Melakukan perubahan diri bukanlah perkara mudah. Kita selalu memikirkan apa orang lain akan kata. Dan kita biasanya mengambil masa yang lama untuk melakukannya kerana memikirkan implikasi yang bakal dialami.
Sekiranya aku mula memakai pakaian lebih sopan eg baju kurung, jubah, nanti orang akan kata aku kampungan. Sekiranya aku bertudung, bagaimana hendak menjalankan tugas di pejabat? Bagaimana sekiranya orang sekeliling tidak boleh menerima penampilan baru aku ini?
Sudah beberapa tahap perubahan yang saya lalui. Seingat saya semasa saya masih di universiti, saya mahu mengubah penampilan agar lebih fashionable kononnya. Maka saya membeli pakaian yang saya kira moden, yang mengikut fesyen pada masa itu. Apabila ‘wardrobe’ saya sudah lengkap, saya pergi ke saloon dan memotong rambut saya yang panjang melepasi bahu ke paras ‘collar’. Dengan penampilan yang lebih fit kerana sudah memasuki kelas weight training saya kira saya memang kelihatan stylish. Subhanallah. Itulah perubahan di zaman jahiliyyah saya.
Kemudian sesudah saya bekerja, saya melakukan satu perubahan yang lain pula. Kali ini saya ingin memakai tudung. Pada masa itu saya membuat keputusan untuk menutup senarai calon suami dan mengambil keputusan bahawa jejaka M adalah pilihan saya. Walaupun dia belum lagi melamar saya, saya kira saya sudah bersedia untuk menjadi isteri orang nya.
Maka sebulan sebelum saya memakai tudung saya sudah mula memakai baju kurung. Saya tidak mahu nanti ada yang pengsan tak bangun-bangun sekiranya mereka melihat perubahan saya yang mendadak. Ini ialah kerana saya ke pejabat memakai skirt dan blouse, dan kadang-kadang memakai suit berskirt. Bila tiba masanya, pada satu pagi semasa bersedia ke pejabat saya meminta tolong kakak saya untuk mengenakan tudung. Tanpa amaran kepada sesiapa. Bapa dan emak terkejut melihat perubahan itu. Bapa, yang kerja di syarikat yang sama dengan saya, tersenyum simpul apabila saya masuk ke dalam kereta dengan memakai tudung menutup kepala.
Sampai di pejabat memang ramai yang terkejut dan ada juga yang bertanya, ‘Ini sementara sajakan? Ini main-main sajakan?’ Mereka bagaikan tidak percaya. Di pejabat saya pada masa itu, memang tidak ramai yang bertudung. Jadi perubahan seperti itu dikira satu berita gempar.
Bagi kedua-dua perubahan itu, saya lakukan untuk diri saya dan bukan untuk orang lain. Yang pertama itu kerana saya memang mahu kelihatan moden. Dan saya memakai tudung kerana saya kira sudah sampai masanya saya menampilkan imej yang sesuai bagi seorang wanita yang sudah bersedia untuk berumah-tangga. Walaupun sebelum ini emak selalu menyuruh saya memakai tudung jika berjalan-jalan ke bandar, tapi saya selalu berkata ‘Nanti je lah mak.’ Bakal tunang saya pada masa itu pun tidak pernah menyuruh atau memaksa saya memakai tudung.
Baru-baru ini setelah kembali dari mengerjakan haji saya mengambil keputusan untuk memakai abaya hitam apabila keluar rumah, sekali dengan memakai sarung kaki. Jauh disudut hati saya masih juga memikirkan apa reaksi orang lain dengan penampilan ini tetapi kali ini saya tidak terlalu risau. Ini ialah kerana perubahan ini dilakukan dengan sebab yang lebih kukuh. Saya lakukannya semata-mata kerana mencari keredhaan Allah swt.
1 comment:
alhamdulillah kak....muga jun diberi hidayahNya juga supaya dpt membetulkan diri selayaknya seperti seorang muslimah sejati
Post a Comment