Saturday, December 29, 2007

PLKN Here We Come!

Di tempat letak kereta MITC, Ayer Keroh, Melaka

Hari ini ialah hari pendaftaran masuk Kumpulan Pertama PLKN Sessi 2008. Maka ramailah ibubapa dan peserta berkumpul di tempat pengangkutan yang telah dikenalpasti. Di Bandar Melaka, tempat berkumpul ialah di tempat letak kereta MITC Ayer Keroh.

Saya dan anak lelaki saya, Juwaidi, bertolak jam 8 pagi dari rumah (mugo rumoh dekat kei). Dia memang dipanggil untuk menyertai PLKN kali ini tapi oleh kerana dia ialah atlit Negeri Melaka dalam sukan memanah, Majlis Sukan Negeri Melaka telah mengeluarkan surat menyokong penangguhannya. Wah! Bukan main suka lagi dia. Siap dia suruh kami membaca surat sokongan itu kuat-kuat terutama bahagian “atlit harapan, yada yada yada, menyumbang pingat di Sukan Sukma XII Terengganu, yada yada yada..”. Isy! Orang muda, kuat perasan.

Sampai di pick-up point MITC, kami tunjukkan salinan surat kepada Komandan Kem Asahan dan surat sokongan MSN kepada pegawai bertugas. Pegawai Kem Lagenda Asahan yang menyuruh saya berbuat demikian semasa saya menelefon semalam. Pegawai di pickup point itu pula enggan menerimanya, sebaliknya menyuruh kami menghantar sendiri surat tersebut ke Kem Lagenda Asahan.

“Isy! Banyak kerja pula kena ke Kem Asahan! Ingatkan senang saja!” Juwaidi mengomel.

“Peraturan Gomen, Bang! Tak payahlah dibantah-bantah. Mujur kem bukan di Perlis!” Saya sebenarnya tidak kisah sangat kerana saya suka ke kawasan Asahan itu. Stress reliever!

Saya masih ingat pesan Sifu saya tentang cara berurusan dengan Gomen. Ikut sahaja rentak mereka untuk mendapatkan sesuatu (selagi bukan rasuah, ya).

Sampai di sana, Pegawai-pegawai PLKN sudah siap sedia di dewan terbuka menunggu para peserta. Belum ada peserta yang sampai dan urusan kami selesai dalam masa kurang 5 minit. Setelah menerima penjelasan serba sedikit dari kami, mereka cuma mengambil salinan surat-surat itu, cop terima dan kami sudah boleh pulang.

“Sekejapnya!” Juwaidi yang dari tadi agaknya cuak juga takut penangguhan tidak diterima sudah tersenyum lebar.

Begitulah. “Expect the unexpected” bila berurusan dengan yang berkuasa.

Tadi semasa di MITC kami terjumpa dengan Hazira, kawan Juwaidi semasa di sekolah rendah. Ibunya kebetulan juga kawan saya di tempat kerja. Bila dia dapat tahu Juwaidi terlepas, dia hantar SMS. “Ko xaci.”

Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Jasin, Melaka.

Gambar kenang-kenangan peserta PLKN 'terlepas'

No comments: