Sunday, August 10, 2008

Cinta Pahlawan (Khalid Salleh)


perkasa membekas di telapak kakinya
ranum perjalanan menggelongsorkan masa lampau
hayat perjuangan menuturkan ranjau cinta
pada tanah pusaka tinggalan moyangnya
sejarahnya bermula di sini
rumpun Melayu dan gugusan kepulauan rantaunya
adalah tanah kedaulatan yang dijadikan rupa bangsa
negara dan bahasa Melayunya
kerana itulah makna kewujudan
peradaban dan kebenaran
sebuah kerajaan bernama Melayu
kelangsungannya melakar berbagai warna
Pertugis, Belanda dan Inggeris
meruntuhkan berbagai petaka bermula di Melaka
berikutnya mengusulkan luka berpanjangan
menyilang kenakalan di halaman kesejahteraan
dadah, perebutan kuasa, mencampuri kuasa raja-raja Melayu
melimpahkan pendatang yang tidak menghormati peradaban
adalah ranjau yang sedang menganak sungai di mana mana
cinta pahlawan mesti dilaksanakan
dengan makna berbangsa bernegara dan beragama
tanah warisan moyang ini adalah pusaka bertuah
di dalamnya mengandungi resah yang mesti dipadamkan
rumah dan sawah ladang kami jangan dibiarkan
sekam dijamah api boleh membakar hanguskan
sebuah ketamadunan
di sinilah akar kedaulatan yang mesti dipertahankan
diperjuangkan secara bijaksana
ikhlas bermaruah

Me And My Big Mouth

Sebab itulah saya tak mahu menghadiri mesyuarat PIBG. I opened my big mouth and BHAM! Suddenly I am AJK. Perkara yang sama berlaku semasa anak-anak saya Juwaidi, Mick dan Ochi berada di sekolah rendah. Pantanglah saya membuka mulut dan mengusul atau bertanyakan sesuatu. Alamat AJKlah saya.

Tahun ini saya hadir kerana anak saya Syahida akan menerima anugerah kedatangan cemerlang. Anak ini memang suka ke sekolah. Tidak pernah ponteng 2 tahun berturut-turut. Tahun ini sekolah pula memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai kehadiran 100%.

Tambahan pula Syahida akan membaca sajak. Wow! Skill juga anak saya yang seorang ini. Menitis airmata saya menghayati sajak mereka. Selepas majlis anugerah saya cuba-cuba hendak melepaskan diri dari mesyuarat PIBG. Anak saya yang seorang lagi akan balik dari sekolah (kelas ganti) dan tiada orang di rumah untuk menunggunya pulang.

Sampai masa mengemukakan usul tuba-tiba saya teringat Mustakim dan Liyana, anak-anak kecil yang lambat dijemput dari sekolah agama (lihat entri Hikmah, May 5 2008). Saya mengangkat tangan lalu berdiri bercakap tentang keselamatan anak-anak sekolah agama walaupun hanya menumpang. Saya kira biasa saja cara saya bercakap itu.

Saya tidak berapa memberikan perhatian penuh selepas itu kerana sibuk mencari masa sesuai untuk escape. Saya dengar:

“Saya cadangkan AJK lama dikekalkan.”

“Kita perlu memilih 3 orang pengganti kepada AJK yang sudah tidak aktif kerana anak-anak mereka sudah tidak bersekolah di sini.”

“Saya cadangkan Puan ---.“ Eh, terpinga-pinga saya. Kenapa dia cadangkan saya? Apa sudah saya buat? To cut the story short. Saya menjadi AJK PIBG 2008/2009 Sekolah Menengah Ayer Keroh. Go figure.

Training


Bulan June dan Julai lepas saya berkesempatan menjalankan training untuk sebuah agensi kerajaan. Topik training ialah Menguruskan Hutang dan Tunggakan. Pengalaman saya sebagai bekas Pengurus Kewangan sebuah syarikat swasta memberikan saya sedikit pengalaman untuk menjalankan training tersebut.

Beberapa tip training yang saya boleh kongsi melalui pengalaman training tersebut :

1. Kenalpasti lebih awal (melalui pegawai yang menuruskan latihan) mengenai apa yang sebenarnya mereka perlukan dan ingin perolehi daripada training tersebut. Walaubagaimanapun, pegawai latihan mungkin tidak dapat memberikan maklumat lengkap. Anda juga perlu mendapatkan maklumbalas awal daripada peserta tentang ‘expectation’ mereka daripada training tersebut.

