Hujung minggu itu Si Kanchil dan Si Tulai tinggal sendirian lagi. Kak Raina, kakak saudara mereka sudah tiba dari kampung sejak dari hari Khamis lagi untuk menemani mereka. Kali ini Pakcik Leman dan Makcik Munah akan ke Kota Belud berniaga kain baju di Tamu Besar.
Setiap tahun sekitar bulan November ‘tamu’ atau pasar minggu akan di adakan secara besar-besaran, dengan berbagai-bagai persembahan kebudayaan oleh kaum Bajau, Iranun dan kaum etnik yang lain di kawasan itu. Pengunjung datang dari serata pelusuk negeri untuk melihat persembahan kuda Bajau dan membeli belah.
“Mak, nanti kasi beli orang apa-apa, ya!” pesan Si Tulai sambil memeluk tiang rumah. Ibubapanya sibuk menyimpan barang ke dalam kereta. ‘Apa-apa’ bermaksud makanan atau permainan. Paling disukai Si Tulai ialah gulali, gula kapas berwarna warni yang mengandungi zero-khasiat itu.
Setelah siap menyusun barang, mereka pun bertolak. Perjalanan menyusuri lereng-lereng bukit ke Kota Belud memang menyiksakan, apatah lagi bagi anak-anak kecil. Silap-silap boleh muntah hijau dibuatnya. Pendingin udara masih lagi dikhaskan kepada pejabat-pejabat menteri sahaja pada masa itu. Oleh sebab itu Makcik Munah tak sampai hati membawa anak-anaknya bersama.
“Lai, siapa dulu?”
“Abanglah!”
Kedua-dua mereka sudah bersedia dengan ‘cape’ kain batik yang diikat di leher. Macam superman. Di tangan masing-masing ada kotak kertas tigasegi berisi susu manis cap Teko.
Si Kanchil berdiri di hujung beranda dapur, sedia untuk melompat ke bawah. Lebih kurang 4 kaki dari tanah tingginya.
“T-Pee, tolong kami!” Si Tulai menjerit dengan suara kecil.
“Ya, T-Pee datang!” Si Kanchil memicit kotak kertas sambil menyedut susu manis di dalamnya. Dia melompat ke tanah, terbang dengan “cape” kain batiknya itu. Hari itu mereka mendapat kuasa ajaib, jadi kuat dan boleh terbang kerana memakan susu manis cap Teko. Bergilir-gilir mereka menjerit dan melompat sambil mengisi perut mereka dengan susu.
Ini semua gara-gara pengaruh komersial susu manis cap teko di radio, yang di buat di dalam bentuk drama pendek. T-Pee menjadi kuat selepas meminum susu dan dapat membantu orang di dalam kesusahan dan melawan ahli sihir perempuan yang menakutkan.
Memang dari dulu lagi kanak-kanaklah yang menjadi mangsa pengaruh iklan. Yang budak-budak berdua ini kurang faham ialah apabila meminum susu ia perlu dibancuh dengan air terlebih dahulu!