari selepas itu semasa balik daripada masjid suami saya berkata, “Cuba teka siapa abang jumpa di dalam masjid tadi?”
Prof Kamil. Dan tidak lama selepas itu dia mendapat sms daripada Prof Kamil.
“Malam Selasa ada free? Jemput makan malam di rumah saya. Jumpa selepas Isya di luar toilet 11A.”
Subhanallah. Siapa sangka saya dan suami dapat bertemu dengan keluarga yang sungguh istimewa, mendengar tazkirah yang merubah kehudupan, menjamu selera dengan nasi arab, teh nak-nak dan chocolate cheesecake di sebuah rumah kecil di Jabal Uhud.
Pn Roza dan Prof Muhd Kamil |
2 comments:
saya pun tidak perasan blog ini 'bernafas' kembali :)
terima kasih Cikgu !
Salam, Fendy. Kali ni versi hijrah pula...terima kasih kerana membaca..:)
Post a Comment