2. Ada peserta inginkan ‘quick fix’ atau ‘panadol’ bagi masalah yang mereka hadapi melalui sessi training. ‘Quick fix’ hanya memberi kelegaan sementara kepada simtom masalah yang mungkin lebih serius.

3. Peserta kadang-kadang terlalu fokus kepada perkara-perkara yang di luar kawalan mereka dan ini sangat mengecewakan mereka. Bawa peserta kembali kepada perkara-perkara yang di dalam kawalan mereka yang besar kemungkinan dapat mereka selesaikan.





Assalammualaikum


Sudah lebih sebulan saya tidak mengisi blog ini. Rasa macam tidak cukup masa untuk duduk dan menulis. Saya minta maaf kepada pembaca-pembaca yang datang tetapi balik dengan tangan kosong sahaja. Dalam masa sebulan ini sebenarnya banyak perkara yang telah berlaku. Nanti saya ceritakan. Biar saya mulakan dengan yang paling sensasi. Saya balik kampung selama 4 hari!

Sabtu lepas 2/8/2008 saya bertolak ke Kota Kinabalu seorang diri. Lebih kurang 2 minggu lepas saya diberitahu yang ibu saya kurang sihat. Dadanya sakit. Saya mahu bersamanya walaupun dia sebenarnya baru balik dari Melaka dua bulan lepas. Lagipun keluarga saya akan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat sempena menyambut Ramadan. Ini salah satu ‘event’ tahunan yang mesti buat keluarga saya. Ramai sanak saudara dijemput, juga jiran-jiran di kampung. Saya teruja untuk pulang dan bertemu dengan mereka semua.

Setiba di lapangan terbang, saya dijemput oleh kakak sulong. Saya ada satu permintaan. Kak, boleh bawa saya ke sekolah rendah saya dahulu? Saya rindu hendak melihat sekolah lama saya itu. Jangan terkejut ya. Saya dulu bersekolah di sekolah mission, yang mempunyai seorang rahib perempuan sebagai guru besar. Tiba di sekolah itu saya mencari jaga dan memberi salam . Kakak saya hanya tersenyum-senyum. Jaga tidak kelihatan dan saya sesuka hati masuk dalam kawasan lalu mengambil gambar. Sekolah itu masih seperti dulu tapi sudah di cat warna merah. Ada dua tiga bangunan baru di beberapa tempat tapi struktur lama masih kekal.

Sekolah Rendah Stella Maris Tanjung Aru Kota Kinabalu.


Apabila tiba di rumah, kakak saya yang seorang lagi sudah mula menyediakan bahan-bahan masakan buat majlis esok hari. Dia sudah dinobatkan sebagai chief cook dalam setiap majlis yang kami adakan.

“Berapa jenis kali ni?”

“Dua belas.” Jangan terkejut. Ini normal.


Setelah melepaskan penat sebentar saya pun memulakan tugas sebagai pembantu tukang masak. Biasanya tugas-tugas ringan diberikan kepada saya seperti memotong bawang, membungkus kuih, merasa kuih, dan sebagainya. Ibu saya yang tidak pandai duduk diam itu pun sibuk menyediakan jeli kepala, kuih angin dan kuih kelupis. Riuh rendah dapur dengan gelak ketawa dan gurau senda kami. Esok pasti lebih riuh apabila lebih ramai datang.

Wajid, Kelupis, Kuih Angin, Baulu Gulung

Saya dapat berjumpa dengan adik-beradik, anak-anak saudara, ibu saudara, jiran-jiran yang masih ingat pada saya. Saya terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahi pusara ayah dan nenek kerana ‘keadaan’ yang tidak mengizinkan. InsyaAllah saya akan kembali.

Dendeng, specialty Chief Cook Rumah Saya

Saturday, June 28, 2008

Multi-Tasking

Tu dia! Dekat sebulan blog ini tidak berasap. Maklumlah, tuannya amat gawat sekali setelah tiba-tiba pembantu Indon melarikan diri entah ke mana. Ditambah pula dengan semester yang baru bermula, anak-anak bersekolah, urusan rumahtangga dan lain-lain lagi.

Sarapan pagi, hidangan tengahari, kelas, kerja pejabat yang lain, menyelia projek penyelidikan, menjadi penasihat pelajar-pelajar yang sentiasa mempunyai masalah serius, hidangan malam (recycle pagi), laundry, sampah, sapu dan mop lantai, melipat pakaian, dll, dll, dll. Owh, PhD? Apa tu?

Memang penat, semput dan stress. Tetapi ada ‘upside’nya juga. Anak-anak saya sudah pandai menggosok baju sekolah sendiri, membasuh kasut, melipat baju, dan kadang-kadang masak. Dan rupa-rupanya bakat terpendam Tuan M dalam bidang masakan dan kerja rumah amat terserlah. Mujur ada dia membantu saya. Kalau tidak sudah pasti saya patah dua(belas).

Oh ya, saya pula sudah turun 2.5 kilo dalam masa 2 minggu! Hebat!

Sahabat saya pula datang berjumpa.

“Jadual umrah saya di bawa ke hadapan. Saya pula sudah ‘commit’ mengadakan training dengan PKNS. Boleh tolong gantikan tempat saya?”

Saya pula ada satu perangai pelik, yang kadangkala mengundang masalah kepada diri saya sendiri. Dalam hal-hal training ini walaupun saya ada beberapa masalah logistic dan jadual, saya selalu akan sanggup sahaja melakukannya. Saya tidak mahu tertanya-tanya pada diri sendiri, “I wish I have done that” atau “Apa akan berlaku sekiranya saya setuju melakukannya?”. Dalam hal ini, memang sah saya sedikit menyesal tapi oleh kerana sudah bersetuju, saya harus terus melakukannya.

Alhamdulillah, penyediaan bahan sudah selesai. Kalau tidak mana mungkin saya bisa bersantai menulis blog ini sambil minum milo ais tabur.

Doakan saya berjaya melakukan semua tugas-tugas saya ini!

Sunday, June 8, 2008

Sukma 2008 Kuala Terengganu

Latihan Pra-Sukma

Latihan Pra-Sukma


Pasukan Compound Lelaki Melaka -- dari kiri, M Fadlullah (Mamat), Juwaidi, Izzudin, Sham.

Juwaidi -- Pingat Perak 90meter Compound Lelaki

(Juga memenangi pingat Gangsa bagi acara 70m Compound Lelaki)


Pasukan Compound Lelaki Melaka -- Pingat Gangsa Olimpic Round Berpasukan

Saturday, June 7, 2008

Mulutku Masin


Sebulan lepas saya memberitahu Z, “Kalaulah saya larat melakukan semua kerja rumah, sudah saya berhentikan pembantu saya itu. Apakan daya, saya tidak mampu. Jadi saya redha dan bersabar sajalah.”

P’ting! (dengan izin, pinjam ekspresi Oci dan kawan-kawan sekolahnya)

Mulutku masin.

Hari ini sudah masuk 6 hari pembantu saya menghilang diri, tiada berita, tidak dapat dihubungi. Hari Sabtu lepas dia bercuti. Dia mahu mencari anaknya di Pulau Pinang, katanya. Hari Isnin dia akan kembali, katanya. Ton, ini sudah hari Sabtu satu lagi, Ton!

Sudah tentu saya kesusahan. Tetapi dalam fikiran saya ada dua perkara, sebenarnya. Pertama, memang dia nekad cabut lari. Kalau begitu saya doakan dia mendapat majikan yang lebih baik daripada saya. Tetapi, ada satu kemungkinan lagi, iaitu dia di dalam kesusahan. Mana tahu ditipu orang kek, dan/atau diculik kek. Nauzubillah. Saya berdoa supaya Allah melindunginya.

Tindakan susulan memang akan diambil tapi tak perlulah saya ceritakan di sini.

Bagaimana dengan kami?

Saya teringat entri di dalam blog Tuan Sabtu, Jumaat June 6, 2008:

Mari kita renungkan maksud ayat 131 Surah Al-A'raaf:

Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata:"Ini adalah kerana (usaha) kami". Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan sebab 'kesialan' itu kepada Musa dan orang-orang yang beserta dengannya. Ketahuilah, sesungguhnya kesialan mereka itu adalah ketetapan dari Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."

Ayat sebelum itu (ayat 130) telah menceritakan betapa Fir'aun dan kaumnya telah dihukum dengan kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pelajaran... semacam era kekurangan makanan global sekarang ini?



Salah satu dari nama-nama Allah (AsmaulHusna) adalah Al-Qabidh, iaitu Yang Maha Menyempitkan. Itu adalah hak mutlak Allah... untuk menahan atau menghalang atau menyempitkan rezeki seseorang!

Perlu kita imani bahawa dalam setiap kesempitan yang diturunkan, hakikatnya ia pasti mengandungi kebaikan kepada manusia. Apabila Allah menghukum, itu pertanda amanah telah disalahgunakan! Hukuman itu untuk dijadikan pengajaran dan iktibar.

Dalam sejarah tamadun manusia telah banyak ditunjukkan kemusnahan sesuatu tempat atau aibnya bangsa itu kerana kezaliman pemimpinnya... terbaharu di Myanmar dan China, yang pernah dibawakan sebelum ini.

Justeru itu, Al-Qabidh adalah sumber orang yang beriman meningkatkan sifat redanya kepada Allah. Sifat yang menjadikan supaya manusia tidak mudah berputus harap kepada Penciptanya. Akan lebih yakin kepada dirinya, lantas memiliki harga diri dan berdikari.

Jadikanlah Al-Qabidh sebagai zikir harian... ketika dilanda kesempitan, InsyaAllah ada jalan keluarnya.

>>


Life goes on.

Strategi sedang disusun. Pemegang portfolio dilantik; tukang masak, tukang basuh baju, tukang cuci pinggan, tukang sapu, tukang kebun, dsb. Setelah meminta khidmat nasihat rakan saya yang tidak ada pembantu, jadual akan dibuat segera.

JJ, anak bongsu berumur 10 tahun ditugaskan mengawasi pembaziran elektrik. Pagi tadi balik dari KLIA menghantar emak balik ke Kota Kinabalu, dia merungut, “Ini yang buat JJ marah ni!” Rupa-rupanya kakak-kakaknya yang ditinggalkan di rumah awal pagi tadi lupa mematikan lampu porch apabila kami tiba lebih kurang jam 10 pagi tadi. Ada harapan!

Sekiranya rakan-rakan pembaca ada tip-tip mengurus rumahtangga tanpa pembantu (tajuk buku akan datang kah?) silalah kongsi bersama dengan saya, ya!

Wednesday, June 4, 2008

Minyak Naik = Naik Minyak


Wednesday June 4, 2008 MYT 7:01:41 PM

Petrol to cost RM2.70 from midnight (updated)
KUALA LUMPUR: Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi on Wednesday announced price hikes for petrol, diesel and electricity. He said the new price for petrol is RM2.70 a litre, effective midnight tonight. The price goes up by 78sen from the current RM1.92, a hike of 40%. Abdullah also announced that the price of diesel would be increased by RM1 from RM1.58 to RM2.58. He also said that Tenaga Nasional Bhd would be raising electricity rates by 18% for homes and 26% for business users. The announcements are part of the new fuel subsidy plan.

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/6/4/nation/20080604175025&sec=nation

Lebih kurang jam 6.15 petang tadi saya di dalam perjalanan pulang dari Bandar Hilir bersama emak saya. Kami ke sana membeli barang-barang ‘sampangan’ atau buah-tangan untuk keluarga di Sabah. Tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada suami saya (dengan izin ya, bercakap di telefon bimbit sambil memandu. Ngeh.)

“Tolong isi minyak kereta, ya. Harga petrol akan naik ni.”

Semasa lalu di stesen petrol di Bukit Baru, barisan kereta sudah panjang, melempah ke jalan raya. Di stesen Petronas dan Shell berdekatan Jusco, malah Esso di kawasan Hospital Pantai yang biasanya lengang pun sudah banyak kereta yang beratur. Suami berpesan beli minyak di Shell Ayer Keroh berdepan dengan kilang Mamee kerana di situ kawasannya luas. Alhamdulillah, saya dapat mengisi minyak dan mujur ada membawa wang tunai yang mencukupi. Sistem pembayaran dengan kad kredit pula ada masalah. Bayangkan huru-hara ini pastinya berlaku di seluruh Malaysia. Mana tidak 'jam' sistem komputer.

Saya sempat menelefon dua orang kawan saya. Seorang daripada mereka, apabila di tanya, ”Sedang buat apa tu? Awak tak isi minyakkah?”

Dia dengan nada geram berkata, “Saya sedang termenung ni. Saya rasa hendak keluar parti!”

Sudah pasti beras, ayam, tepung, dan segala-galanya akan naik bermula esok. Aduhai, rakyat Malaysia.

Jadi, apa perlu kita buat selepas ini?